Paparan Sejarah Islam: Abad ke-11-15
Selama ini kita amat jarang memperoleh sumber-sumber yang asli untuk menghuraikan suasana abad 11 hingga ke 14 Hijrah dalam dunia ilmiah. Kalau diperoleh pun kebanyakannya dari aliran islah. Kitab-kitab yang memperlihatkan fakta bagi sejarah bagi jarak tersebut amat jarang dicetak seperti kitab al-Imdad karya Salim bin Abdullah al-Bashri dll. Tetapi sepanjang penelitian saya, berjaya menemui seorang tokoh moden yang melakukan kajian Ph.Dnya berdasarkan maklumat sama ada yang makhtutat atau yang tercetak atau yang telah lama tercetak. Tokoh tersebut ialah Rektor IAIN, Dr. Azyumardi Azra. Sempena hari raya Idul Fitri akan dicuba menampilkan pengsucian kekeliruan fakta-fakta yang wajar diketahui agar tidak bersalah sangka terhadap mana-mana aliran.... Tujuan pemaparan hal ini juga untuk mengelakkan kita daripada menipu kerana menipu fakta itu adalah dosa dan bagi yang telah mengetahui perteguhkan kembali. Selama ini, kita dok kritik orientalis tetapi kalau kita bercakap bukan di atas fakta sebenarnya apakah bezanya kita dengan orientalisme itulah sebab saya kemukakan petikan yang panjang di bawah
Saya berpegang di atas dunia ini mesti ada secara kesinambungan akan kebenaran berdasarkan hadis mutawatir, "Akan sentiasa ada segolongan umatku yang zahir berada di atas kebenaran hingga hari akhirat . . . "
Dr. Azyumardi Azra berkata dalam Jaringan Ulama, sebagai berikut:
"Periodisasi dalam sejarah sering menyesatkan, sebab ia menyiratkan ketidaksinambungan (discontinuity). Sejarah sosio-intelektual, khususnya tidak berhenti atau dimulai dengan kekosongan dalam masa tertentu. Hal ini harus ditekankan lebih dulu sebelum kita mempelajari jaringan ulama pada abad ke-18M. Alasannya sederhana; sebahagian para ulama terkemuka yang dibicarakan sebelumnya masih hidup hingga awal abad ke-18 M. Dengan pijakan yang sama, beberapa ulama yang kita masukkan dalam jaringan abad ke-18 M. sudah mulai merintis karier mereka dan mencapai kemasyhuran sebelum penutupan abad ke-17M. Kebanyakan para ulama ini, sampai taraf tertentu, telah dibahas sebelumnya. Tetapi, sebahagian mereka mulai membina diri dan memainkan peranan mereka dalam jaringan pada abad ke-18M.
Lebih jauh lagi, dalam pengertian kandungan intelektual, dalam periode abad ke-18M kita juga melihat banyak tanda-tanda kesinambungan dengan apa yang telah muncul dalam periode sebelumnya. Tetapi ada juga perubahan-perubahan; beberapa kecenderungan baru - yang juga dapat dianggap sebagai memuncak dari kecenderungan periode sebelumnya - berkembang dengan cara yang agak berbeda. Dalam bahagian ini, saya akan menelaah jaringan ulama dari abad ke-18M dan hubungan-hubungan utama mereka di Afrika dan Asia. Saya juga akan membahas kesinambungan dan perubahan kandungan religio-intelektual jaringan ulama tersebut.
Jaringan di Pusat dan Hubungan Asia
Sebagaimana telah dikemukakan, Ibrahim al-Kurani, salah seorang tokoh paling berpengaruh di dalam jaringan ulama, telah berpulang menjelang akhir abad ke-17M. Tetapi yang berpusat di al-Haramain tidak kehilangan momentumnya (yakni daya perkembangannya). Peranan kepemimpinan kini berada di tangan para murid utamadari al-Kurani dan rakan-rakan seangkatan dengannya yang terkemuka; mereka jelas dominan dalam inti jaringan tersebut di al-Haramain pada dasawarsa-dasawarsa awal abad ke-18M. Yang paling penting di antara mereka ialah Hasan al-'Ujaimi, Ahmad al-Nakhli, Abu Thahir al-Kurani, Abdullah al-Bashri dan Abdul Hadi al-Sindi (Abu l-Hasan al-Sindi al-Kabir). Seperti akan segera kita lihat, beberapa murid para ulama ini merupakan inti generasi berikutnya dalam jaringan ulama ke-18 M. Kerana itu, orang-orang berilmu ini menjadi mata rantai penting antara generasi al-Syinnawi, al-Qusyasyi dan al-Kurani, dengan para ulama yang berkembang pada separuh kedua abad ke-18M.
