Sunday, October 28, 2007

JADIKAN PUASA KALIAN SETAHUN


Setelah berakhirnya Ramadhan dan telah berlalu kini Syawal melepasi separuh bulan, masih berbaki buat kita semua selaku umat Nabi s.a.w untuk terus mengamalkan satu lagi sunnah yang sangat dituntut untuk kita amalkan bersama dan untuk sama-sama kita mengumpul bekalan ke akhirat kita.


Apakah sunnah tersebut? Tidak lain tidak bukan ia Puasa Enam. Sunnah ini bertepatan dengan saranan Nabi s.a.w sendiri sepertimana disebutkan di dalam hadith baginda s.a.w. Nabi s.a.w bersabda: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa (tahun)", [Hadith riwayat Muslim dalam Sahihnya, no.Hadith 1164].


Secara jelasnya, berdasarkan zahir hadith tersebut, bagi individu yang melanjutkan puasa enam hari pada bulan Syawal akan mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun. Ia juga menggambarkan secara jelas, galakan dan dorangan Nabi s.a.w kepada umat baginda untuk meneruskan ibadat dan ketundukan kepada Allah s.w.t melalui puasa walaupun Ramadhan baru sahaja berakhir. Kerelevenan tersebut juga jelas menunjukkan bahawa, walaupun umat Islam, baru sahaja kembali kepada fitrah, yakni kembali dalam keadaan diri dan jiwa yang suci daripada dosa-dosa setelah mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak. Bertepatan sepertimana sabda Nabi s.a.w: "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, nescaya akan dimapunkan oleh Allah s.a.w segala dosanya yang telah lalu" [hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab Puasa, no.hadith 1769].


Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, beliau menyebutkan bahawa barang siapa yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal, seakan-akan dia berpuasa setahun. Ini kerana suatu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa Ramadhan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan 300 hari), puasa enam hari pada bulan Syawal pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (bersamaan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia Allah dan nikamt ke atas hambaNya. [Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jilid 3, hlm 576, Pustaka Azzam].

Berdasarkan pandangan Syeikh Abdullah tersebut, beliau cuba untuk mengambarkan kepada kita, bagaimanakah dikatakan setahun pahalanya apabila seseorang itu melakukan puasa enam hari pada bulan Syawal. Melalui pendapat tersebut, beliau mengambarkan puasa enam ini pahalanya adalah bersamaan dengan dua bulan atau 60 hari ganjarannya. Sedangkan puasa Ramadhan pula ganjaran pahalanya menyamai sepuluh bulan atau 300 hari. Setelah dicampurkan puasa Ramadhan dan Puasa Enam hari pada bulan Syawal maka keseluruhnya genap 12 bulan iaitu setahun.




Semoga, pada kesempatan yang telah dikurniakan Allah s.w.t untuk kita mengharungi sebulan puasa pada bulan Ramadhan, lalu dilanjutkan lagi usia menyelusuri Syawal, sepatutnya kita tidak mensia-siakan peluang ini untuk sama-sama kita mengamalkannya. Semoga juga kita tidak ketinggalan untuk mendapat ganjaran setahun berpuasa memandangkan untuk Ramadhan dan Syawal akan datang belum tentu dikunjung tiba. Entah bila Malaikat Maut datang, ehtah bila ajal menjemput pergi. Ayuh! Marilah kita mengamalkannya.



al-fakir ila allah;
mindasuci:-)








Friday, October 5, 2007

SUDAH HAMPIR PEMERGIANMU RAMADAN



SUDAH HAMPIR PEMERGIANMU RAMADAN:-[]




Ramadan...Ramadan...Ramadan..,


Terasa amat sekejap kedatangan Ramadan, seolah-olah baru beberapa hari menghadapi hari-hari di dalam bulan ini. Sungguh leka kita, dibuai keindahan dan kesenangan dunia. Sedangkan masa bergerak tanpa berpatah kembali walaupun sedetik. Ya...masa terus bergerak dan bergerak, kehidupan terus berjalan walaupun diberhentikan dengan kematian. Namun, masa terus begerak dan bergerak. Jarum detik terus bergetak dan berdetik tanpa memikirkan laluan sebelumnya. Masya'Allah.....


