Friday, October 2, 2009

Hujan Air Batu Sebesar Cawan


KUALA LUMPUR 2 Okt — Kejadian hujan air batu sebesar sebiji cawan di Jerantut, Pahang Isnin lepas bukan suatu fenomena biasa di negara beriklim Khatulistiwa, kata pegawai Kaji Cuaca Jabatan Alam Sekitar (JAS) Zureen Norhaizatul Che Hassan, hari ini.

Katanya, faktor iklim yang sentiasa panas dan hujan di negara yang berada dalam grid Khatulistiwa tidak memungkinkan berlakunya pembentukan ketulan ais sebesar itu di ruang atmosfera negara.
“Kita perlu kaji dengan teliti terlebih dulu kandungan air batu yang jatuh di Jerantut itu sebelum membuat sebarang andaian. “Lebih penting, kita perlu berbalik kepada hujah dinamik fizik ... tak boleh pada hujah umum atau lebih tepat kita perlu melihat fizik awan,” katanya ketika ditemui Bernama di sini.

Petang Isnin lepas, hujan turun bersama air batu sebesar cawan sehingga merosakan bumbung rumah penduduk di kawasan berkenaan manakala banyak pokok dan tiang elektrik yang tumbang akibat ribut petir. Zureen berkata, kejadian pukul 7 malam itu juga suatu yang mengejutkan walaupun Malaysia pernah mengalami hujan air batu sebesar wang syiling 50 sen.

Selain itu, jika adapun, ia tidak melebihi saiz wang syiling 5 sen, katanya sambil manambah hujan air batu adalah fenomena biasa yang terjadi di negara bersalji.
“Masa zaman kanak-kanak saya dulu, saya pernah beberapa kali bertembung dengan kejadian hujan air batu, tetapi tidaklah sebesar yang berlaku di Jerantut Pahang itupun, rasa teruja untuk memungut ketulan air batu tapi, sebelum sempat (ais) masuk dalam mulut, ia sudah cair kerana saiznya terlalu kecil,” katanya. Ketika ditanya mungkin faktor iklim dan suhu mempengaruhi pembentukan air batu di awan, Zureen berkata ia sukar untuk diperkatakan kerana sejak 30 tahun lalu hujan masih dalam julat sama iaitu 2,000 hingga 5,000 mm setahun dan ia berbeza mengikut geografi sesebuah kawasan.

Selain itu juga katanya, bacaan hujan dan suhu di seluruh negara sentiasa berubah. “Faktor pengaruh peralihan monsun dan tiupan angin panas dan sejuk La-nina dan Al-nino memang ada tempias tetap ia juga tidak boleh dijadikan kayu pengukur kepada perubahan iklim di negara ini sehingga mampu membentuk bungkah ais di ruang angkasa negara. “Bungkah atau ketulan ais di udara biasanya berlaku di negara yang bersuhu di bawah 0 darjah Celsius dan hal seperti ini tidak mungkin berlaku di Malaysia yang merentangi garisan Khatulistiwa,” katanya.

Sementara itu, pejabat Meteorologi Pahang ketika dihubungi berkata kejadian itu ada kaitan dengan taufan Ketsana yang melanda Filipina dan mula memasuki luar pantai Vietnam yang kedudukannya berhampiran dengan Semenanjung Malaysia.
Katanya, ekor taufan berkenaan bertembung dengan aktiviti awan Kumulonimbus yang membawa hujan dan ribut petir pada ketinggian 6,000 dan 9,000 meter dari paras bumi menyebabkan air bertukar menjadi ais dengan saiz ketulan yang besar di atmosfera dan tidak sempat mencair apabila memasuki ruang udara. “Lewat petang dan awal malam Isnin lepas empat kawasan Jerantut, Bera, Maran dan Rompin dilanda hujan dan ribut petir, bagaiamanapun hanya Jerantut yang menerima hujan air batu,” katanya.

— BERNAMA
dipetik dari: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1002&pub=Utusan_Malaysia&sec=Terkini&pg=bt_30.htm

Nota:
Apakah disebalik fonomena ini? Kenapa kerap kini terjadi sesuatu yang diluar kejadian biasa? Adakah dunia sudah sampai penghujungnya atau adakah kiamat itu semakin dekat? Bertaubatlah segera wahai umat Islam.

Wednesday, September 16, 2009

Guna Ayat Al-Quran Untuk Atasi Masalah Sihir




SOALAN:

Menurut sejarah, Nabi Muhammad s.a.w. pernah terkena sihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin Al-A'sam. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah bagaimana orang yang dipelihara oleh Allah, menjadi kekasih-Nya, seorang nabi, juga seorang rasul boleh terkena sihir.

JAWAPAN:

Pada tahun ketujuh Hijrah, iaitu selepas balik dari Hudaibiah, baginda Rasulullah telah terkena sihir. Beberapa orang Yahudi menemui Labid bin Al-A'sam, seorang tukang sihir yang terkenal di kalangan ahli sihir Yahudi. Mereka mengadu dan menyatakan telah berusaha untuk menyihir Muhammad, tetapi tidak berjaya. Kerana itu mereka meminta agar Labid melakukan sihir ke atas Muhammad dengan memberi upah.

Dalam sebuah hadis daripada Sayidatina Aisyah dinyatakan bahawa kesan daripada sihir itu baginda merasakan seolah-olah telah melakukan sesuatu, padahal dia tidak melakukannya, sehinggalah pada satu hari baginda berdoa, dan terus berdoa, dan akhirnya Allah mengutuskan dua malaikat.

Mereka datang berhampiran Nabi, berbicara tentang diri baginda yang dia disihir oleh Labid dengan menggunakan sikat dan rambut yang dibungkus dengan seludang tamar jantan muda. Bahan yang diambil daripada Nabi itu diletakkan dalam telaga Zarwan.

Baginda telah meminta salah seorang sahabatnya agar meninjau telaga yang dimaksudkan. Setelah kembali, utusan ini menyatakan bahawa, ``air telaga itu berwarna kemerah-merahan, seperti warna inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan.''

Merah yang dimaksudkan di sini seperti warna inai apabila dimasukkan dalam air, manakala pohon tamar itu digambarkan seperti rupa kepala-kepala syaitan untuk memperlihatkan pemandangan yang menggerunkan lagi menakutkan.

Lahir daripada pengamatan umum akan timbul persoalan bagaimana Allah boleh membiarkan kekasih-Nya terkena sihir, padahal seperti dijanjikan oleh Allah adalah maksum. Allah sewajarnya melindungi kekasih-Nya.

Allah Maha Mengetahui apa yang patut dilakukan terhadap kekasih-Nya. Terlalu banyak rahsia ketuhanan yang tidak terungkai atau terungkap oleh pengamatan manusia.

Rasulullah Muhammad adalah seorang nabi, juga seorang rasul. Baginda adalah pesuruh Allah, yang di antara tugas utamanya menyampaikan mesej daripada Allah, kepada manusia dengan perantaraan malaikat Jibrail, ataupun tanpa malaikat Jibrail. Mesej inilah yang diistilahkan sebagai `wahyu' yang disampaikan kepada umatnya, iaitu umat Muhammad, tanpa menambah ataupun mengurangkannya.

Wahyu yang disampaikan itulah yang dinamakan sebagai `Kalamullah,' yang kemudiannya dihafal oleh baginda, oleh para sahabat, ditulis di belulang-belulang dan sebagainya, lalu dikumpulkan dan dibukukan dan akhirnya menjadi al-Quran. Adapun wahyu Allah yang diturunkan, tetapi disampaikan kepada umatnya menggunakan ayat-ayat Muhammad dinamakan hadis. Sesungguhnya Rasulullah tidak berkata-kata menurut kehendaknya sendiri, apa yang dikatakan itu adalah wahyu yang telah diturunkan kepadanya. Kerana itulah maka al-Quran dan hadis-hadis itu menjadi pegangan utama, sumber hukum bagi orang yang mengaku dirinya Islam.

Itulah fungsi sebenar Rasulullah di mana dilantik oleh Allah sebagai pesuruh-Nya. Di situlah terletak kerasulan baginda. Walaupun demikian, baginda tetap manusia biasa, lahir seperti manusia biasa hasil daripada kehidupan seorang ibu dan bapa.

Sebagai manusia, jasadnya mempunyai naluri seperti manusia biasa, hasil daripada kehidupan seorang ibu dan bapa. Sebagai manusia, jasadnya mempunyai naluri seperti orang lain, ada rasa kasih sayang, memerlukan makan minum, hidup berkeluarga dan sebagainya.

Satu keistimewaan baginda, beliau dilantik menjadi rasul kepada manusia juga jin-jin. Hal demikian membuktikan bahawa berbanding dengan jin-jin, manusia itu lebih pintar dan tinggi makamnya, kerana Allah mengutus manusia untuk manusia dan jin-jin. Allah tidak menjadikan jin sebagai rasul.

Sebagai manusia, Allah menjadikannya berakhlak mulia. Kerana itu manusia biasa yang taatkan perintah Allah, tidak mustahil bagi mereka untuk memperoleh martabat yang tinggi di sisi Allah kerana mereka adalah sama-sama manusia.

Pengajaran

Sebagai manusia biasa, baginda tidak mengetahui dirinya telah disihir oleh Labid bin Al-A'sam, kecuali setelah Allah mengutus dua malaikat memberitahunya yang dia terkena sihir.

Dalam hadis-hadis disebutkan, akibat daripada sihir tersebut, baginda merasakan bahawa beliau telah melakukan sesuatu, tetapi sebenarnya tidak melakukannya. Sesetengah ahli tafsir menyatakan, atau memberi tafsiran bahawa baginda merasakan telah mendatangi salah seorang daripada isteri-isterinya, padahal beliau tidak berbuat demikian.

Sesetengah mentafsirkan bahawa akibat daripada sihir berkenaan, baginda tidak berupaya bersatu dengan isterinya.

Apa yang berlaku ke atas Rasulullah seperti dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir tersebut memberi pengajaran bahawa sihir itu benar-benar boleh berlaku. Akibat daripada sihir, suami ada kalanya tidak berupaya bersatu dengan isterinya.

Menurut Syeikh Abdul Aziz Ma'mun, penyakit ar-rabt, atau kegagalan suami bersatu dengan isterinya merupakan satu jenis sihir yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir dengan pertolongan syaitan yang mengganggu pusat rangsangan nafsu penting manusia, iaitu otak yang merangsang alat kelamin.

Ia merupakan sejahat-jahat amalan sihir yang menyakitkan, lebih-lebih lagi apabila suami hilang keupayaan sama sekali untuk bersatu dengan isterinya, tetapi boleh melakukan persetubuhan haram dengan perempuan-perempuan lain.

Suami yang mengalami masalah seperti ini dinamakan ar-rajulul mahbus atau ar-rajulul marbut oleh Abu Ubaidah Mahir.

Dalam peristiwa yang melibatkan sihir ke atas Nabi, bahan yang digunakan ialah sikat dan rambut yang diikat dengan benang dan dimasukkan dalam perut perigi dihempap dengan batu. Rambut tersebutdiambil daripada rambut kepala, juga janggut yang dicuri.

Sihir tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin-jin, yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Kerana itu, penggunaan bahan seperti rambut dan sikat itu sebenarnya tidak penting, kerana yang memainkan peranan utama ialah jin.

Bahan-bahan seperti dijelaskan yang diambil daripada mangsa yang hendak dikenakan sihir, memudahkan atau mempercepatkan lagi proses mengenakan sihir, kerana bahan yang diambil itu adalah sebahagian daripada diri mangsa, yang kemudiannya disokong oleh jin-jin tadi.

Kerana itu, penggunaan bahan, yang diambil daripada badan mangsa bukan dongengan dalam proses amalan sihir, seperti kuku, air ludah, gambar, pakaian yang telah dipakai seperti seluar dalam, baju dalam dan sebagainya termasuk tuala ataupun songkok.

Allah telah menurunkan surah Al-Muawwizataini, iaitu Qul a'udhu birabbil falaq juga Qul a'udhu birabbinnas. Setiap ayat yang terkandung dalam dua surah ini dibacakan, maka baginda berasa lega dan akhirnya berupaya berdiri, bebas sebebasnya seperti unta yang terlepas daripada ikatan apabila keseluruhan ayat-ayat itu habis dibaca, lalu malaikat Jibrail berkata yang bermaksud: Dengan nama Allah, aku menjampi akan dikau, daripada setiap penyakit yang menyakiti akan dikau, juga daripada kejahatan yang hasad, atau mata jahat dan Allah akan menyembuhkan akan dikau.

Demikian menurut pendapat yang sahih, yang menyatakan di antara sebab kenapa surah al-Muawwizatain itu diturunkan. Iktibar ataupun pengajaran daripada peristiwa ini, kita dapat mempelajari bahawa untuk mengatasi sihir, kaedah yang paling besar ialah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, termasuk penggunaan dua surah pendek seperti dijelaskan.
Terdapat banyak surah juga ayat-ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah sihir, termasuklah penggunaan al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, surah Yasin dan akhir surah al-Baqarah.

Manakala surah-surah yang perlu dibaca oleh pesakit, atau sekurang-kurangnya diperdengarkan melalui rakaman kaset misalnya ialah surah al-Baqarah, surah al-Jinn, as-Saffat, surah Yasin, surah ad-Dukkhan dan lain-lain lagi.

Sesetengah masyarakat Melayu berkeyakinan bahawa masalah sihir hanya boleh diatasi dengan menggunakan sihir juga. Sesetengah daripadanya berkeyakinan, sihir, dalam keadaan tertentu, tidak boleh diatasi atau dirawat kecuali dengan menggunakan sihir.

Seperti dijelaskan bahawa sihir tidak akan berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin. Apabila dikatakan bahawa sakit akibat sihir itu tidak boleh diatasi, atau lebih sesuai dengan menggunakan sihir, bererti orang yang berkenaan berkeyakinan bahawa sakit akibat perbuatan manusia yang dibantu oleh jin-jin akan hanya sembuh menggunakan perantaraan jin-jin.

Yang dimaksudkan melakukan rawatan dengan menggunakan sihir ialah seperti menemui mereka yang merawat dalam keadaan menurun, satu keadaan di mana seseorang itu diresapi oleh jin-jin, ataupun upacara melibatkan teater tradisional, yang selalunya melibatkan unsur-unsur hiburan juga rawatan, seperti dilakukan dalam sembahan main puteri, bagih, kebiah dan sebagainya.

Amalan atau upacara rawatan seperti ini diistilahkan sebagai an-Nusyrah. Ketika ditanya mengenainya, baginda menjelaskan bahawa upacara sedemikian rupa adalah daripada perbuatan syaitan.

Perjalanan hidup Rasulullah perlu dijadikan contoh oleh umatnya. Itulah yang dinamakan sunah nabi yang sewajarnya difikir logik dan keperluannya. Sesungguhnya dalam diri baginda itu contoh ikutan yang baik. Baginda pernah berpesan, ``kutinggalkan pada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya. Dua perkara tersebut ialah `al-Quran dan sunahku.'

Tidak dinafikan bahawa baginda itu adalah kekasih Allah. Penderitaan yang ditanggung oleh baginda akibat sihir bukan membawa erti bahawa Allah tidak mengasihinya. Sesungguhnya, Allah bersifat Maha Mengetahui lagi bijaksana bagaimana hendak menyampaikan mesej kepada hamba-Nya termasuklah mesej yang disalurkan melalui ujian terhadap kekasih-Nya.


dipetik dari tulisan: Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

Friday, September 11, 2009

Doa Pengukuh Ibadah Di Bulan Puasa



oleh: Khadher Ahmad

Doa memainkan peranan penting sebagai satu bentuk permohonan dan pengaduan kita kepada Sang Pencipta (Allah s.w.t). Bahkan, Allah s.w.t juga sangat menggalakkan hambanya untuk berdoa. Firman Allah s.w.t:

وَقَالَ رَبُّكُمْ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ
Maksudnya: “Dan Tuhanmu berfirman: "Berdoalah kepada-Ku, niscaya akan Kuperkenankan bagimu.”(Surah Ghafir:60)

Maka, sempena bulan Ramadan yang mulia ini, adalah wajar bagi setiap Muslim untuk terus dan senantiasa berdoa memohon apa sahaja kepada Allah SWT. Sudah pasti kita selaku hamba-Nya akan sentiasa memohon keampunan yang merupakan suatu nikmat yang sangat besar. Apabila seseorang mendapat pengampunan dari Allah SWT dari segala dosanya maka tiada lagi yang diharapkan kecuali tunduk dan sangat bersyukur di atas nikmat tersebut. Moga-moga pengampunan tersebut menjadi modal untuk terus beribadah dan mendapat di akhirat nanti ganjaran yang kekal abadi iaitu syurga yang penuh kenikmatannya.

Maka, bertepatan dengan bulan yang penuh barakah ini dan sekarang pada fasa ketiga iaitu sepuluh terakhir Ramadan yang terdapat di dalamnya suatu malam yang terlebih baik daripada seribu bulan beribadah iaitu Malam Lailatul Qadar, maka adalah wajar untuk kita terus menerus beribadah dan berdoa kepada Allah SWT. Dalam pada itu, memperbanyakkan bacaan al-Quran dan bertadabbur maknanya adalah sangat digalakkan memandangkan ia bertepatan dengan penurunan al-Quran dalam bulan ini. Firman Allah SWT:


Maksudnya: "
Bulan Ramadan yang diturunkan pada al-Quran." (al-Baqarah 2: 185)

Dan firman Allah SWT:

إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِنْ أَلْفِ شَهْرٍ (3) تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِمْ مِنْ كُلِّ أَمْرٍ (4) سَلَامٌ هِيَ حَتَّى مَطْلَعِ الْفَجْرِ (5)

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (surah al-Qadr: 1-5)

Maha Suci Allah yang Maha Agong, ia adalah suatu nikmat yang sangat manfaat buat hamba-hamba Allah yang sedar siapa dirinya. Orang-orang Islam yang berpuasa dengan penuh keimanan pasti akan berjaya mencapai target yang disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya pada ayat 183, surah al-Baqarah;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Maksudnya: "Wahai orang-orang Yang beriman! kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa."