Seorang tokoh yang sangat penting dalam jaringan ulama generasi selanjutnya dalam abad ke-18 ialah Muhammad Hayyat bin Ibrahim al-Sindi al-Hanafi (w. di Madinah pada 1163H/1749M).{1} Seperti terlihat dari namanya, beliau dilahirkan di Sind, di mana beliau mendapatkan pendidikan awalnya. Di kemudian hari, setelah melakukan ibadah haji ke Makkah, beliau memutuskan menetap di Madinah, di mana beliau belajar bersama, antara Abu al-Hasan al-Sindi (al-Kabir), Hasan al-'Ujaimi, 'Abdullah al-Bashri dan Abu Thahir al-Kurani. Tidak jelas apakah di samping mempelajari berbagai-bagai disiplin Islam, Muhammad Hayat menerima tarekat-tarekat dari mereka. Besar kemungkinan, beliau diinisiasi semua ulama tersebut ke dalam tarekat-tarekat dari mereka. Tetapi al-Jabarti menyatakan, beliau diinisiasi ke dalam tarekat Naqsyabandiyyah oleh Sayyid Abdurrahman al-Saqqaf Ba'alawi (w.1140H/1727M di Madinah).{2} Beliau terutama sangat dekat dengan Abdul Hadi al-Sindi; beliau menggantikannya untuk mengajar di halaqahnya di Masjid Nabi setelah Abdul Hadi meninggal dunia.
Teristimewa dikenal sebagai seorang muhaddits dengan reputasi lumayan di Haramain, erti penting Muhammad Hayyat kerana beliau merupakan salah seorang dari sedikit tokoh yang menghubungkan jaringan ulama secara langsung dengan Muhammad bin Abdul Wahhab yang termasyhur (1115-1201H/1703-87M). Menerusi hubungan inilah yang memungkinkan kita mengesan asal-usul ajaran-ajaran Wahhabiyyah. Seperti dikatakan Ibnu Bisyr, Ibnu Abdul Wahhab diperkenalkan gurunya, Abdullah bin Ibrahim bin Sayf al-Najdi al-Madani kepada Muhammad Hayyat, yang dikenal baik oleh keluarganya. Ibnu Abdul Wahhab kemudian belajar bersama dan menemani Muhammad Hayyat.{3} Namun sumber-sumber yang ada tidak memberi petunjuk bila dan berapa lama Ibnu Abdul Wahhab belajar kepada Muhammad Hayyat.
Lebih jauh lagi, menurut Ismail Muhammad al-Anshari{4}, Ibnu Abdul Wahhab di dalam salah satu isnad hadisnya meriwayatkan bahawa beliau juga belajar di Madinah kepada Ali "Affandi" b. Shadiq b. Ibrahim al-Daghistani (1115-99H/1703-85M). Ali al-Daghistani, menurut al-Muradi, meninggalkan tanah airnya untuk menuntut ilmu. Di Madinah, beliau, antara lain, belajar kepada Muhammad Hayyat. Dalam hubungan dengan Ibnu Abdul Wahhab, jelas bahawa Ali al-Daghistani juga mengajar murid-murid, sementara beliau menambah ilmunya sendiri. Di kemudian hari, beliau bertempat tinggal di Damsyik.{5}
Seorang tokoh penting lain yang menghubungkan Ibnu Abdul Wahhab dengan jaringan ulama ialah Abdullah al-Bashri, yang juga merupakan salah seorang guru utama Muhammad Hayyat.{6} al-Kattani dalam penjelasannya tentang Muhammad 'Abid b. Ali al-Sindi al-Madani (w.1258H/1842M di Madinah), mengatakan, Muhammad 'Abid memiliki sebuah isnad hadis; di situ terlihat beliau menerima hadis-hadis dari Ibnu Abdul Wahhab, yang mendapatkannya daripada ayahnya, seorang mufti Najd, yang memperolehnya secara langsung daripada Abdullah al-Bashri.{7}
Tetapi al-Kattani cenderung menolak perkiraan bahawa Ibnu Abdul Wahhab sendiri belajar langsung kepada Abdullah al-Bashri, sebab yang terakhir itu meninggal pada 1134H/1722M, iaitu ketika Ibnu Abdul Wahhab berusia sembilan belas tahun dan kerananya al-Kattani percaya, tidak mungkin telah belajar kepadanya; paling pantas beliau hanya belajar kepada murid-muridnya terdekat. Ini jelas bukan merupakan argumen yang meyakinkan, terutama jika kita pertimbangkan kenyataan bahawa Ibnu Abdul Wahhab pada usia dua belas tahun telah pergi ke Haramain dan menerjunkan dirinya ke dalam wacana ilmiah di sana. Lebih-lebih lagi, kerana ayahnya telah menerima hadis secara langsung daripada al-Bashri, sangat mungkin Ibnu Abdul Wahhab diperkenalkan ayahnya kepada dan selanjutnya belajar kepada al-Bashri.
Muhammad Hayyat jelas termasuk di antara ulama yang memberi pengaruh kuat pada Ibnu Abdul Wahhab. Al-Anshari mengesankan bahawa Muhammad Hayyat memberikan pengaruh paling besar atas pandangan-pandangan keagamaan Ibnu Abdul Wahhab, terutama menyangkut pentingnya doktrin tauhid, penentangan terhadap taqlid dan perlunya kembali kepada al-Quran dan hadis.{8} Muhammad Hayyat, seperti juga kebanyakan tokoh di dalam jaringan ulama, menentang pertikaian yang tak perlu di antara mazhab-mazhab dan sebaliknya, mengajarkan toleransi dan rekonsiliasi. Lebih jauh lagi, beliau menghimbau ulama melakukan ijtihad berdasarkan al-Quran dan al-Hadis. Beliau juga menentang inovasi yang tak berdasar (bid'ah dhalalah) yang dapat membawa kepada syirik, menyekutukan Tuhan dengan ciptaan-Nya.{9}
Kegigihan Muhammad Hayyat menyangkut masalah-masalah ini juga dicatat oleh Salih al-Fullani, yang karier dan peranannya dalam jaringan ulama akan segera dibahas. Dengan mendasarkan dirinya pada penjelasan-penjelasan beberapa gurunya yang menjadi murid Muhammad Hayyat, al-Fullani mengutipnya dan berkata:
"Adalah wajib bagi setiap muslim berusaha sekuatnya (yajtahid) untuk mengetahui makna al-Quran dan untuk mengikuti dan memahami erti hadis dan turunan aturan-aturan hukum daripada kedua-duanya. Jika dia tidak mampu melakukan hal itu, dia harus mengikuti (yuqallid) para ulama tetapi tidak usah mematuhi satu mazhab tertentu sebab melakukan hal itu bererti menganggap mazhab (iaitu pembawanya) tersebut sebagai seorang nabi. Sesungguhnya dia harus mewaspadai setiap mazhab . . . Sedangkan mengenai inovasi yang diperkenalkan rakan-rakan sezaman kita untuk berpegang pada suatu mazhab tertentu dan menganggap tidak layak beralih dari satu mazhab ke mazhab yang lain, ini sama dengan kebodohan, bid'ah dan kesewenang-wenangan. Kita lihat mereka mengabaikan hadis sahih yang tidak dapat dibatalkan dan berpegang pada mazhab mereka tanpa ada rangkaian perawi (sanad)."{10}
Penentangan terhadap bid'ah dan praktik-praktik syirik adalah dua di antara doktrin-doktrin penting daripada Ibnu Abdul Wahhab. Hampir bisa dipastikan, beliau mendapatkannya daripada Muhammad Hayyat. Ibnu Bisyr menyampaikan sebuah cerita bahawa Ibnu Abdul Wahhab dalam suatu kesempatan memandang beberapa orang muslim yang sedang berdoa di pusara nabi dengan harapan melalui perantaraan beliau mereka akan diselamatkan. Muhammad Hayyat mendekati Ibnu Abdul Wahhab dan - sementara menunjuk dengan jarinya ke arah orang-orang muslim itu - berkata bahawa apa yang sedang mereka lakukan itu sangat salah tetapi sayang mereka tidak menyedarinya.