Tuesday, March 25, 2008

BAHAYANYA NIFAK

BAHAYA NIFAK

Kertas kerja ini telah dibentang di majlis Forum Ramadan anjuran Masjid al-Khair Singapura. Majlis diadakan pada 24hb Dec. 2000, jam 10.45 malam yang dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Ahmad Dahlan. Anggota penal terdiri dari penulis dan Yang Berbahagia Dr. Johari Mat dari University Malaya, Malaysia.

Penulis mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Masjid al-Khair, para Imam, Tuan Pengerusi Masjid, Ahli-Ahli Jawatankuasa Masjid, mereka yang terlibat dan kepada penyelaras Forum Ramadan Encik Mohammad Salleh Mohd Som yang sudi menjemput penulis dalam majlis tersebut. Semoga semua kegiatan dan usaha suci mereka sentiasa diberkati, dirahmati, diredhai Allah Azza Wa-Jalla dan juga semoga sentiasa berjaya. Tak lupa juga ucapan terima kasih kepada Persatuan Muhammadiyah yang telah berurusan dengan pihak Masjid al-Khair untuk melibatkan penulis dalam forum yang telah dimudahkan oleh Allah perjalanannya sehingga mendapat kejayaan.


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ ، وَالصَّلاَةُ وَالسَّلاَمُ عَلَى اَشْرَفِ اْلاَنْبِيَاءِ والْمُرْسَلِيْنَ ، نَبِيِّنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى اَلِهِ وَاَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُ اِلَى يَوْمِ الدِّيْنَ.

BAHAYA NIFAK

Bermulanya sejarah dan munculnya orang-orang munafik yang pertama di kalangan umat Islam ialah setelah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa-sallam berhijrah ke Madinah. Semasa di Mekkah (zaman Mekkah) tidak wujud orang munafik sama ada secara individu atau kelompok, kerana hanya ada dua golongan sahaja semasa Nabi menyebarkan dakwah Islamiyah di Mekkah, iaitu:

Pertama: Golongan kaum muslimin yang kebanyakannya merahsiakan keimanan mereka demi untuk menyelamatkan Islam, iman dan dirinya dari tindakan orang-orang kuffar (musyrikin).

Kedua: Golongan atau kaum kuffar musyrikin yang kuat penentangannya terhadap orang-orang yang beriman.

Contoh yang dibawakan oleh sejarah tentang orang-orang munafik ialah peranan Kabilah Aus dan Khazraj serta orang-orang yang mengikuti mereka. Mereka adalah golongan munafik pertama muncul di Madinah, kemudian mereka mengumpulkan dan menghasut orang-orang di Madinah menjadi munafik seperti mereka kerana benci dan sakit hati diatas kemenangan kaum Muslimin dalam peperangan Badar.

Golongan munafik ini diketuai dan dipimpin oleh Abdullah bin Ubay bin Sallul yang menjadi ketua kabilah Kahzrah. Beliau pernah dinobatkan oleh orang-orang Yahudi sebagai raja di Yathrib (Madinah) tetapi terhalang dan tidak berjaya setelah kedatangan Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa-sallam sehingga menggagalkan rancangannya menguasai Madinah. Kegiatan nifak beliau dibantu oleh kawan karibnya Abdullah bin Ubay.

DEFINISI NIFAK

Nifak dalam Bahasa Arab di ambil dari akar kata (kata dasar) (نفق اليربوع) yang bererti "Lubang Tikus", ini kerana kebiasaannya tikus mudah menampakkan jalan masuk ke lubangnya namun tidak menampakan jalan keluarnya. Maka ia memberi maksud: "Menampakkan dan melahirkan sesuatu kemudian menyembunyikan (merahsiakan) lawannya".[1]

Antara kalangan ulama muktabar yang telah mendefinisikan nifak ialah Imam Ibn Kathir rahimahullah. Menurut beliau nifak ialah:


اِظْهَارُ الْخَيْرِ وَاِسْرَارُ الشَّرِّ

"Melahirkan yang baik dan menyembunyikan (merahsiakan) yang buruk.[2]

Ibn Juraij rahimahullah pula mendefinisikan nifak sebagai:


المنافق يخالف قوله فعله وسره علانيته ومدخله مخرجه ومشهده مغيبه

"Si Munafik itu bertentangan perkataannya dengan perbuatannya, yang dirahsiakan dengan yang berterang-terangan, yang di dalam (hati)nya dengan luarannya dan yang dipersaksikannya dengan yang disembunyikannya".[3]

Menurut pendefinisian Ibn Qaiyim rahimahullah pula bahawa nifak ialah:

"Nifak itu ialah penyakit yang memenuhi anggota dalaman seseorang yang tidak disedari olehnya. Kerana nifak adalah urusan yang tersembunyi pada manusia. Cara kebanyakan yang menyembunyikan nifaknya ialah dengan bermuka-muka sebagai seorang pelaku kebaikan sedangkan dia adalah seorang yang pembuat kerosakan".[4]

NIFAK TERBAHAGI DUA

Menurut Ibn Qaiyim lagi, nifak itu terbagi dua:

Pertama: Nifak Akbar, "Nifak Besar" atau nifak akidah (iktiqad) yang menyebabkan pelakunya jika tidak bertaubat sebelum meninggal dunia dia akan dikekalkan di dalam neraka.[5] Di neraka pula Si Munafik ini akan ditempatkan di neraka yang paling terbawah (kerak neraka).[6]

Boleh diertikan juga bahawa nifak akbar ialah:

Merahsiakan kekufuran dalam hati dan melahirkan keimanannya dengan lisan dan perbuatan (amalan)”.

Antara contoh-contoh nifak akbar (nifak besar) ialah:

1. Mendustakan apa yang disampaikan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sama ada sebahagian atau keseluruhannya. Seperti menolak dan mendustakan bahawa hadis-hadis sahih (as-Sunnah) tidak perlu dipakai lagi dan cukup hanya dengan mengambil al-Quran sahaja.

2. Mempermain-mainkan, memperlekeh atau menghina sebahagian dari ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam. Seperti menghina penutupan aurat bagi wanita mukminah, menghina akhlak Islamiyah atau memperlekeh dan menghina perlaksanaan hukum-hukum Allah Azza wa-Jalla yang alasannya hanya semata-mata bertujuan untuk mempermain-mainkan agama Allah.

3. Membenci Rasulullah sallallahu 'alaihi wa-sallam sama ada dengan tindakan, ucapan, sindiran atau hasutan. Seperti menuduh bahawa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam sebagai seorang sayhwani (gila sex atau kaki perempuan).

4. Merasa gembira dan senang dengan kejatuhan Islam dan senang dengan kemenangan kuffar atau menolong (membantu) musuh dengan apa cara sekalipun dalam usaha menghancurkan Islam, memerangi umat dan Daulah Islamiyah.

5. Membenci ajaran yang dibawa oleh Rasulullah sallallahu 'alaih wa-sallam atau menentangnya sehingga menghalang-halangi dakwah dan kelancaran perjalanannya sebagaimana firman Allah:

رَاَيْتَ الْمُنَافِقِيْنَ يَصُدُّوْنَ عَنْكَ صُدُوْدًا

Nescaya kamu lihat orang-orang munafik menghalang-halangi (manusia) dengan sekuat-kuatnya”. An-Nisa, 4:61.

Kedua: Nifak Asghar (اصغر),[7] "Nifak kecil" atau nifak amali iaitu salah satu dari dosa-dosa besar yang paling besar. Namun pembuatnya tidak akan dikekalkan di dalam neraka. Dinamakan nifak kecil ialah apabila perbuatan seseorang nampak jelas berbeza dengan apa yang telah disyariatkan oleh syara. Antara contoh-contoh nifak kecil ialah:

(1). Mudah dan suka berdusta dalam ucapan atau perkataannya sebagaimana yang telah dijelaskan di dalam al-Quran dan sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alihi wa-sallam:

وَاللهُ يَشْهَدُ اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ
Dan Allah mengetahui bahawa sesungguhnya orang-orang munafik benar-benar orang pendusta (pembohong)”, Al-Munafiqun, 63:1.