Bertepatanlah dengan Firman Allah " Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugiaan, kecuali mereka yangt berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran", (Surah al-Asr ayat 1-3). Apa yang telah disebutkan oleh Allah swt memang bertepatan dengan apa yang berlaku pada manusia. Ramai manusia yang telah mensia-sia masa yang terhad diberikan tanpa melakukan sebarang pekerjaan atau aktiviti yang bermanfaat serta berfaedah untuk menambahkan bekalannya di akhirat nanti. Namun, tidak dinafikan, ada manusia yang sedar bahawa dia adalah makhluk Allah yang cuma diberi tumpangan hidup di dunia sahaja. Dia tahu bahawa Allah adalah Tuhannya yang Maha Agong dan pernannya adalah untuk terus beribadah kepada Khaliqnya (Allah s.w.t) selagi dibenarkan oleh Allah dengan usia yang diberikan. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Tidaklah kami jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadat kepada kami..." (Surah al-Hujurat).

Lihatlah bagaimana realiti masyarakat Malaysia pada suku ketiga di akhir bulan Ramadan. Perbezaan ketara antara suku pertama Ramadan. Apa yang terjadi? Inilah yang hendak diperkatakan. ketibaan bulan Ramadan disambut penuh ceria, penuh kesungguhan untuk beribadah, penuh keiltizaman untuk berterawikh, penuh semangat untuk ke masjid dan yang penuh paling ketara adalah memenuhi masjid. Betul kan? Walau apa pun, pengimarahan terhadap masjid pada awal atau bahagian pertama bulan ramadan untuk menyeronokan. Parking kereta kawasan masjid penuh sehingga membawa kepada parking dibahu-bahu jalan. Para jamaah hampir memenuhi masjid bak semata-mata mahu bersolat terawikh.




Apa dah terjadi pada bahagian kedua atau suku ketiga Ramadan? Inilah situasi yang berlaku. keadaan sudah tidak seperti awalnya. Parking sudah tidak perlu berebut-rebut. Tidak perlu memecut kereta selepas berbuka semata-mata mahu dapatkan parking di dalam kawasan masjid. Para jemaah tidak seperti pada awal Ramadan lagi. Adakah keceriaan, kesungguhan, iltizam dan semangat seperti awal Ramadan sudah lentur? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Sedangkan Rasulullah s.a.w melebihkan ibadat pada akhir 10 akhir Ramadan. Kedatangan Lailatul Qadar, malam terbaik daripada seribu bulan terus dinanti-nantikan. Amal dan ibadah dilipat gandakan. Proses penyucian jiwa dan raga daripada dosa-dosa lepas terus diharapkan keampunannya. Inilah yang diharapkan agar pemergian Ramadan berserta pemergian dan penyucian segala dosa-dosa lampau.


Apakan daya, manusia itu pelupa. Kadang-kadang datang keinsafan berperai seperti Malaikat yang taat, sujud dan patuh pada perintah Yang Maha Kuasa. Kadang kala datang kelupaan, menjerumus ke arah kemaksiatan sehingga membawa perangai Syaitan. Sudah lupa asal kejadian dan tujuan dijadikan. Keseronokan dunia semata-mata yang dicarinya.



Walau apa yang dilakukan, walau sebesar zarah sekalipun kebaikan nescaya ada balasannya. Begitu juga, sebesar zarah pun perbuatan inkar juga pasti ada balasannya. Namun, kesyukuran di panjatkan kerana penganugerahan keampunan yang tiada ternilai darinya. Pohonlah segera keampunan sebelum ajal datang menjemput, ketika pintu taubat masih dibuka, sebelum ia ditutup. Tangisinya kesilapan dulu, sesalkan perbuatan dulu, biarkan ia menjadi pengalaman pahit dan bentang untuk tidak melakukannya lagi buat kali kedua, mahupun ketiga.


Janganlah jadikan kesibukan dunia kita menyebabkan kita lupa akan akhirat. Janganlah lorong-lorong Masjid India sahaja menjadi destinasi kita, khususnya pada suku akhir Ramadan ini. Sedangkan kita terlupa Masjid sebelah rumah yang sepatutnya dihuni, diiktikaf dan diimarahkannya lebih lagi. Ingatnya, kita adalah penumpang sebuah bas yang menuju ke satu destinasi yang kekal. Jangan jadikan bas itu rosak atau dimasukki benda-benda yang merosakkan kerana ia kan menyebabkan perjalan kita ke destinasi akhir kita akan tergendala. Jaga, pelihara dan amatilah ia agar ia terus berjalan dan bergerak sampai ke destinasinya.


