Sunday, October 28, 2007

JADIKAN PUASA KALIAN SETAHUN


Setelah berakhirnya Ramadhan dan telah berlalu kini Syawal melepasi separuh bulan, masih berbaki buat kita semua selaku umat Nabi s.a.w untuk terus mengamalkan satu lagi sunnah yang sangat dituntut untuk kita amalkan bersama dan untuk sama-sama kita mengumpul bekalan ke akhirat kita.


Apakah sunnah tersebut? Tidak lain tidak bukan ia Puasa Enam. Sunnah ini bertepatan dengan saranan Nabi s.a.w sendiri sepertimana disebutkan di dalam hadith baginda s.a.w. Nabi s.a.w bersabda: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa (tahun)", [Hadith riwayat Muslim dalam Sahihnya, no.Hadith 1164].


Secara jelasnya, berdasarkan zahir hadith tersebut, bagi individu yang melanjutkan puasa enam hari pada bulan Syawal akan mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun. Ia juga menggambarkan secara jelas, galakan dan dorangan Nabi s.a.w kepada umat baginda untuk meneruskan ibadat dan ketundukan kepada Allah s.w.t melalui puasa walaupun Ramadhan baru sahaja berakhir. Kerelevenan tersebut juga jelas menunjukkan bahawa, walaupun umat Islam, baru sahaja kembali kepada fitrah, yakni kembali dalam keadaan diri dan jiwa yang suci daripada dosa-dosa setelah mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak. Bertepatan sepertimana sabda Nabi s.a.w: "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, nescaya akan dimapunkan oleh Allah s.a.w segala dosanya yang telah lalu" [hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab Puasa, no.hadith 1769].


Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, beliau menyebutkan bahawa barang siapa yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal, seakan-akan dia berpuasa setahun. Ini kerana suatu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa Ramadhan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan 300 hari), puasa enam hari pada bulan Syawal pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (bersamaan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia Allah dan nikamt ke atas hambaNya. [Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jilid 3, hlm 576, Pustaka Azzam].

Berdasarkan pandangan Syeikh Abdullah tersebut, beliau cuba untuk mengambarkan kepada kita, bagaimanakah dikatakan setahun pahalanya apabila seseorang itu melakukan puasa enam hari pada bulan Syawal. Melalui pendapat tersebut, beliau mengambarkan puasa enam ini pahalanya adalah bersamaan dengan dua bulan atau 60 hari ganjarannya. Sedangkan puasa Ramadhan pula ganjaran pahalanya menyamai sepuluh bulan atau 300 hari. Setelah dicampurkan puasa Ramadhan dan Puasa Enam hari pada bulan Syawal maka keseluruhnya genap 12 bulan iaitu setahun.




Semoga, pada kesempatan yang telah dikurniakan Allah s.w.t untuk kita mengharungi sebulan puasa pada bulan Ramadhan, lalu dilanjutkan lagi usia menyelusuri Syawal, sepatutnya kita tidak mensia-siakan peluang ini untuk sama-sama kita mengamalkannya. Semoga juga kita tidak ketinggalan untuk mendapat ganjaran setahun berpuasa memandangkan untuk Ramadhan dan Syawal akan datang belum tentu dikunjung tiba. Entah bila Malaikat Maut datang, ehtah bila ajal menjemput pergi. Ayuh! Marilah kita mengamalkannya.



al-fakir ila allah;
mindasuci:-)








Friday, October 5, 2007

SUDAH HAMPIR PEMERGIANMU RAMADAN



SUDAH HAMPIR PEMERGIANMU RAMADAN:-[]




Ramadan...Ramadan...Ramadan..,


Terasa amat sekejap kedatangan Ramadan, seolah-olah baru beberapa hari menghadapi hari-hari di dalam bulan ini. Sungguh leka kita, dibuai keindahan dan kesenangan dunia. Sedangkan masa bergerak tanpa berpatah kembali walaupun sedetik. Ya...masa terus bergerak dan bergerak, kehidupan terus berjalan walaupun diberhentikan dengan kematian. Namun, masa terus begerak dan bergerak. Jarum detik terus bergetak dan berdetik tanpa memikirkan laluan sebelumnya. Masya'Allah.....


Bertepatanlah dengan Firman Allah " Demi masa sesungguhnya manusia berada dalam kerugiaan, kecuali mereka yangt berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran", (Surah al-Asr ayat 1-3). Apa yang telah disebutkan oleh Allah swt memang bertepatan dengan apa yang berlaku pada manusia. Ramai manusia yang telah mensia-sia masa yang terhad diberikan tanpa melakukan sebarang pekerjaan atau aktiviti yang bermanfaat serta berfaedah untuk menambahkan bekalannya di akhirat nanti. Namun, tidak dinafikan, ada manusia yang sedar bahawa dia adalah makhluk Allah yang cuma diberi tumpangan hidup di dunia sahaja. Dia tahu bahawa Allah adalah Tuhannya yang Maha Agong dan pernannya adalah untuk terus beribadah kepada Khaliqnya (Allah s.w.t) selagi dibenarkan oleh Allah dengan usia yang diberikan. Seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud: "Tidaklah kami jadikan manusia dan jin kecuali untuk beribadat kepada kami..." (Surah al-Hujurat).

Lihatlah bagaimana realiti masyarakat Malaysia pada suku ketiga di akhir bulan Ramadan. Perbezaan ketara antara suku pertama Ramadan. Apa yang terjadi? Inilah yang hendak diperkatakan. ketibaan bulan Ramadan disambut penuh ceria, penuh kesungguhan untuk beribadah, penuh keiltizaman untuk berterawikh, penuh semangat untuk ke masjid dan yang penuh paling ketara adalah memenuhi masjid. Betul kan? Walau apa pun, pengimarahan terhadap masjid pada awal atau bahagian pertama bulan ramadan untuk menyeronokan. Parking kereta kawasan masjid penuh sehingga membawa kepada parking dibahu-bahu jalan. Para jamaah hampir memenuhi masjid bak semata-mata mahu bersolat terawikh.