اِنَّ الْكَذِبَ يَهْدِيْ اِلَى الْفُجُوْرِ ، وَاِنَّ الْفُجُورَ يَهْدِيْ اِلَىالنَّارِ ، وَلاَ يَزَلُ الرَّجَلَ يَكْذِبُ وَتَحَرَّى الْكَذِبَ حَتَّى يَكْتُبَ عِنْدَ اللهِ كَذَّابًا.
"Sesungguhnya dusta itu mengarah kepada kemaksiatan, kemaksiatan mengarah kepada neraka. Sesungguhnya seseorang itu akan terus berdusta dan sentiasa mencari celah dusta sehingga ia dicatit di sisi Allah sebagai pendusta".

(2). Tidak menepati janji sebagaimana sabda Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ

"Dan apabila berjanji ia tidak menepatinya"

(3). Mengkhianati amanah sebagaimana larangan Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam dari melakukan pengkhianatan:

وَلاَ تَخِنُ مَنْ خَانَكَ

"Janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu"

(4). Curang atau keluar dari peraturan akhlak Islamiyah apabila berlaku pertengkaran atau ikhtilaf (berselisih faham), misalnya berkata bohong dalam menjelaskan perkara yang sebenar atau melebih-melebihkan permasalahan dengan segala kebohongan dan penipuan. Rasulullah bersabda:

آيَةُ الْمُنَافِقِ اَرْبَعٌ : اِذَا حَدَّثَ كَذَبَ وَاِذَا وَعَدَ اَخْلَفَ وَاِذَا خَاصَمَ فَجَرَ وَاِذَا عَاهَدَ غَدَرَ

"Tanda-tanda munafik itu empat: Apabila berkata ia dusta, jika ia berjanji tidak menepatinya, apabila bertengkar ia berlaku curang dan apabila berjanji dia berkhianat".

(5). Gemar menipu (penipuan) sebagaimana yang dijelaskan oleh Nabi Muhammad sallallahu 'alaihi wa-sallam:

اِنَّ الْغَادِرَ يُنْصَبُ لَهُ لِوَاءٌ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فَيُقَالُ : هَذِهِ غَدْرَةُ فَلاَنِ بْنِ فُلاَنٍ

"Sesungguhnya setiap penipu akan dipancangkan baginya sebuah bendera dan dikatakan ini adalah penipuan si Fulan anak si Fulan". H/R Bukhari (5710) Al-Adab.

Ancaman Allah & Rasulnya Terhadap Penyakit Nifak Kepada Manusia

Allah mengancam orang-orang munafik dan yang berpenyakit nifak dengan azab yang amat pedih iaitu dengan api neraka Jahanam sebagaimana firmanNya:

بَشِّرِ الْمُنَافِقِيْنَ بِاَنَّ لَهُمْ عَذَابًا اَلِيْمًا

Khabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat siksaan yang pedih”. An-Nisa, 4:138.


اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ فِى الدَّرْكِ الاَسْفَلِ مِنَ النَّارِ

Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkat yang paling bawah dari neraka”. An-Nisa, 4:145.


اِنَّ اللهَ جَامِعُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْكَافِرِيْنَ فِى جَهَنَّمَ جَمِيْعًا

Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahanam”. An-Nisa, 4:140.

وَعَدَ اللهُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْكُفَّارَ نَارَ جَهَنَّمَ خَالِدِيْنَ فِيْهَا هِيَ حَسْبُهُمْ ، وَلَعَنَهُمُ اللهُ وَلَهُمْ عَذَابٌ مُّقِيْمِ

Allah mengancam orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang kafir dengan neraka Jahanam. Mereka kekal di dalamnya. Cukuplah neraka itu bagi mereka dan Allah melaknati mereka dan bagi mereka azab yang kekal”. At-Taubah, 9:68.

لِيُعَذِّبَ اللهُ الْمُنَافِقِيْنَ وَالْمُنَافِقَاتِ وَالْمُشْرِكِيْنَ وَالْمُشْرِكَاتِ وَيَتُوْبَ اللهُ عَلَى الْمُؤْمِنِيْنَ وَالْمُؤْمِنَاتِ وَكَانَ اللهُ غَفُوْرًا رَحِيْمًا

Sehingga Allah mengazab orang-orang munafik lelaki dan perempuan dan orang-orang musyrikin lelaki dan perempuan dan sehingga Allah menerima taubat orang-orang mukminin lelaki dan perempuan. Dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. Al-Ahzab, 33:73.