Akhir sekali, marilah sama-sama kita menghayati dan menghidupan malam-malam terakhir Ramadan kali ini. Inilah satu anugerah kesempatan keran dipertemukan kita dengan Ramadan tahun ini. Tidak ada ketentuan lagi buat kita untuk bertemu pada Ramadan akan datang. Ia akan terus datang selagi dunia belum dihancurkan dengan tiupan sangkakala menandakan kiamat sudah tiba. Semoga kita menjadi insan bukan sekadar manusia penghuni dunia ini dan selaku hamba yang senantiasa bersyukur di atas segala penganugerahan yang telah Allah berikan.


Ya Ramadan...Ya Ramadan......



oleh al-faikir ila Allah,


mindasuci:-)

Thursday, October 4, 2007

Lailatul Qadar Bukan Sebarangan Malam


Lailatul Qadar Bukan Sebarangan Malam



Setiap malaikat mendoakan umat yang bermunajat, itulah kelebihan umat Muhammmad antaranya diampunkan dosa-dosanya pada malam Lailatul-Qadar belum pernah terjadi kepada umat lain sebelum ini. Disamping doa dan harapan kita umat Islam untuk mendapat kesejahteraan hidup, rezki yang berkat, ilmu yang bernafaat, kesihatan yang baik dan sebagainya tiada hijab untuk Allah menrima dan memakbulkannya. Melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya iaitu:-



1. Orang yang kekal minum arak.
2. Orang yang derhaka kepada ibubapanya.
3. Orang yang memutuskan silaturahim.
4. Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih 3 hari.

Lailatul-Qadar membawa makna Malam Kemuliaan dan Kebesaran iaitu malam terkumpulnya keseluruhan al-Quran di Lauhul-Mahfuz sebelum diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Surah Ad-Dhukaan ayat kedua juga di sebut mengenai kemuliaan al-Quran yang diturunkan pada malam Lailatul-Qadar:



“Demi al-Quran! Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguh Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat…(Kami menurunkan al-Quran pada malam berkat itu dijelaskan malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku),-tidak bertukar atau berubah.



  • Ulama sependapat mengenai tarikhnya, namun kebanyakkan menyatakan tarikhnya ialah pada malam 27 Ramadhan ( Malam 7 likur ).


  • Iman Syafie r. a. menyatakan Lailatul - Qadar pada malam 21 Ramadan dan lain-lain ulama menyatakan pada malam 23, 25 dan 29 Ramadhan.


  • Ada yang menyatakan daripada 10 malam akhir Ramadhan samada malam yang ganjil atau genap.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.


Dalam riwayat lain,“Sesiapa mendirikan sembahyang empat rakaat dengan membaca surah al-Fatihah, al-Kauthar dan al-Ikhlas tiga kali, dimudahkan menghadapi sakratul maut, dikecualikan daripada azab kubur dan dikurniakan empat tiang daripada nur tiap- tiap satunya terdiri 1000 mahligai“.



Lantas dirikanlah:-
1. Sembahyang sunat 2 rakaat, setiap kalinya dibaca surah Fatihah 1x dan surah al-Ikhlas 7x.
2. Diikuti bacaan istigfar (Astaghfirullahal azim wa atubuilaihi), zikrullah (La ilaha illallah, Allahu akbar), bertasbih (Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim), selawat (Allahumma sholli’ala saidina Muhammad).
3. Sembahyang sunat tahajjud.
4. Sembahyang sunat tasbih.
5. Mereka yang bertemu Lailatul-Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri dan disalami oleh para ,alaikat, hendaklah segera membaca: “Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anni waghfirli”.

Membaca surah al-Qadar 7x selepas sembahyang Isyak akan menjauhkan kita dari malapetaka. Tidak menjadi alasan wanita yang haid, walaupun uzur hendaklah memperbanyakkan:-
{ Doa.
{ Beristighfar.
{ Bertasbih.
{ Bertahmid.
{ Bertakbir
{ Bersedekah
{ Menjaga maruah dan akhlak
{ Sentiasa berada dalam keredaan suami (bagi yang berkahwin).
{ Sentiasa berada dalam keredaan ibu bapa (bagi yang tidak berkahwin).


Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menagislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:


{ Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.
{ Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.
{ Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan
{ Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR!



Perbanyaklah Doa : Allahuma Inaka Afuwun Karimun Tuhibul Afwa Fa fuana Ya Karim

Salam Ramadan....