Thursday, March 8, 2012

“Bahan-Bahan Rawatan” Yang Terpakai Di Beberapa Pusat Rawatan Alternatif Di Malaysia : Satu Tinjuan Dari Sudut Hukum Dan Ilmu Pengubatan Islam

Rushdi Ramli & Khadher Ahmad

Abstrak

Islam memberikan panduan yang teliti yang berkaitan dengan persoalan perubatan dan rawatan penyakit. Terlalu banyak hadis-hadis Nabi saw yang menyentuh mengenai persoalan ini. Di samping itu tidak sedikit fatwa-fatwa para ulama yang bertaburan di sana sini yang telah dikeluarkan bagi tujuan merungkaikan pelbagai isu-isu atau hukum-hakam yang berkaitan dengan perubatan. Ini adalah kerana menurut Islam tidak semua pendekatan dan metode perubatan yang digunapakai pada hari ini boleh diterima sebagai metode rawatan yang halal dan sah. Antara syarat-syarat utama yang berkaitan dengan perubatan yang sah menurut Islam ialah pengguanan bahan-bahan yang halal dan suci dan tidak menyalahi syarak. Kebanjiran pusat-pusat rawatan alternatif di Malaysia pada hari ini telah memberikan 1000 harapan kepada ramai pesakit yang masih belum menemui penawarnya melalui rawatan-rawatan moden di hospital dan klinik. Namun di sebalik “harapan” yang diberikan oleh pusat-pusat rawatan alternatif tersebut, perhatian terhadap “bahan dan alat rawatan” yang digunapakai oleh pusat-pusat tersebut adalah terlalu penting bagi mempastikan kaedah rawatan yang diberikan tidak menyalahi hukum syarak. Artikel yang disediakan ini bertujuan untuk meneliti beberapa bahan dan alat rawatan yang digunakan di beberapa pusat rawatan alternative di Malaysia.

Nota: Artikel penuh boleh dapatkan daripada penulis. Artikel ini telah dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa VII anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 14-15 Disember 2011.

HUKUM SEMASA DALAM RAWATAN ISLAM: ISU TERHADAP PENGAMALAN KAEDAH “SCANNING” DALAM RAWATAN PENYAKIT GANGGUAN MAKHLUK HALUS

Khadher Ahmad[1]

Dr. Rushdi Ramli[2]


Abstrak

Rawatan Islam atau Pengubatan Islam merupakan satu pendekatan dalam rawatan penyakit yang kini berpesat kini. Ia menjadi satu rawatan alternatif dalam rawatan pelbagai penyakit khususnya penyakit yang berpunca daripada gangguan makhluk halus seperti jin dan syaitan. Kaedah “scanning” atau kaedah mengimbas dan mengesan kehadiran makhluk halus dalam tubuh pesakit adalah salah satu daripada teknik yang diamalkan di pusat-pusat rawatan Islam dalam rawatan penyakit tersebut. Walau bagaimanapun tiada nas yang secara jelas menerangkan hukum terhadap pengamalan kaedah rawatan tersebut. Artikel ini bertujuan untuk meneliti pandangan ulama dan membuat kesimpulan hukum yang tepat berhubung dengan pengamalan kaedah “scanning” dalam rawatan penyakit sama ada ia dibenarkan ataupun dilarang berdasarkan landasan hukum Islam. Hasil penelitian mendapati bahawa kaedah “scanning” bagi mengesan kehadiran makhluk halus dalam tubuh pesakit adalah terdiri daripada dua pandangan yang berbeza iaitu; [Pertama] Dibenarkan apabila kaedah scanning itu dilakukan dengan menggunakan ruqyah-ruqyah yang dibenarkan, tidak ada dakwaan salah yang berhubung dengan perkara ghaib, tiada percampuran dengan unsur maksiat dan tidak menyerupai amalan perbomohan yang salah; dan [Kedua] Diharamkan apabila dalam proses rawatan tersebut, perawat melakukan amalan yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti berlaku perkara maksiat, mendakwa mengetahui perkara-perkara ghaib dan menyerupai amalan perbomohan.

Kata Kunci: Rawatan Islam, kaedah “scanning”, gangguan, makhluk halus.



[1] Fellow SLAI merangkap pelajar Ijazah Tinggi di Jabatan al-Quran & al-Hadith, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur yang sedang menyiapkan tesis PhD. (Emel: kbd1997@gmail.com)

[2] Penyarah di Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya Kuala Lumpur. (Emel: sufism@um.edu.my).

Nota: Artikel penuh boleh dapatkan daripada penulis. Artikel ini telah dibentangkan dalam Seminar Hukum Islam Semasa VII anjuran Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada 14-15 Disember 2011.

Kecintaan Kepada Nabi Saw Melebihi Kecintaan Pada Diri Sendiri Dan Sesama Manusia


Pendahuluan

Apabila kita memperkatakan tentang cinta, pasti tergambar di benak fikiran kita cinta anak kepada ibu bapa, cinta isteri kepada suami, cinta sahabat kepada sahabat yang lain atau cinta sesama manusia. Sedangkan manusia sering alpa dengan kehebatan cinta hamba kepada Allah dan kemuliaan cinta umat kepada Rasulnya. Sempena Maulidur Rasul yang disambut saban tahun, pelbagai program dan aktiviti dilaksanakan bagi menyambut ulang tahun kelahiran Rasulullah s.w.t. Namun persoalannya adakah sambutan itu diadakan atas dasar kecintaan kepada Rasulullah atau sekadar menjadi trend budaya semata-mata. Hal ini dapat dielakkan sekiranya semua masyarakat Islam memahami serta menghayati pengorbanan Rasulullah s.w.t dalam menegakkan Islam dan membawa rahmat ke seluruh alam.

Lantaran itu, mengingati kelahiran Nabi s.a.w adalah wajar untuk disambut memandangkan nikmat Islam yang dibawa oleh baginda selaku pesuruh Allah kepada kita semua adalah nikmat yang tidak ternilai dan tiada bandingnya. Oleh yang demikian, kita seharusnya meletakkan kecintaan kepada Nabi s.a.w lebih berbanding dengan diri kita dan manusia lainnya. Dalam hadith daripada Anas bin Malik r.a. berkata:

قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ «لاَ يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ، حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ»

Nabi SAW bersabda: “Tidak beriman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dikasihi oleh kamu berbanding dengan anak-anak, kedua ibu bapa dan manusia yang lainnya.”

Hadith ini merupakan hadith sahih yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim dalam kitab sahih mereka. Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini dalam Kitab al-Iman dalam berkaitan dengan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w sebahagian daripada iman (tanda keimanan).

Ibn Hajar ketika mengulas hadith ini, beliau menyatakan bahawa kasih dan cinta kepada Nabi SAW adalah daripada perkara usul keimanan iaitu menyamai kasih dan cinta kepada Allah SWT. Tambah beliau lagi, penekanan perlu diberikan kepada cinta kepada Allah dan RasulNya berikutan terdapat beberapa perkara yang dikasihi dan disayangi oleh kebanyakan orang iaitu cinta kepada kaum keluarga, harta benda, negara atau tanah air dan pelbagai perkara lagi.

Demikian perkara ini disebutkan dalam firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah ayat 24:

Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan RasulNya dan (daripada) berjihad untuk agamaNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksaNya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Saidina ‘Umar pernah berkata kepada Nabi SAW: “Aku mengasihi kamu melebihi kasih aku terhadap segala perkara kecuali (aku lebih mengasihi) diri aku sendiri.” Lalu Nabi SAW berkata kepada beliau: “Tidak, wahai ‘Umar, sehinggalah aku dikasihi oleh kamu lebih daripada dirimu sendiri.”. Maka ‘Umar berkata: “Demi Allah, mulai sekarang, kamu lebih aku kasihi daripada diriku sendiri.” Nabi SAW menyapa: “Sekarang juga wahai ‘Umar.”

Berhubung dengan persoalan kasih dan cinta kepada Rasulullah SAW, maka wajib ke atas semua umat Islam untuk mengasihi Rasulullah SAW mengatasi kasih kepada diri sendiri, kasih kepada anak-anak, adik beradik, kaum keluarga, harta benda, orang miskin dan lain-lain lagi yang dikasihi oleh manusia. Kesempurnaan kasih dan cinta tersebutdapat direalisasikan dengan mentaati Nabi SAW sepertimana firman Allah s.w.t dalam surah Ali ‘Imran ayat 31.


Maksudnya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”

Menurut Ibn Kathir, ayat ini menjadi penghukum kepada golongan yang mengakui cinta kepada Allah s.w.t tetapi bukan melalui jalan yang ditunjukkan oleh Nabi s.a.w. Maka keadaan tersebut menunjukkan bahawa mereka adalah golongan pendusta yang menyeru mengikut hawa nafsu mereka sehinggalah mereka mengikuti syariat yang dibawa oleh Nabi s.a.w