{11} Perlu juga dikemukakan, Muhammad Hayyat menulis sebuah buku yang menyatakan bahawa penggunaan tembakau [Persia] (tubak) tidak boleh (tahrim). Dengan segera hal ini mengundang diskusi hangat di kalangan para ulama di Haramain.{12} Telah umum diketahui, Ibnu Abdul Wahhab dan kaum Wahhabi dengan keras melarang merokok tembakau dan kerananya tidak diragukan lagi Ibnu Abdil Wahhab mengambil ajaran ini daripada Muhammad Hayyat.{13}
Meskipun terdapat perkaitan doktrin yang jelas di antara mereka, tidak ada bukti bahawa Muhammad Hayyat secara langsung bertanggungjawab menghasut Ibnu Abdul Wahhab menyebarkan gerakan radikalnya.{14} Dan juga tidak ada indikasi bahawa Abdullah b. Ibrahim b. Sayf, guru utama lain Ibnu Abdul Wahhab, menyuruhnya melakukan hal itu. Sebagai seorang ulama terkemuka yang menguasai fiqh Hanbali dan hadis di Madinah, Ibnu Sayf mengagumi Ibnu Taymiyyah, yang menyerukan kepada kaum muslim untuk kembali kepada al-Quran dan al-Hadis serta meninggalkan praktik-praktik bid'ah mereka. Dan besar kemungkinan beliau menyuruh Ibnu Abdul Wahhab membaca karya-karya Ibnu Taymiyyah. Ibnu Sayf, mengikuti Ibnu Taymiyyah, percaya bahawa pembaharuan harus dilaksanakan untuk menyebarkan pemhaman serta praktik-praktik Islam yang benar; tetapi beliau menyarankan agar pembaharuan itu dijalankan dengan cara-cara damai seperti melalui pengajaran. {15} Juga dilaporkan bahawa Ibnu Sayf mengatakan pada Ibnu Abdul Wahhab bahawa senjata baik lainnya untuk memerangi keyakinan dan praktik-praktik agama yang tidak benar adalah buku-buku. {16}
Telah banyak dilakukan pembahasan di kalangan sarjana tentang asal-usul radikalisme Ibnu Abdul Wahhab. Latar belakang peribadinya tampaknya sangat mempengaruhi sikap radikalnya. Tetapi, sumber dari ajaran-ajarannya adalah para guru utamanya di atas; ajaran-ajaran Ibnu Abdul Wahhab tidak datang daripada orang lain atau tempat lain. Meskipun para gurunya tidak pernah menyuruhnya untuk melahirkan perubahan keagamaan dengan cara radikal seperti yang dilakukannya, beliau jelas terdorong oleh kecenderungan pembaharuan intelektual di dalam jaringan ulama. Namun Ibnu Abdul Wahhab mendorong bandul pembaharuan jauh lebih keras dibanding semua tokoh lain di dalam jaringan ulama.
Ibnu Abdul Wahhab bukanlah satu-satunya murid Muhammad Hayyat. Selain sejumlah murid dari India yang kurang begitu terkenal {17}, beliau mempunyai seorang murid lain yang menonjol. Namanya Muhammad b. Abdul Karim al-Madani al-Syafiei, yang lebih terkenal sebagai al-Sammani. Dilahirkan di Madinah dari keluarga Quraysy, al-Sammani (1130-89H/1718-75M) menikmati kemasyhuran sebagai pendiri tarekat Sammaniyyah.{18} Beliau melewatkan hidupnya kebanyakan di Madinah, tinggal di dalam rumah bersejarah milik Abu Bakar al-Shiddiq. Al-Sammani mengajar di Madrasah Sanjariyyah, yang didatangi ramai murid dari negeri-negeri jauh. Beliau diriwayatkan pernah bepergian ke Yaman dan Mesir pada tahun 1174H/1760M untuk mendirikan cabang-cabang Sammaniyyah dan mengajar murid-muridnya tentang zikir Sammaniyyah. {19}
Selain Muhammad Hayyat, guru-guru al-Sammani lainnya yang terkenal ialah Muhammad Sulaiman al-Kurdi (1125-1194H/1713-80M) {20}, yang pernah menjadi murid Ahmad al-Nakhli, Abu Thahir al-Kurani, Abdullah al-Bashri dan Mushthafa b. Kamaluddin al-Bakri (1099-1163H/1688-1749M). Perlu dikemukakan, Sulaiman al-Kurdi adalah juga guru bagi sekelompok murid Melayu-Indonesia pada abad ke-18M. (yang akan dibahas nanti). Beliau juga seorang penulis yang produktif. Sulaiman al-Kurdi, sebagaimana Ibrahim al-Kurani dan Ibnu Ya'qub, juga menulis sebuah karya yang jelas ditujukan untuk kaum muslim Melayu-Indonesia, berjudul al-Durrat al-Bahiyyah fi Jawab al-As`ilah al-Jawwiyyah.{21} Sangat sayang, saya tidak mendapatkan informasi tentang isinya maupun pertanyaan yang ingin dijawabnya.
Nota:
{1} Untuk biografi lengkap dan karya-karya Muhammad Hayyat, lihat, al-Muradi, Silk al-Durar, IV, 34; Utsman b. Abdullah Ibn Bisyr (w.1288/1871), 'Unwan al-Majd Fi Tarikh Najd, 2 jilid, Riyadh: Maktabat al-Riyadh al-Haditsah, 1971 (?) . I, 7, 25-6; Muhammad b. Muhammad Zabarah (l.1301/1884), Nubala` al-Yaman bi Qarn al-Tsani 'Asyar li al-Hijrah, Kairo: al-Mathba'at al-Salafiyyah, 1376/19`56, 640-6; Abd al-Hayy b. Fakhr al-Din al-Hasani, Nuzhat al-Khawathir Fi Buhjat al-Masami' wa al-Nawazhir, 7 jilid, Hayderabad: Da`irat al-Ma'arif al-Utsmaniyyah, 1931-59, VI, 301-2; al-Qannuji, Abjad al-Ulum, III, 169-70 (buku ini saya miliki); al-Kattani, Fahras, I, 356-7; al-Baghdadi, Hadiyyat al-'Arifin, II, 327.
{2} Abdurrahman al-Saqqaf Ba'alawi ialah seorang sufi di Haramain, yang sebelum menetap di Madinah sering melakukan perjalanan ke India di mana beliau diinisiasikan ke dalam tarekat Naqsyabandiyyah. Lihat al-Jabarti, 'Aja``ib al-Atsar, I, 125-6.
{3} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, I, 7, 25-6.
{4} Lihat, Ismail Muhammad al-Anshari, "Hayat al-Syaikh Muhammad ibn Abdul Wahhab wa Atsaruh al-'Ilmiyyah", dalam Buhuts Usbu' al-Syaikh Muhammad bin Abdul Wahhab, Riyadh (?): al-Mamlakat al-'Arabiyyah al-Su'udiyyah, 1403/1983, I, 168. Bandingkan dengan al-Kattani, Fahras, I, 365; Khayr al-Din al-Zarkali, 1389/1969, VII, 137-8, (buku ini saya miliki).
{5} Untuk biografi dan karya-karya al-Daghistani, lihat, al-Muradi, Silk al-Durar, III, 215; al-Baghdadi, Hadiyyat al-'Arifin, II, 770-1. Bandingkan dengan al-Kattani, Fahras, I, 365, 485, 535; II, 869 untuk hubungannya lebih jauh dengan para tokoh terkemuka dalam jaringan ulama.
{6} al-Anshari, "Hayat al-Syaikh", 129.
{7} Lihat, al-Kattani, Fahras, I, 364.(Nota Zaidi: Dalam kitab sanad al-Imdad Bi Asanid al-Syaikh Abdul Fattah Abu Ghuddah menjadikan Abdullah al-Bashri sebagai guru kepada Muhammad Abdul Wahhab)
{8} al-Anshari, "Hayat al-Syaikh..",127.
{9} Abdullah al-Shalih al-'Utsaymin, al-Syaikh Muhammad ibn Abdul Wahhab: Hayatuh wa Fikruh, Riyadh: Dar al-Ulum, t.t., 3.
{10} Shalih al-Fullani, Iqazh Himam uli al-Abshar, Kairo (?): Muniriyyah Press, 1355/1936-7, 70, dikutip dalam J.O. Hunwick, "Shalih al-Fullani (1752/3-1803): The Career and Teachings of a West African 'Alim in Medina", dalam A.H. Green (penyunting), In Quest of an Islamic Humanism: Arabic and Islamic Studies in Memory of Mohamed al-Nowaihi, Kairo: The American University Press, 1984, 147-8. (Nota tambahan: Kitab Iqazh al-Himam insya Allah akan disebar oleh saya menerusi nakhah guru kami. Untuk makluman pembaca sebenarnya orang mazhab Syafiei yang belajar di Makkah telah bersifat toleransi juga tetapi bersyarat seperti bertaqlid kepada mazhab Hanafi dalam pembayaran zakat fitrah dan begitu juga dengan permohonan maaf terhadap dosa-dosa secara umum dipinjam dari mazhab Maliki. Manakala pendapat menafikan langsung akan mazhab tetap ditentang oleh mana-mana aliran kaum tua).
{11} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, I, 7.
{12} Zabarah, Nubala`, 642
{13} Diharap pembaca jangan salah guna fakta ini sehingga menuduh mana-mana fatwa lain tidak boleh dipakai langsung. Kini, sebahagian umat Islam cenderung untuk menyatakan sesat kepada yang bercanggah dengan pendapatnya dan memaksa orang lain memakai pendapatnya. Kemungkinan besar Muhammad Hayyat mengharamkan berdasarkan illah tertentu menurut kefahaman mazhabnya sendiri. Lain mazhab lain dasarnyaNamun begitu, perbahasan dalil secara ilmiah tetap boleh dilakukan..intaha Zaidi.
{14} Sebenarnya Muhamamd Abdul Wahhablah yang bertanggungjawab menggunakan secara militan untuk menegakkan hujahnya kerana telah terbukti dia bersepakat dengan tokoh tertentu untuk melawan secara peperangan sekaligus memerangi wakil Khilafah Uthmaniyyah maka dengan in bermula proses zaman fitnah pada zaman mutakhir umur dunia. Dalam konteks ini, seorang ulama bernama Ibnu Abidin telah menfatwakan bahawa golongan Wahhabiyyah pada zamannya sebagai bughah (penderhaka). Ini berlainan zaman salaf salih yang sebenar di mana pernah suatu ketika Imam Malik ditawarkan kitabnya sebagai perlembagaan khilafah maka ditolaknya kerana menghormati perbezaan pendapat yang terdapat pada zaman itu. Di Malaysia, contohnya, empat mazhab dibenar untuk diamalkan tetapi semakin ada yang cuba untuk meruntuhkannya untuk memaksa orang Islam pegang satu pendapat sahaja. Orang bermazhab Syafiei di Malaysia sebenarnya bukan taksub membabi buta tetapi kalau dibuka seluas-luasnya kebebasan berpendapat juga akan menimbulkan perpecahan yang parah malah tidak akan wujud pelaksanaan undang-undang kerana masing cuba mengelak untuk disabitkan kesalahan akan cuba menukar-nukar pendapat pegangan mereka. Di atas dasar inilah ulama Syafiyyah mengharamkan kepada sesiapa yang suka-suka bertukar pendapat berdasarkan nafsu. Ini mafhum umum daripada fatwa dan kuliah guru kami.
{15} al-Utsaymin, al-Syaikh Ibn Abd al-Wahhab, 34.
{16} Ibnu Bisyr, 'Unwan al-Majd, 7.
{17} Lihat, al-Hasani, Nuzhat al-Khawathir, VI, 301-2; al-Qannuji, Abjad al-Ulum, III, 170. Perlu dikemukakan secara sambil lalu di antara para murid Indianya adalah Muhammad b. Fakhr al-Din al-Ilahabadi, seorang guru Murtadha al-Zabidi seperti akan dijelaskan jauh di bawah
No comments:
Post a Comment