Apa dah terjadi pada bahagian kedua atau suku ketiga Ramadan? Inilah situasi yang berlaku. keadaan sudah tidak seperti awalnya. Parking sudah tidak perlu berebut-rebut. Tidak perlu memecut kereta selepas berbuka semata-mata mahu dapatkan parking di dalam kawasan masjid. Para jemaah tidak seperti pada awal Ramadan lagi. Adakah keceriaan, kesungguhan, iltizam dan semangat seperti awal Ramadan sudah lentur? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing. Sedangkan Rasulullah s.a.w melebihkan ibadat pada akhir 10 akhir Ramadan. Kedatangan Lailatul Qadar, malam terbaik daripada seribu bulan terus dinanti-nantikan. Amal dan ibadah dilipat gandakan. Proses penyucian jiwa dan raga daripada dosa-dosa lepas terus diharapkan keampunannya. Inilah yang diharapkan agar pemergian Ramadan berserta pemergian dan penyucian segala dosa-dosa lampau.


Apakan daya, manusia itu pelupa. Kadang-kadang datang keinsafan berperai seperti Malaikat yang taat, sujud dan patuh pada perintah Yang Maha Kuasa. Kadang kala datang kelupaan, menjerumus ke arah kemaksiatan sehingga membawa perangai Syaitan. Sudah lupa asal kejadian dan tujuan dijadikan. Keseronokan dunia semata-mata yang dicarinya.



Walau apa yang dilakukan, walau sebesar zarah sekalipun kebaikan nescaya ada balasannya. Begitu juga, sebesar zarah pun perbuatan inkar juga pasti ada balasannya. Namun, kesyukuran di panjatkan kerana penganugerahan keampunan yang tiada ternilai darinya. Pohonlah segera keampunan sebelum ajal datang menjemput, ketika pintu taubat masih dibuka, sebelum ia ditutup. Tangisinya kesilapan dulu, sesalkan perbuatan dulu, biarkan ia menjadi pengalaman pahit dan bentang untuk tidak melakukannya lagi buat kali kedua, mahupun ketiga.


Janganlah jadikan kesibukan dunia kita menyebabkan kita lupa akan akhirat. Janganlah lorong-lorong Masjid India sahaja menjadi destinasi kita, khususnya pada suku akhir Ramadan ini. Sedangkan kita terlupa Masjid sebelah rumah yang sepatutnya dihuni, diiktikaf dan diimarahkannya lebih lagi. Ingatnya, kita adalah penumpang sebuah bas yang menuju ke satu destinasi yang kekal. Jangan jadikan bas itu rosak atau dimasukki benda-benda yang merosakkan kerana ia kan menyebabkan perjalan kita ke destinasi akhir kita akan tergendala. Jaga, pelihara dan amatilah ia agar ia terus berjalan dan bergerak sampai ke destinasinya.


Akhir sekali, marilah sama-sama kita menghayati dan menghidupan malam-malam terakhir Ramadan kali ini. Inilah satu anugerah kesempatan keran dipertemukan kita dengan Ramadan tahun ini. Tidak ada ketentuan lagi buat kita untuk bertemu pada Ramadan akan datang. Ia akan terus datang selagi dunia belum dihancurkan dengan tiupan sangkakala menandakan kiamat sudah tiba. Semoga kita menjadi insan bukan sekadar manusia penghuni dunia ini dan selaku hamba yang senantiasa bersyukur di atas segala penganugerahan yang telah Allah berikan.


Ya Ramadan...Ya Ramadan......



oleh al-faikir ila Allah,


mindasuci:-)

Thursday, October 4, 2007

Lailatul Qadar Bukan Sebarangan Malam


Lailatul Qadar Bukan Sebarangan Malam



Setiap malaikat mendoakan umat yang bermunajat, itulah kelebihan umat Muhammmad antaranya diampunkan dosa-dosanya pada malam Lailatul-Qadar belum pernah terjadi kepada umat lain sebelum ini. Disamping doa dan harapan kita umat Islam untuk mendapat kesejahteraan hidup, rezki yang berkat, ilmu yang bernafaat, kesihatan yang baik dan sebagainya tiada hijab untuk Allah menrima dan memakbulkannya. Melainkan empat orang yang tiada diampunkan dosanya iaitu:-



1. Orang yang kekal minum arak.
2. Orang yang derhaka kepada ibubapanya.
3. Orang yang memutuskan silaturahim.
4. Orang yang tidak bercakap dengan saudaranya lebih 3 hari.

Lailatul-Qadar membawa makna Malam Kemuliaan dan Kebesaran iaitu malam terkumpulnya keseluruhan al-Quran di Lauhul-Mahfuz sebelum diturunkan secara berperingkat-peringkat selama 23 tahun. Surah Ad-Dhukaan ayat kedua juga di sebut mengenai kemuliaan al-Quran yang diturunkan pada malam Lailatul-Qadar:



“Demi al-Quran! Kitab yang menerangkan kebenaran. Sesungguh Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat…(Kami menurunkan al-Quran pada malam berkat itu dijelaskan malaikat tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku),-tidak bertukar atau berubah.



  • Ulama sependapat mengenai tarikhnya, namun kebanyakkan menyatakan tarikhnya ialah pada malam 27 Ramadhan ( Malam 7 likur ).


  • Iman Syafie r. a. menyatakan Lailatul - Qadar pada malam 21 Ramadan dan lain-lain ulama menyatakan pada malam 23, 25 dan 29 Ramadhan.


  • Ada yang menyatakan daripada 10 malam akhir Ramadhan samada malam yang ganjil atau genap.

Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. “Sesiapa menghidupkan (Beribadat sepanjang malam) malam Lailatul-Qadar dan mendirikan sembahyang dua rakaat, kemudian memohon keampunan daripada Tuhannya, maka diampunkan dia oleh Allah Taala dan di masukkan kedalam rahmatNya, kemudian disapukan dia oleh Jibril a.s. dengan dua sayapnya. Barangsiapa disapu oleh Jibril dengan sayapnya maka didalam syurgalah tempatnya…..”.


Dalam riwayat lain,“Sesiapa mendirikan sembahyang empat rakaat dengan membaca surah al-Fatihah, al-Kauthar dan al-Ikhlas tiga kali, dimudahkan menghadapi sakratul maut, dikecualikan daripada azab kubur dan dikurniakan empat tiang daripada nur tiap- tiap satunya terdiri 1000 mahligai“.