Bagi orang yang beriman, pasti akan merasa takut, gerun dan mengerikan gambaran siksa dan azab api neraka Jahanam yang pedih yang diceritakan oleh Allah di dalam firmanNya. Semuanya itu telah disediakan untuk Si Munafik. Allah tidak akan mungkir janji, orang-orang munafik pasti akan celaka di dunia dan di akhirat akan mendapat azab yang pedih.

SOALAN:

Apakah amalan menggolongkan sesetengah puak sebagai munafik atau ahli nifak merupakan perbuatan yang menggalak sikap berwaspada atau merupakan perbuatan yang bahaya?

JAWAPAN:

Menggolongkan sesetengah puak sebagai munafik atau nifak bukanlah perbuatan yang bahaya dan salah menurut syara. Di dalam al-Quran, Allah Subhanahu wa-Ta’ala telah menggolongkan manusia kepada tiga golongan, segolongan darinya terdiri dari orang-orang munafik sebagaimana yang terdapat penyusunan ayat dan pembahagiannya di surah al-Baqarah:

Pertama: Empat ayat memperkatakan golongan orang-orang beriman.

Kedua: Dua ayat memperkatakan tentang golongan orang-orang kafir.

Ketiga: Tiga belas ayat memperkatakan tentang golongan orang-orang munafik.

Ayat yang memperkatakan perihal Si Munafik melebihi yang lain agar orang-orang beriman mengenal perangai, sikap, perbuatan dan juga agar berwaspada terhadap kejahatan mereka. Mereka (Si Munafik) gemar membuat fitnah, banyak melakukan kejahatan dan fasad, mudah menyamar semasa bergaul bersama masyarakat Islam dan mereka sentiasa merancang kejahatan dan kerosakan terhadap orang-orang Islam.

Nifak adalah perbuatan yang tersembunyi yang tidak boleh dikesan dengan cepat dan mudah. Orang munafik lebih merbahaya dari orang kafir terhadap akidah, kekuatan dan kesatuan jamaah umat Islam kerana kekufuran adalah perbuatan yang nampak (kelihatan) dan mudah diketahui.

Sebagaimana yang telah dijelaskan bahawa semasa Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa-sallam di Madinah barulah muncul orang-orang munafik. Namun, Allah Subhanahu wa-Ta'ala telah menyingkap tirai Si Munafik dan membuka rahsia-rahsia kejahatan dan kefasadan mereka. Itulah sebabnya semua ayat-ayat yang membongkar tentang rahsia-rahsia kejahatan orang-orang munafik semuanya turun di Madinah sehingga surah tersebut dinamakan Surah Madiniyah. Sebagaimana firman Allah:

وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَقُوْلُ آمَنَّا بِاللهِ وَبِالْيَوْمِ اْلآخِرِ وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِيْنَ ، يُخَادِعُوْنَ اللهَ وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا وَمَا يَخْدَعُوْنَ اِلاَّ اَنْفُسَهُمْ وَمَايَشْعُرُوْنَ

"Di antara manusia ada yang mengatakan kami beriman kepada Allah dan Hari kemudian, pada hal mereka itu sesungguhnya bukan orang-orang yang beriman. Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman, pada hal mereka hanya menipu dirinya sendiri sedang mereka tidak sedar".[8]

Fenomena nifak, cerita tentang pakatan dan gerakan jahat ketua-ketua munafik semuanya bermula setelah wujudnya negara Islam Madinah. Ia berterusan sehingga mula terbitnya unsur-unsur perpecahan gara-gara fitnah orang-orang munafik juga bermula di Madinah. Begitu juga membiaknya aliran-aliran sesat dan pemecah-belah umat yang terdapat sama ada di negara-negara Islam atau bukan negara Islam dari dahulu sehingga sekarang semuanya berpunca dari fitnah yang dicipta oleh orang-orang munafik. Mereka ingin menghancurkan Islam dan umatnya setelah negara Islam menjadi kuat dan meluas.