Tanda Cinta Kepada Nabi

Tanda seseorang Muslim itu mendahului kasih kepada Nabi s.a.w berbanding dengan kasih kepada makhluk yang lain dapat dirujuk dalam situasi ini. Apabila berlaku pertembungan di antara ketaatan kepada Rasulullah s.a.w dalam menunaikan segala perintahnya dengan seruan orang lain dalam melakukan sesuatu perkara yang sangat dikasihinya, maka jika individu Muslim tersebut mendahului ketaatan kepada Rasul dan mengerjakan segala suruhannya berbanding menyahut seruan manusia lain, maka ia membuktikan kasih sayang yang sebenar kepada Nabi s.a.w. Namun, jika individu itu mendahului ketaatannya dengan menyahut seruan kepada perkara yang dikasihinya itu maka ia menunjukkan bahawa belum hadir keimanan yang sempurna di dalam dirinya. Demikian juga dalam mendahului ketaatan kepada Allah s.w.t berbanding dengan melakukan perkara yang dihajati atau disukai oleh hawa nafsunya. Apabila didahului segala tanggungjawab ketaatan kepada Allah dan rasulNya, ia membuktikan bahawa individu Muslim itu telah mencapai darjat kesempurnaan iman dan diangkat kepada darjat orang-orang yang dekat dengan Allah (al-Muqarrabin), orang-orang yang dikasihi Allah (al-Muhibbun) atau orang-orang yang sentiasa melazimi dengan perkara-perkara sunat (al-Muqarrabin bi al-Nawafil).

Hadith ini dapat dikukuhkan lagi dengan hadith lain yang menjelaskan bahawa kasih sayang yang paling tinggi adalah dicurahkan kepada Allah s.w.t dan RasulNya. Anas bin Malim r.a meriwayatkan bahawa daripada Nabi s.a.w bersabda:

" ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ الإِيمَانِ: أَنْ يَكُونَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا،

Maskudnya: Tiga perkara apabila ada didalam diri seseorang itu, dia mendapat kemanisan iman, iaitu (salah satunya adalah); hendaklah Allah dan RasulNya lebih dikasihi daripada selainnya….” (Hadith riwayat al-Bukhari)

Menzahirkan Kecintaan Kepada Nabi s.a.w

Pelbagai pendekatan dan wasilah yang boleh digunakan untuk menzahirkan kecintaan kita kepada Nabi s.a.w dapat diterjemahkan dalam bentuk percakapan, perbuatan dan tingkah laku kita seharian. Untuk itu, dicadangkan beberapa perkara yang boleh melahirkan rasa cinta kita kepada Nabi s.a.w.

Pertama: Menetapkan akidah yang benar dari sudut kecintaan kepada Nabi s.a.w iaitu kecintaan kepada Nabi s.a.w adalah sepertimana kecintaan kepada Allah s.w.t yang melebihi kecintaan pada diri sendiri dan sesama manusia. Ini bermakna seseorang individu itu mendahului tuntutan dan tanggungjawab yang wajib diikuti dengan tuntutan sunat dalam menjalani kehidupannya berbanding perkara-perkara yang dihajati atau disukainya. Contoh mudah, seseorang itu segera menyahut seruan azan di masjid atau surau untuk menunaikan solat berjemaah. Dalam satu hadith sahih ada menyebutkan kisah keuzuran Ibn Ummu Maktum yang meminta keringanan kepada Nabi s.a.w untuk tidak bersolat berjemaah di masjid. Namun, apabila Nabi s.a.w bertanyakan beliau sama ada mendengar azan atau tidak, lalu beliau menyatakan bahawa beliau mendengar azan memanggil solat. Nabi s.a.w pun menyatakan bahawa beliau wajib ke masjid menyahut seruan azan tersebut. (Mafhum daripada hadith riwayat Muslim).

Kedua: Mentaati segala perintah dan ajaran yang di bawa oleh baginda s.a.w

Dengan mentaati segala perintah Nabi s.a.w juga menandakan seseorang itu cinta dan kasih kepada Nabi s.a.w. Ini kerana, ketaatan kepada segala ajaran Nabi s.a.w merupakan satu tanggungjawab dan tanggungjawab itu tidak dilaksanakan melainkan seseorang yang benar-benar cinta dan kasih kepada Nabi s.a.w. Firman Allah s.w.t dalam surah al-Nisa’ ayat 64:

Maksudnya: “Dan Kami tidak mengutus seseorang Rasul pun melainkan supaya ia ditaati dengan izin Allah. Dan kalaulah mereka ketika menganiaya diri mereka sendiri datang kepadamu (Wahai Muhammad) lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasulullah juga memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.”

Abi Hurairah r.a. menyatakan Rasulullah s.a.w bersabda: “Semua umatku akan masuk Syurga melainkan seseorang yang ‘aba. Lalu para sahabat bertanya: “Siapakah (yang dimaksudkan) sebagai ‘aba?” Nabi s.a.w menjawab: “Sesiapa yang mentaati aku, dia akan memasuki Syurga dan sesiapa yang ingkar (dengan perintahku) maka dia (adalah seorang yang) aba.” (Hadith riwayat al-Bukhari).

Umar al-Khattab berdiri di penjuru Baitullah berhadapan dengan Hajar al-Aswad seraya berkata: “Aku tahu kamu adalah batu, kalaulah aku tidak melihat kekasihku Rasulullah s.a.w mengucupi dan melambaikanmu, sama sekali saya tidak akan melambai dan mengucupmu.”

Ketiga: Menahan diri daripada mengingkari dan melanggar syariat Nabi s.a.w

Selain melaksanakan segala suruhan dan perintah Nabi s.a.w, seseorang yang mencintai Rasulullah s.a.w sama sekali tidak akan melakukan sesuatu perkara yang dimurkai oleh Allah s.w.t dan rasulNya. Hendaklah mereka yang benar-benar mencintai Nabi s.a.w berusaha untuk menahan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat. Individu yang mengingkari perintah rasul dan melakukan perkara yang melanggari syariat yang dibawa oleh rasul telah meletakkan dirinya kepada ancaman seksa yang pedih daripada Allah s.w.t.

Perkara ini jelas disebutkan oleh Allah s.w.t dalam ayat 36 surah al-Ahzab: Maksudnya: “Dan sesiapa yang tidak taat kepada hukum Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang jelas nyata.”

Dikukuhkan lagi melalui firmanNya pada ayat 63 surah al-Nur: Maksudnya: “Hendaklah mereka yang mengingkari perintahNya, beringat serta berjaga-jaga jangan sehingga mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”

Keempat: Mempraktikkan amalan-amalan sunnah dalam kehidupan seharian.

Cara lain yang boleh menzahirkan kecintaan kepada Nabi s.a.w adalah dengan mempraktikkan amalan-amalan sunnah yang disarankan oleh Nabi s.a.w. Banyak amalan sunnah yang disarankan oleh baginda melalui penjelasan hadith-hadith Nabi s.a.w. Dari itu, kita bebas untuk memilihnya berdasarkan kepada kemampuan masing-masing. Antaranya solat sunat, amalan puasa pada hari Isnin dan Khamis, menziarahi orang sakit, berbuat baik kepada ibu bapa dan jiran tetangga, berakhlak dengan akhlak Nabi s.a.w dan lain-lain. Saidatina ‘Aishah r.a. pernah ditanya tentang akhlak Nabi s.a.w. Lalu beliau menyatakan: “Akhlak Rasulullah s.a.w adalah al-Quran.” (Hadith riwayat Ahmad dan al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad).

Kelima: Sentiasa melafazkan selawat ke atas baginda s.a.w

Seorang yang cintakan Nabi s.a.w juga boleh menzahirkan kecintaan tersebut dengan sentiasa mengingati Nabi s.a.w dalam keadaan senang dan susah. Pendekatan yang terbaik adalah sentiasa berselawat ke atas baginda s.a.w. Antara lafaz selawat yang boleh diamalkan adalah seperti disebutkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya adalah:

Daripada Ka‘ab bin ‘Ujrah berkata: Kami pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: “Wahai Rasulullah s.a.w, bagaimana cara untuk kami berselawat ke atas engkau selaku Ahli Bait. Sesungguhnya adakah Allah s.w.t mengajarkan kepada kami bagaimana berselawat ke atas engkau?” Lalu Nabi s.a.w menyuruh beliau berselawat seperti lafaz selawat berikut:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ، إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ، اللَّهُمَّ بَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ، كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ

Jika dirasakan ia terlalu berat untuk dilafazkan, maka bolehlah paling kurang kita mengucapkan lafaz selawat ke atas Nabi s.a.w dengan lafaz: “اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ

Kesimpulannya, kecintaan kepada Nabi s.a.w adalah merupakan cinta sebenar yang mengatasi cinta kepada diri sendiri dan cinta kepada manusia lain. Seseorang itu dapat membuktikan kecintaan kepada nabi s.a.w dengan pelbagai wasilah selagi mana akidah Islam yang merupakan nikmat tersebut dipertahankan dengan sebaiknya. Syukur kita kepada Allah s.w.t kerana dilahirkan sebagai seseorang Muslim tanpa kita memintanya. Semoga apabila kita meminta Syurga daripada-Nya, permintaan tersebut dimakbulkan dengan sebaik-baiknya.


Rujukan: Majalah Fardu 'Ain, Edisi 10.