Lantas dirikanlah:-
1. Sembahyang sunat 2 rakaat, setiap kalinya dibaca surah Fatihah 1x dan surah al-Ikhlas 7x.
2. Diikuti bacaan istigfar (Astaghfirullahal azim wa atubuilaihi), zikrullah (La ilaha illallah, Allahu akbar), bertasbih (Subhanallah wal hamdulillah wala ilaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billahil ‘aliyyil ‘azim), selawat (Allahumma sholli’ala saidina Muhammad).
3. Sembahyang sunat tahajjud.
4. Sembahyang sunat tasbih.
5. Mereka yang bertemu Lailatul-Qadar akan terus dingin badannya kerana dihampiri dan disalami oleh para ,alaikat, hendaklah segera membaca: “Allahumma innaka ‘afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’fu anni waghfirli”.

Membaca surah al-Qadar 7x selepas sembahyang Isyak akan menjauhkan kita dari malapetaka. Tidak menjadi alasan wanita yang haid, walaupun uzur hendaklah memperbanyakkan:-
{ Doa.
{ Beristighfar.
{ Bertasbih.
{ Bertahmid.
{ Bertakbir
{ Bersedekah
{ Menjaga maruah dan akhlak
{ Sentiasa berada dalam keredaan suami (bagi yang berkahwin).
{ Sentiasa berada dalam keredaan ibu bapa (bagi yang tidak berkahwin).


Apabila berakhirnya bulan Ramadhan , menangislah wali-wali Allah, menagislah tujuh petala langit dan tujuh petala bumi dan segala malaikat kerana berlalu pergi bulan itu. Berlalulah segala kelebihannya:


{ Bulan yang dilipatgandakan pahala dan ganjaran.
{ Bulan yang mudah Allah ampunkan taubat hamba-hambaNya.
{ Bulan yang banyak sekali diturunkan rahmat ke semesta alam dan
{ Bulan yang terdapat padanya MALAM LAILATUL-QADAR!



Perbanyaklah Doa : Allahuma Inaka Afuwun Karimun Tuhibul Afwa Fa fuana Ya Karim

Salam Ramadan....

Friday, September 28, 2007

sambungan...

Sambungan 2….


2. Benarkan bulan Ramadan kali ini betul-betul kita manfaatkannya?



Bila disebutkan sahaja bulan Ramadan, terngiang-ngiang di teliga bahawa Ramadan adalah bulan keberkatan, bulan rahmat, bulan amal ibadat dan bermacam-macam lagi sandaran yang diberikan sebagai menggambarkan kelebihan yang ada dalam bulan ini. Apa yang penulis fikirkan, adalah segala kelebihan yang ada pada bulan ini berbanding dengan baki 11 bulan yang lain, dimanfaatkan dengan sebenar-benarnya?


Sebelas bulan, nafsu mendapat bimbingan daripada “sang guru” yang tidak diundang. Ajarannya sedaya upaya cuba memesongkan akidah, membanyangkan keseronokan sementara, cintakan dunia, mensia-siakan waktu, melalaikan amal dan pekerjaan ke akhirat yang secara tidak langsung mendidik nafsu secara halus terbiasa dengan keadaan tersebut walaupun tidak kepada penukaran akidah tetapi sekadar memberikan kelalaian yang senantiasa dan berterusan. Ini menyebabkan masa terus berlalu tanpa sebarang bekalan yang dibuat. Kosong, kosong dan terus kosong, asalkan seronok dan seronok.


Oleh yang demikian, walapun secara jelas di dalam hadith Rasulullah s.a.w menyatakan bahawa para Syaitan dibelenggu pada bulan ini, namun kita harus sedar bahawa nafsu kita telah terdidik selama baki bulan yang lain. Dengan itu, tidak hairanlah apabila di bulan mulia ini banyak kejahatan dan maksiat yang dilakukan. Keadaan ini menunjukkan bahawa “tarbiyah daripada guru yang tidak diundang” itu benar-benar telah berjaya walaupun tanpa bimbingannya sendiri.


Justeru itu, bersegeralah kita kepada taubat agar diampunkan segala dosa-dosa kita dan terhindar daripada menjadi anak murid kepada guru yang tidak diundang itu. Sepertimana firman Allah; “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri dan keluarga kamu daripada api neraka yang bahan bakarnya daripada manusia dan batu, penjaganya malaikat-malaikat yang keras dan kasar”, (al-Tahrim: 6).


Firman Allah lagi: “Orang-orang yang apabila mengerjakan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa mereka dan siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain Allah. Dan mereka tidak meneruskan perbuatan kejinya itu, sedangkan mereka mengentahui” (Ali Imran: 135).


Sabda Nabi s.a.w: “Sesungguhnya merugikan orang yang memperoleh kesempatan merasakan bulan Ramadan akan tetapi tidak diampuni dosanya”. (Riwayat al-Tirmizi).


3. Gandakan Amalan pada bulan ini.


Di atas kesempatan Ramadan kali ini bersegeralah kita kepada kebaikan dan kebajikan. Peluang yang diberikan tersebut, perlulah digunakan sepenuhnya. Usah mensia-siakan bulan ini pergi tanpa sedikit keuntungan darinya. Antara amalan-amalan yang boleh dilakukan seperti;
  • Jadikan solat berjamaah sebagai rutin tetap dalam bulan ini khususnya terhadap solat fardu, lima waktu sehari.
  • Hidupkan al-Quran dengan membaca dan menelaahnya setiap hari. Sekurang-kurang boleh khatam satu atau dua kali dalam bulan ini.
  • Gunakan peluang yang sedikit ini untuk menambahkan ilmu yang memberi manfaat. Selalu mengikuti kuliah-kuliah ilmu, ataupun tazkirah yang dianjurkan atau dengan membaca buku-buku agar minda terjana dengan ilmu dan amalan bertepatan dengan ilmu yang dipelajari.
  • Ambillah daripada kesempatan rezeki yang Allah kurniakan untuk disedekahkan kepada yang memerlukan. Hulurkan bantuan agar mereka yang memerlukan tersebut juga terpanggil untuk sama-sama beribadat seperti kita daripada merisaukan mereka hanya kepada dunia semata-mata mahu meneruskan kehidupan mereka.
  • Lapangkan sedikit daripada masa yang dikurniakan Allah untuk kita memikirkan sejenak penciptaanNya dan yakinlah bahawa setiap yang diciptakan bukanlah sesautu yang sia-sia. Sekurang-kurangnya daripada renungan itu, akan menginsafkan kita bahawa sungguh kerdil diri kita ini dan seharusnya juga bertanya layakkah kita bergelar hambaNya.

Akhir segala, di atas kesempatan yang sedikit ini, penulis menyeru diri penulis sendiri dan sahabat-sahabat seakidah sekalian, marilah kita penuhi kesempatan yang dikurniakan Allah pada Ramadan kali ini untuk kita penuhi dengan amalan dan kebajikan yang seberapa banyak yang kita mampun. Semoga, keampunan menjadi milik kita setelah berakhirnya Ramadan seperti bayi kecil yang baru dilahirkan. Suci dan bersih daripada segala dosa.


“Ramadan, Kehadiranmu Ku Nantikan, Pemergianmu Ku Tangisi, ku harap tahun hadapan dipertemukan lagi walau ku tak pasti adakah lagi kesempatan ini”….



Al-fakir ila Allah..


mindasuci :-)

sambungan....

Daripada Abi Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w bersabda: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukan sebelum daripada itu" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Satu lagi hadith Nabi s.a.w daripada Abi Hurairah r.a sabda Nabi s.a.w: "Apabila tiba bulan Ramadan dibukakan pintu-pintu Syurga, dan ditutup pintu-pintu Neraka serta Syaitan dibelenggu". (riwayat al-Bukhari)

Mungkin apa yang disebutkan di atas adalah terlalu sedikit daripada sekalian hadith Rasulullah s.a.w yang banyak. Berbilang lagi hadith Rasulullah s.a.w yang bukan sahaja tertumpu dalam menyatakan kelebihan bulan Ramadan, bahkan dalam menerangkan amalan dan perbuatan yang boleh dilakukan dalam bulan tersebut berdasarkan hadith yang sahih lagi tetap. Di sini, bukan niat penulis untuk terus membawa semata-mata dalil sahaja. Tetapi cuba untuk menimbulkan beberapa lontaran minda untuk kita berfikir sejenak.
1. Adakah bulan Ramadan kali ini merupakan bulan ramadan terakhir buat diri kita?
Mungkin jika dirujuk kepada usia yang muda, tidak pernah kita terfikir demikian oleh kerana tanggapan dan anggapan yang ada pada diri kita iaitu perjalanan kehidupan kita masih jauh. Bak kata pepatah "baru setahun jagung". Maknanya, ruang masa untuk kita bertemu Ramadan akan datang adalah sangat cerah. tetapi, saban hari terpampang di media, kematian kini datang dengan pelbagai cara dan usaha. Dibunuh, membunuh diri, kemalangan, bala bencana, kematian mengejut, mati lemas dan pelbagai cara lagi yang tidak perlu difikirkan. bahkan, usia tua tidak bermakna telah tersenarai untuk menerima kematian, sedangkan bayi kecil yang baru menjenguk cahaya dunia juga tidak terlepas daripada menerima kematian. Oleh sebab itu, kedatangan kematian adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka dan tidak mengenal usia.
Seperti firman Allah s.w.t "maka apabila tiba ajal seseorang, tidak akan dilambatkan walaupun sesaat, dan tidak pula dipercepatkan sesaat". (al-Araf 7: 34). Dengan itu, usahlah kita mengharapkan kedatangan Ramadan akan datang sedangkan ramadan kini kita mensia-siakannya. Jadi, ambillah kesempatan ramadan kali ini untuk penuhinya dengan membuat kebajikan untuk bekalan kita di akhirat nanti. Anggaplah, ramadan kali ini merupakan ramadan terakhir buat kita.
bersambung....

Monday, September 17, 2007

SALAM RAMADHAN


Salam Ramadan untuk semua..

Rasanya belum terlambat lagi untuk saya menggunggapkan secebis ucapan salam "ahlan wa sahlan" buat bulan yang mulia dan bulan "al-Muntazar" iaitu bulan yang ditunggu-tunggu oleh sebab keberkatan yang ada padanya.

Sudah berlalu (ketika keterangan ini ditulis) empat hari dalam bulan Ramadan yang mana empat hari yang berlalu itu, terlalu pantas dirasakan. Seolah-oleh baru sehari kedatangannya. Mungkin kepantasan masa kini tidak dapat diukur dan mungkin berlalunya masa kini tidak seperti dulu lagi, kepantasannya lebih dari apa yang dirasakan dahulunya. Namun, apakan daya, kehidupan perlu terus berjalan dan pergerakan perlu diteruskan.

Dalam usaha pelaksanaan ibadah puasa, sudah tentu kita perlu jelas dan mengetahui sumber atau dalil dalam bagi ibadah tersebut. Walau bagaimanapun, telah jelas sekali di dalam al-Quran yang membawa petunjuk kepada semua, sepertimana firman Allah s.w.t "Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu menjadi orang yang bertakwa". al-Baqarah 2: 183. Oleh yang demikian, ibadah puasa bukan sesuatu ibadah yang boleh dipertikaikan lagi pelaksanaannya. Dengan jelas sekali Allah swt memerintahkan umat Nabi s.a.w agar berpuasa sebagai satu tuntutan yang wajib ke atas umat Islam. Bahkan, puasa juga merupakan salah satu rukun daripada Rukun Islam yang lima.

Keberkatan dan kelebihan yang ada pada bulan Ramadan, dalam dilihat melalui hadith-hadith Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w, juga memberikan gambaran yang sangat jelas kepada kita tentang kelebihan tersebut. Antaranya;

1. Daripada Abi HUrairah...

bersambung...

Saturday, September 15, 2007

Paparan Sejarah Islam: Abad ke-11-15



Paparan Sejarah Islam: Abad ke-11-15


Selama ini kita amat jarang memperoleh sumber-sumber yang asli untuk menghuraikan suasana abad 11 hingga ke 14 Hijrah dalam dunia ilmiah. Kalau diperoleh pun kebanyakannya dari aliran islah. Kitab-kitab yang memperlihatkan fakta bagi sejarah bagi jarak tersebut amat jarang dicetak seperti kitab al-Imdad karya Salim bin Abdullah al-Bashri dll. Tetapi sepanjang penelitian saya, berjaya menemui seorang tokoh moden yang melakukan kajian Ph.Dnya berdasarkan maklumat sama ada yang makhtutat atau yang tercetak atau yang telah lama tercetak. Tokoh tersebut ialah Rektor IAIN, Dr. Azyumardi Azra. Sempena hari raya Idul Fitri akan dicuba menampilkan pengsucian kekeliruan fakta-fakta yang wajar diketahui agar tidak bersalah sangka terhadap mana-mana aliran.... Tujuan pemaparan hal ini juga untuk mengelakkan kita daripada menipu kerana menipu fakta itu adalah dosa dan bagi yang telah mengetahui perteguhkan kembali. Selama ini, kita dok kritik orientalis tetapi kalau kita bercakap bukan di atas fakta sebenarnya apakah bezanya kita dengan orientalisme itulah sebab saya kemukakan petikan yang panjang di bawah

Saya berpegang di atas dunia ini mesti ada secara kesinambungan akan kebenaran berdasarkan hadis mutawatir, "Akan sentiasa ada segolongan umatku yang zahir berada di atas kebenaran hingga hari akhirat . . . "


Dr. Azyumardi Azra berkata dalam Jaringan Ulama, sebagai berikut:


"Periodisasi dalam sejarah sering menyesatkan, sebab ia menyiratkan ketidaksinambungan (discontinuity). Sejarah sosio-intelektual, khususnya tidak berhenti atau dimulai dengan kekosongan dalam masa tertentu. Hal ini harus ditekankan lebih dulu sebelum kita mempelajari jaringan ulama pada abad ke-18M. Alasannya sederhana; sebahagian para ulama terkemuka yang dibicarakan sebelumnya masih hidup hingga awal abad ke-18 M. Dengan pijakan yang sama, beberapa ulama yang kita masukkan dalam jaringan abad ke-18 M. sudah mulai merintis karier mereka dan mencapai kemasyhuran sebelum penutupan abad ke-17M. Kebanyakan para ulama ini, sampai taraf tertentu, telah dibahas sebelumnya. Tetapi, sebahagian mereka mulai membina diri dan memainkan peranan mereka dalam jaringan pada abad ke-18M.


Lebih jauh lagi, dalam pengertian kandungan intelektual, dalam periode abad ke-18M kita juga melihat banyak tanda-tanda kesinambungan dengan apa yang telah muncul dalam periode sebelumnya. Tetapi ada juga perubahan-perubahan; beberapa kecenderungan baru - yang juga dapat dianggap sebagai memuncak dari kecenderungan periode sebelumnya - berkembang dengan cara yang agak berbeda. Dalam bahagian ini, saya akan menelaah jaringan ulama dari abad ke-18M dan hubungan-hubungan utama mereka di Afrika dan Asia. Saya juga akan membahas kesinambungan dan perubahan kandungan religio-intelektual jaringan ulama tersebut.



Jaringan di Pusat dan Hubungan Asia


Sebagaimana telah dikemukakan, Ibrahim al-Kurani, salah seorang tokoh paling berpengaruh di dalam jaringan ulama, telah berpulang menjelang akhir abad ke-17M. Tetapi yang berpusat di al-Haramain tidak kehilangan momentumnya (yakni daya perkembangannya). Peranan kepemimpinan kini berada di tangan para murid utamadari al-Kurani dan rakan-rakan seangkatan dengannya yang terkemuka; mereka jelas dominan dalam inti jaringan tersebut di al-Haramain pada dasawarsa-dasawarsa awal abad ke-18M. Yang paling penting di antara mereka ialah Hasan al-'Ujaimi, Ahmad al-Nakhli, Abu Thahir al-Kurani, Abdullah al-Bashri dan Abdul Hadi al-Sindi (Abu l-Hasan al-Sindi al-Kabir). Seperti akan segera kita lihat, beberapa murid para ulama ini merupakan inti generasi berikutnya dalam jaringan ulama ke-18 M. Kerana itu, orang-orang berilmu ini menjadi mata rantai penting antara generasi al-Syinnawi, al-Qusyasyi dan al-Kurani, dengan para ulama yang berkembang pada separuh kedua abad ke-18M.

Seorang tokoh yang sangat penting dalam jaringan ulama generasi selanjutnya dalam abad ke-18 ialah Muhammad Hayyat bin Ibrahim al-Sindi al-Hanafi (w. di Madinah pada 1163H/1749M).{1} Seperti terlihat dari namanya, beliau dilahirkan di Sind, di mana beliau mendapatkan pendidikan awalnya. Di kemudian hari, setelah melakukan ibadah haji ke Makkah, beliau memutuskan menetap di Madinah, di mana beliau belajar bersama, antara Abu al-Hasan al-Sindi (al-Kabir), Hasan al-'Ujaimi, 'Abdullah al-Bashri dan Abu Thahir al-Kurani. Tidak jelas apakah di samping mempelajari berbagai-bagai disiplin Islam, Muhammad Hayat menerima tarekat-tarekat dari mereka. Besar kemungkinan, beliau diinisiasi semua ulama tersebut ke dalam tarekat-tarekat dari mereka. Tetapi al-Jabarti menyatakan, beliau diinisiasi ke dalam tarekat Naqsyabandiyyah oleh Sayyid Abdurrahman al-Saqqaf Ba'alawi (w.1140H/1727M di Madinah).{2} Beliau terutama sangat dekat dengan Abdul Hadi al-Sindi; beliau menggantikannya untuk mengajar di halaqahnya di Masjid Nabi setelah Abdul Hadi meninggal dunia.



Teristimewa dikenal sebagai seorang muhaddits dengan reputasi lumayan di Haramain, erti penting Muhammad Hayyat kerana beliau merupakan salah seorang dari sedikit tokoh yang menghubungkan jaringan ulama secara langsung dengan Muhammad bin Abdul Wahhab yang termasyhur (1115-1201H/1703-87M). Menerusi hubungan inilah yang memungkinkan kita mengesan asal-usul ajaran-ajaran Wahhabiyyah. Seperti dikatakan Ibnu Bisyr, Ibnu Abdul Wahhab diperkenalkan gurunya, Abdullah bin Ibrahim bin Sayf al-Najdi al-Madani kepada Muhammad Hayyat, yang dikenal baik oleh keluarganya. Ibnu Abdul Wahhab kemudian belajar bersama dan menemani Muhammad Hayyat.{3} Namun sumber-sumber yang ada tidak memberi petunjuk bila dan berapa lama Ibnu Abdul Wahhab belajar kepada Muhammad Hayyat.


Lebih jauh lagi, menurut Ismail Muhammad al-Anshari{4}, Ibnu Abdul Wahhab di dalam salah satu isnad hadisnya meriwayatkan bahawa beliau juga belajar di Madinah kepada Ali "Affandi" b. Shadiq b. Ibrahim al-Daghistani (1115-99H/1703-85M). Ali al-Daghistani, menurut al-Muradi, meninggalkan tanah airnya untuk menuntut ilmu. Di Madinah, beliau, antara lain, belajar kepada Muhammad Hayyat. Dalam hubungan dengan Ibnu Abdul Wahhab, jelas bahawa Ali al-Daghistani juga mengajar murid-murid, sementara beliau menambah ilmunya sendiri. Di kemudian hari, beliau bertempat tinggal di Damsyik.{5}


Seorang tokoh penting lain yang menghubungkan Ibnu Abdul Wahhab dengan jaringan ulama ialah Abdullah al-Bashri, yang juga merupakan salah seorang guru utama Muhammad Hayyat.{6} al-Kattani dalam penjelasannya tentang Muhammad 'Abid b. Ali al-Sindi al-Madani (w.1258H/1842M di Madinah), mengatakan, Muhammad 'Abid memiliki sebuah isnad hadis; di situ terlihat beliau menerima hadis-hadis dari Ibnu Abdul Wahhab, yang mendapatkannya daripada ayahnya, seorang mufti Najd, yang memperolehnya secara langsung daripada Abdullah al-Bashri.{7}


Tetapi al-Kattani cenderung menolak perkiraan bahawa Ibnu Abdul Wahhab sendiri belajar langsung kepada Abdullah al-Bashri, sebab yang terakhir itu meninggal pada 1134H/1722M, iaitu ketika Ibnu Abdul Wahhab berusia sembilan belas tahun dan kerananya al-Kattani percaya, tidak mungkin telah belajar kepadanya; paling pantas beliau hanya belajar kepada murid-muridnya terdekat. Ini jelas bukan merupakan argumen yang meyakinkan, terutama jika kita pertimbangkan kenyataan bahawa Ibnu Abdul Wahhab pada usia dua belas tahun telah pergi ke Haramain dan menerjunkan dirinya ke dalam wacana ilmiah di sana. Lebih-lebih lagi, kerana ayahnya telah menerima hadis secara langsung daripada al-Bashri, sangat mungkin Ibnu Abdul Wahhab diperkenalkan ayahnya kepada dan selanjutnya belajar kepada al-Bashri.


Muhammad Hayyat jelas termasuk di antara ulama yang memberi pengaruh kuat pada Ibnu Abdul Wahhab. Al-Anshari mengesankan bahawa Muhammad Hayyat memberikan pengaruh paling besar atas pandangan-pandangan keagamaan Ibnu Abdul Wahhab, terutama menyangkut pentingnya doktrin tauhid, penentangan terhadap taqlid dan perlunya kembali kepada al-Quran dan hadis.{8} Muhammad Hayyat, seperti juga kebanyakan tokoh di dalam jaringan ulama, menentang pertikaian yang tak perlu di antara mazhab-mazhab dan sebaliknya, mengajarkan toleransi dan rekonsiliasi. Lebih jauh lagi, beliau menghimbau ulama melakukan ijtihad berdasarkan al-Quran dan al-Hadis. Beliau juga menentang inovasi yang tak berdasar (bid'ah dhalalah) yang dapat membawa kepada syirik, menyekutukan Tuhan dengan ciptaan-Nya.{9}



Kegigihan Muhammad Hayyat menyangkut masalah-masalah ini juga dicatat oleh Salih al-Fullani, yang karier dan peranannya dalam jaringan ulama akan segera dibahas. Dengan mendasarkan dirinya pada penjelasan-penjelasan beberapa gurunya yang menjadi murid Muhammad Hayyat, al-Fullani mengutipnya dan berkata:


"Adalah wajib bagi setiap muslim berusaha sekuatnya (yajtahid) untuk mengetahui makna al-Quran dan untuk mengikuti dan memahami erti hadis dan turunan aturan-aturan hukum daripada kedua-duanya. Jika dia tidak mampu melakukan hal itu, dia harus mengikuti (yuqallid) para ulama tetapi tidak usah mematuhi satu mazhab tertentu sebab melakukan hal itu bererti menganggap mazhab (iaitu pembawanya) tersebut sebagai seorang nabi. Sesungguhnya dia harus mewaspadai setiap mazhab . . . Sedangkan mengenai inovasi yang diperkenalkan rakan-rakan sezaman kita untuk berpegang pada suatu mazhab tertentu dan menganggap tidak layak beralih dari satu mazhab ke mazhab yang lain, ini sama dengan kebodohan, bid'ah dan kesewenang-wenangan. Kita lihat mereka mengabaikan hadis sahih yang tidak dapat dibatalkan dan berpegang pada mazhab mereka tanpa ada rangkaian perawi (sanad)."{10}



Penentangan terhadap bid'ah dan praktik-praktik syirik adalah dua di antara doktrin-doktrin penting daripada Ibnu Abdul Wahhab. Hampir bisa dipastikan, beliau mendapatkannya daripada Muhammad Hayyat. Ibnu Bisyr menyampaikan sebuah cerita bahawa Ibnu Abdul Wahhab dalam suatu kesempatan memandang beberapa orang muslim yang sedang berdoa di pusara nabi dengan harapan melalui perantaraan beliau mereka akan diselamatkan. Muhammad Hayyat mendekati Ibnu Abdul Wahhab dan - sementara menunjuk dengan jarinya ke arah orang-orang muslim itu - berkata bahawa apa yang sedang mereka lakukan itu sangat salah tetapi sayang mereka tidak menyedarinya.{11} Perlu juga dikemukakan, Muhammad Hayyat menulis sebuah buku yang menyatakan bahawa penggunaan tembakau [Persia] (tubak) tidak boleh (tahrim). Dengan segera hal ini mengundang diskusi hangat di kalangan para ulama di Haramain.{12} Telah umum diketahui, Ibnu Abdul Wahhab dan kaum Wahhabi dengan keras melarang merokok tembakau dan kerananya tidak diragukan lagi Ibnu Abdil Wahhab mengambil ajaran ini daripada Muhammad Hayyat.{13}