Berkata Ibn Abi Hatim radiallahu 'anhu:

"Mereka (orang-orang munafik) mudah melahirkan ucapan (لا اله الا الله) kerana inginkan agar terselamat darah dan harta mereka, tidak ada niat mereka selain yang demikian."[9]

Berkata Sa'id dari Qatadah:

"Sifat-sifat orang munafik itu banyak: Buruk akhlaknya, jika benar lisannya namun bertentangan dengan hatinya, amat bertentangan amalannya kerana diwaktu pagi ia melakukan yang benar dan diwaktu petang pula ia melakukan yang sebaliknya".[10]

Paling jelas sifat orang-orang munafik adalah pendusta. Allah Subhanahu wa-Ta’ala berfirman:

وَاللهُ يَشْهَدُ اِنَّ الْمُنَافِقِيْنَ لَكَاذِبُوْنَ

"Dan Allah bersaksi bahawa sesungguhnya orang-orang munafik itu adalah orang-orang yang pembohong (pendusta)". Al-Munafiqun, 63:1

Sifat orang munafik itu penipu. Firman Allah:

يُخَادِعُوْنَ اللهَ وَالَّذِيْنَ آمَنُوْا

"Mereka hendak menipu Allah dan orang-orang yang beriman"

Orang munafik tidak termasuk orang yang beriman:

وَمَا هُمْ بِمُؤْمِنِيْنَ

"Dan sebenarnya mereka (orang-orang munafik) bukanlah orang-orang yang beriman".

Orang munafik berpenyakit hati:

فِى قُلُوْبِهِمْ مَرَضٌ فَزَادَهُمُ اللهُ مَرَضًا

"Dalam hati mereka ada penyakit lalu ditambah Allah penyakitnya".

Orang munafik pembuat kerosakan di dunia:

اَلاَ اِنَّهُمْ هُمُ الْمُفْسِدُوْنَ وَلَكِنْ لاَ يَشْعُرُوْنَ

Ingatlah! Mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan, tetapi mereka tidak sedar".

Orang munafik adalah orang yang bodoh tetapi mereka tidak tahu dan menyedari tentang kebodohannya:

اَلاَ اِنَّهُمْ هُمُ السُّفُهَاءُ وَلَكِنْ لاَّ يَعْلَمُوْنَ

"Ingatlah! Sesungguhnya mereka orang-orang yang bodoh tetapi mereka tidak tahu".

Orang munafik tergolong dalam golongan syaitan:

وَاِذَا خَلَوْا اِلَى شَيَاطِيْنِهِمْ قَالُوْا اِنَّ مَعَكُمْ اِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِؤُوْنَ

"Dan apabila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka, mereka mengatakan sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanya berolok-olok".

Sifat orang-orang munafik suka mengolok-olokkan, memperlekeh (mempermain-mainkan) agama Allah:

اِنَّمَا نَحْنُ مُسْتَهْزِءُ وْنَ

"Kami hanyalah berolok-olok".

Sifat atau sikap orang munafik tidak ada pendirian dan terumbang-ambing:

فِى طُغْيَانِهِمْ يَعْمَهُوْنَ

"Mereka terumbang-ambing dalam kesesatan".

Orang-orang munafik membeli (mengambil) kesesatan (bid'ah kekafiran dan kesyirikan) dengan meninggalkan petunjuk sunnah (keimanan), mereka tidak akan berjaya dalam perniagaan mereka:

اُوْلَئِكَ الَّذِيْنَ اشْتَرَوْا الضَّلاَلَةَ بِالهُدَى فَمَارَبِحَتْ تِجَارَتُهُمْ وَمَا كَانُوْا مُهْتَدِيْنَ

"Mereka itulah orang yang membeli kesesatan dengan petunjuk, maka tidaklah beruntung perningaan mereka dan tidaklah mereka mendapat petunjuk".

[1]. Lihat: المدخل لدراسة الاسلامية على مذهب اهل السنة والجماعة tajuk Nifaq. Dr. Ibrahim al-Buraikan.
[2]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir. 1/76.
[3]. Ibid.
[4]. Lihat: صفات المنافقين hlm. 15. Al-Maktabah al-Islami. Cetakan ke 4. Beirut. Ibn Qaiym al-Jauzi.
[5]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir 1/67.
[6]. Ibid.
[7]. Ibid.
[8]. Surah al-Baqarah, 2:8-9.
[9]. Lihat: Tafsir Ibn Kathir, 2/88.
[10]. Ibid.


Hak cipta terpelihara @ Ibnunaem 2002
edit: mindahatiku:-)

No comments: