Setelah berakhirnya Ramadhan dan telah berlalu kini Syawal melepasi separuh bulan, masih berbaki buat kita semua selaku umat Nabi s.a.w untuk terus mengamalkan satu lagi sunnah yang sangat dituntut untuk kita amalkan bersama dan untuk sama-sama kita mengumpul bekalan ke akhirat kita.
Apakah sunnah tersebut? Tidak lain tidak bukan ia Puasa Enam. Sunnah ini bertepatan dengan saranan Nabi s.a.w sendiri sepertimana disebutkan di dalam hadith baginda s.a.w. Nabi s.a.w bersabda: "Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, maka seolah-olah dia telah berpuasa sepanjang masa (tahun)", [Hadith riwayat Muslim dalam Sahihnya, no.Hadith 1164].
Secara jelasnya, berdasarkan zahir hadith tersebut, bagi individu yang melanjutkan puasa enam hari pada bulan Syawal akan mendapat ganjaran pahala seperti berpuasa sepanjang tahun. Ia juga menggambarkan secara jelas, galakan dan dorangan Nabi s.a.w kepada umat baginda untuk meneruskan ibadat dan ketundukan kepada Allah s.w.t melalui puasa walaupun Ramadhan baru sahaja berakhir. Kerelevenan tersebut juga jelas menunjukkan bahawa, walaupun umat Islam, baru sahaja kembali kepada fitrah, yakni kembali dalam keadaan diri dan jiwa yang suci daripada dosa-dosa setelah mengharungi sebulan berpuasa di bulan Ramadhan al-Mubarak. Bertepatan sepertimana sabda Nabi s.a.w: "Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan keikhlasan, nescaya akan dimapunkan oleh Allah s.a.w segala dosanya yang telah lalu" [hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya, Kitab Puasa, no.hadith 1769].
Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam, beliau menyebutkan bahawa barang siapa yang berpuasa enam hari pada bulan Syawal, seakan-akan dia berpuasa setahun. Ini kerana suatu kebaikan dibalas dengan sepuluh kali ganda sepertinya. Puasa Ramadhan dibalas dengan ganjaran bersamaan sepuluh bulan (iaitu bersamaan 300 hari), puasa enam hari pada bulan Syawal pula mendapat ganjaran sebanyak dua bulan (bersamaan 60 hari), yang demikian itu menjadi sunah yang sempurna, maka tercapailah pahala beribadah setahun tanpa kesulitan sebagai kurnia Allah dan nikamt ke atas hambaNya. [Tawdih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, jilid 3, hlm 576, Pustaka Azzam].
Berdasarkan pandangan Syeikh Abdullah tersebut, beliau cuba untuk mengambarkan kepada kita, bagaimanakah dikatakan setahun pahalanya apabila seseorang itu melakukan puasa enam hari pada bulan Syawal. Melalui pendapat tersebut, beliau mengambarkan puasa enam ini pahalanya adalah bersamaan dengan dua bulan atau 60 hari ganjarannya. Sedangkan puasa Ramadhan pula ganjaran pahalanya menyamai sepuluh bulan atau 300 hari. Setelah dicampurkan puasa Ramadhan dan Puasa Enam hari pada bulan Syawal maka keseluruhnya genap 12 bulan iaitu setahun.
Semoga, pada kesempatan yang telah dikurniakan Allah s.w.t untuk kita mengharungi sebulan puasa pada bulan Ramadhan, lalu dilanjutkan lagi usia menyelusuri Syawal, sepatutnya kita tidak mensia-siakan peluang ini untuk sama-sama kita mengamalkannya. Semoga juga kita tidak ketinggalan untuk mendapat ganjaran setahun berpuasa memandangkan untuk Ramadhan dan Syawal akan datang belum tentu dikunjung tiba. Entah bila Malaikat Maut datang, ehtah bila ajal menjemput pergi. Ayuh! Marilah kita mengamalkannya.
al-fakir ila allah;
mindasuci:-)
No comments:
Post a Comment