Meskipun terdapat perkaitan doktrin yang jelas di antara mereka, tidak ada bukti bahawa Muhammad Hayyat secara langsung bertanggungjawab menghasut Ibnu Abdul Wahhab menyebarkan gerakan radikalnya.{14} Dan juga tidak ada indikasi bahawa Abdullah b. Ibrahim b. Sayf, guru utama lain Ibnu Abdul Wahhab, menyuruhnya melakukan hal itu. Sebagai seorang ulama terkemuka yang menguasai fiqh Hanbali dan hadis di Madinah, Ibnu Sayf mengagumi Ibnu Taymiyyah, yang menyerukan kepada kaum muslim untuk kembali kepada al-Quran dan al-Hadis serta meninggalkan praktik-praktik bid'ah mereka. Dan besar kemungkinan beliau menyuruh Ibnu Abdul Wahhab membaca karya-karya Ibnu Taymiyyah. Ibnu Sayf, mengikuti Ibnu Taymiyyah, percaya bahawa pembaharuan harus dilaksanakan untuk menyebarkan pemhaman serta praktik-praktik Islam yang benar; tetapi beliau menyarankan agar pembaharuan itu dijalankan dengan cara-cara damai seperti melalui pengajaran. {15} Juga dilaporkan bahawa Ibnu Sayf mengatakan pada Ibnu Abdul Wahhab bahawa senjata baik lainnya untuk memerangi keyakinan dan praktik-praktik agama yang tidak benar adalah buku-buku. {16}

Telah banyak dilakukan pembahasan di kalangan sarjana tentang asal-usul radikalisme Ibnu Abdul Wahhab. Latar belakang peribadinya tampaknya sangat mempengaruhi sikap radikalnya. Tetapi, sumber dari ajaran-ajarannya adalah para guru utamanya di atas; ajaran-ajaran Ibnu Abdul Wahhab tidak datang daripada orang lain atau tempat lain. Meskipun para gurunya tidak pernah menyuruhnya untuk melahirkan perubahan keagamaan dengan cara radikal seperti yang dilakukannya, beliau jelas terdorong oleh kecenderungan pembaharuan intelektual di dalam jaringan ulama. Namun Ibnu Abdul Wahhab mendorong bandul pembaharuan jauh lebih keras dibanding semua tokoh lain di dalam jaringan ulama.

Ibnu Abdul Wahhab bukanlah satu-satunya murid Muhammad Hayyat. Selain sejumlah murid dari India yang kurang begitu terkenal {17}, beliau mempunyai seorang murid lain yang menonjol. Namanya Muhammad b. Abdul Karim al-Madani al-Syafiei, yang lebih terkenal sebagai al-Sammani. Dilahirkan di Madinah dari keluarga Quraysy, al-Sammani (1130-89H/1718-75M) menikmati kemasyhuran sebagai pendiri tarekat Sammaniyyah.{18} Beliau melewatkan hidupnya kebanyakan di Madinah, tinggal di dalam rumah bersejarah milik Abu Bakar al-Shiddiq. Al-Sammani mengajar di Madrasah Sanjariyyah, yang didatangi ramai murid dari negeri-negeri jauh. Beliau diriwayatkan pernah bepergian ke Yaman dan Mesir pada tahun 1174H/1760M untuk mendirikan cabang-cabang Sammaniyyah dan mengajar murid-muridnya tentang zikir Sammaniyyah. {19}


Selain Muhammad Hayyat, guru-guru al-Sammani lainnya yang terkenal ialah Muhammad Sulaiman al-Kurdi (1125-1194H/1713-80M) {20}, yang pernah menjadi murid Ahmad al-Nakhli, Abu Thahir al-Kurani, Abdullah al-Bashri dan Mushthafa b. Kamaluddin al-Bakri (1099-1163H/1688-1749M). Perlu dikemukakan, Sulaiman al-Kurdi adalah juga guru bagi sekelompok murid Melayu-Indonesia pada abad ke-18M. (yang akan dibahas nanti). Beliau juga seorang penulis yang produktif. Sulaiman al-Kurdi, sebagaimana Ibrahim al-Kurani dan Ibnu Ya'qub, juga menulis sebuah karya yang jelas ditujukan untuk kaum muslim Melayu-Indonesia, berjudul al-Durrat al-Bahiyyah fi Jawab al-As`ilah al-Jawwiyyah.{21} Sangat sayang, saya tidak mendapatkan informasi tentang isinya maupun pertanyaan yang ingin dijawabnya.

Nota:

{1} Untuk biografi lengkap dan karya-karya Muhammad Hayyat, lihat, al-Muradi, Silk al-Durar, IV, 34; Utsman b. Abdullah Ibn Bisyr (w.1288/1871), 'Unwan al-Majd Fi Tarikh Najd, 2 jilid, Riyadh: Maktabat al-Riyadh al-Haditsah, 1971 (?) . I, 7, 25-6; Muhammad b. Muhammad Zabarah (l.1301/1884), Nubala` al-Yaman bi Qarn al-Tsani 'Asyar li al-Hijrah, Kairo: al-Mathba'at al-Salafiyyah, 1376/19`56, 640-6; Abd al-Hayy b. Fakhr al-Din al-Hasani, Nuzhat al-Khawathir Fi Buhjat al-Masami' wa al-Nawazhir, 7 jilid, Hayderabad: Da`irat al-Ma'arif al-Utsmaniyyah, 1931-59, VI, 301-2; al-Qannuji, Abjad al-Ulum, III, 169-70 (buku ini saya miliki); al-Kattani, Fahras, I, 356-7; al-Baghdadi, Hadiyyat al-'Arifin, II, 327.

{2} Abdurrahman al-Saqqaf Ba'alawi ialah seorang sufi di Haramain, yang sebelum menetap di Madinah sering melakukan perjalanan ke India di mana beliau diinisiasikan ke dalam tarekat Naqsyabandiyyah. Lihat al-Jabarti, 'Aja``ib al-Atsar, I, 125-6.

{3} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, I, 7, 25-6.

{4} Lihat, Ismail Muhammad al-Anshari, "Hayat al-Syaikh Muhammad ibn Abdul Wahhab wa Atsaruh al-'Ilmiyyah", dalam Buhuts Usbu' al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Riyadh (?): al-Mamlakat al-'Arabiyyah al-Su'udiyyah, 1403/1983, I, 168. Bandingkan dengan al-Kattani, Fahras, I, 365; Khayr al-Din al-Zarkali, 1389/1969, VII, 137-8, (buku ini saya miliki).

{5} Untuk biografi dan karya-karya al-Daghistani, lihat, al-Muradi, Silk al-Durar, III, 215; al-Baghdadi, Hadiyyat al-'Arifin, II, 770-1. Bandingkan dengan al-Kattani, Fahras, I, 365, 485, 535; II, 869 untuk hubungannya lebih jauh dengan para tokoh terkemuka dalam jaringan ulama.

{6} al-Anshari, "Hayat al-Syaikh", 129.

{7} Lihat, al-Kattani, Fahras, I, 364.(Nota Zaidi: Dalam kitab sanad al-Imdad Bi Asanid al-Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menjadikan Abdullah al-Bashri sebagai guru kepada Muhammad Abdul Wahhab)

{8} al-Anshari, "Hayat al-Syaikh..",127.

{9} Abdullah al-Shalih al-'Utsaymin, al-Syaikh Muhammad ibn Abdul Wahhab: Hayatuh wa Fikruh, Riyadh: Dar al-Ulum, t.t., 3.

{10} Shalih al-Fullani, Iqazh Himam uli al-Abshar, Kairo (?): Muniriyyah Press, 1355/1936-7, 70, dikutip dalam J.O. Hunwick, "Shalih al-Fullani (1752/3-1803): The Career and Teachings of a West African 'Alim in Medina", dalam A.H. Green (penyunting), In Quest of an Islamic Humanism: Arabic and Islamic Studies in Memory of Mohamed al-Nowaihi, Kairo: The American University Press, 1984, 147-8. (Nota tambahan: Kitab Iqazh al-Himam insya Allah akan disebar oleh saya menerusi nakhah guru kami. Untuk makluman pembaca sebenarnya orang mazhab Syafiei yang belajar di Makkah telah bersifat toleransi juga tetapi bersyarat seperti bertaqlid kepada mazhab Hanafi dalam pembayaran zakat fitrah dan begitu juga dengan permohonan maaf terhadap dosa-dosa secara umum dipinjam dari mazhab Maliki. Manakala pendapat menafikan langsung akan mazhab tetap ditentang oleh mana-mana aliran kaum tua).

{11} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, I, 7.

{12} Zabarah, Nubala`, 642

{13} Diharap pembaca jangan salah guna fakta ini sehingga menuduh mana-mana fatwa lain tidak boleh dipakai langsung. Kini, sebahagian umat Islam cenderung untuk menyatakan sesat kepada yang bercanggah dengan pendapatnya dan memaksa orang lain memakai pendapatnya. Kemungkinan besar Muhammad Hayyat mengharamkan berdasarkan illah tertentu menurut kefahaman mazhabnya sendiri. Lain mazhab lain dasarnyaNamun begitu, perbahasan dalil secara ilmiah tetap boleh dilakukan..intaha Zaidi.

{14} Sebenarnya Muhamamd Abdul Wahhablah yang bertanggungjawab menggunakan secara militan untuk menegakkan hujahnya kerana telah terbukti dia bersepakat dengan tokoh tertentu untuk melawan secara peperangan sekaligus memerangi wakil Khilafah Uthmaniyyah maka dengan in bermula proses zaman fitnah pada zaman mutakhir umur dunia. Dalam konteks ini, seorang ulama bernama Ibnu Abidin telah menfatwakan bahawa golongan Wahhabiyyah pada zamannya sebagai bughah (penderhaka). Ini berlainan zaman salaf salih yang sebenar di mana pernah suatu ketika Imam Malik ditawarkan kitabnya sebagai perlembagaan khilafah maka ditolaknya kerana menghormati perbezaan pendapat yang terdapat pada zaman itu. Di Malaysia, contohnya, empat mazhab dibenar untuk diamalkan tetapi semakin ada yang cuba untuk meruntuhkannya untuk memaksa orang Islam pegang satu pendapat sahaja. Orang bermazhab Syafiei di Malaysia sebenarnya bukan taksub membabi buta tetapi kalau dibuka seluas-luasnya kebebasan berpendapat juga akan menimbulkan perpecahan yang parah malah tidak akan wujud pelaksanaan undang-undang kerana masing cuba mengelak untuk disabitkan kesalahan akan cuba menukar-nukar pendapat pegangan mereka. Di atas dasar inilah ulama Syafiyyah mengharamkan kepada sesiapa yang suka-suka bertukar pendapat berdasarkan nafsu. Ini mafhum umum daripada fatwa dan kuliah guru kami.

{15} al-Utsaymin, al-Syaikh Ibn Abd al-Wahhab, 34.

{16} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, 7.

{17} Lihat, al-Hasani, Nuzhat al-Khawathir, VI, 301-2; al-Qannuji, Abjad al-Ulum, III, 170. Perlu dikemukakan secara sambil lalu di antara para murid Indianya adalah Muhammad b. Fakhr al-Din al-Ilahabadi, seorang guru Murtadha al-Zabidi seperti akan dijelaskan jauh di bawah

Salam Perkenalan dan Permulaan

SEMOGA BLOG INI MANFAAT UNTUK SAYA DAN ANDA SEMUA DARIPADA SEGALA APA YANG DIMUATKAN DI DALAM KANDUNGANNYA.

SAYA, SELAKU HAMBA YANG KERDIL INI SEDAYA UPAYA UNTUK CUBA MEMBERI DAN BERKONGSI DENGAN SEMUA SEDIKIT ILMU DAN MAKLUMAT UNTUK DIJADIKAN PANDUAN BERSAMA.

JADI, BANTUAN DAN SOKONGAN DARI ANDA YANG MELAYARI BLOG INI AMAT DIPERLUKAN.

AHLAN WASAHLAN..