Target yang dimaksudkan adalah untuk mencapai tahap ketakwaan yang kukuh kepada Allah SWT pada bulan ini. Adakah puasa yang dilaksanakan oleh kita, benar-benar mampu memberi satu penilaian takwa yang sebenar kepada Allah SWT? Tepuk dada tanya lah dan hisablah diri masing-masing.

Akhir sekali, berdoalah wahai sekalian anak Adam, agar kita mampu bergelar hamba-hambaNya yang benar-benar bertakwa. Kerana ketakwaan itulah yang membezakan tahap keimanan setiap Muslim dan ketakwaanlah yang akan memberi kejayaan yang besar di dunia dan akhir.

Ramadan Kariim.

Wednesday, September 9, 2009

DARIHAL PUASA, IMAN DAN KETAQWAAN


Oleh : Arifin Mahmud

Kalau solat menjadi tanda aras dan kayu ukur penganut ajaran Tauhid, nescaya hal ini sukar kita bincangkan. Ini kerana, sukar kita melihat penganut agama, selain Islam melakukan solat. Walaupun sesekali kita pernah terdengar dan membaca bahawa di sana, ada beberapa penganut agama Yahudi misalnya pernah bersolat seperti penganut Islam juga. Tetapi, dalam realiti sekarang, sulit untuk kita perhatikan gerak laku solat penganut agama lain yang mirip kepada Islam.

Al-Qur'an yang merincikan solat penganut agama lain dengan penganut Islam terletak pada surah Ali Imran ayat 43. "Wahai Maryam! Taatlah kepada Tuhanmu, dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan solat) bersama-sama orang-orang yang rukuk."

Ada riwayat yang menyatakan bahawa solat yang mempunyai rukun rukuk di dalam solat ialah solat penganut Islam yang diajar oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini kerana solat penganut Nasrani tidak mempunyai rukuk. Wallahu'alam.


Menurut sesetengah pendakwah dan penceramah yang dahulunya Kristian Nasrani, pernah menyatakan bahawa Nabi Isa a.s menunaikan solat; suatu upacara keagamaan, ajaran Tauhid yang berasal daripada Ibrahim a.s.
Bagaimanapun, ciri-cirinya yang asli telah luput ditelan gelombang putaran ganas dan keasliannya rupa parasnya telah pudar dilapah arus masa.

Puasa, lambang amalan agama samawi

Oleh kerana, dialog mengenai agama di negara kita belum mencapai tahap yang baik, maka ada beberapa hal perbincangan yang tidak dapat kita lanjutkan di sini. Bagaimanapun, tetap sahaja ada amalan agama Islam yang masih sama dan mirip kepada ibadat penganut Islam, iaitu puasa. Manakala, amalan-amalan lain seperti solat, zakat dan menunaikan fardhu haji tidak mirip kepada amalan penganut lain. Seperti yang difirmankan Tuhan di dalam al-Qur'an, "Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa." (Al-Baqarah: 183)

Pertamanya, dari nas ini umat Islam dapat mengenali agama-agama lain sebagai agama samawi dengan merujuk amalan berpuasa itu. Antara agama-agama yang memiliki ciri persamaan dari sudut amalan ini, iaitu berpuasa ialah Buddha, Hindu, Kristian dan juga Yahudi. Bagaimanapun, cara bagaimana amalan berpuasa dilaksanakan, ada sedikit perbezaan.
Jenis dan martabat berpuasa itu juga berbeza-beza mengikut agama, adat budaya bangsa dan martabat kerohanian seseorang itu. Lantaran itulah, Tuhan menyatakan di hujung ayat itu, dengan harapan, amalan berpuasa yang kita lakukan itu dapat meningkatkan martabat kerohanian kita ke darjat ketaqwaan, iaitu darjat yang teragung dan paling tinggi. Disebutkan dalam al-Qur'an, bahawa Tuhan menyeru orang yang beriman agar mencapai darjat ketaqwaan. Ini kerana, orang yang beriman, belum tentu dapat mencapai darjat ketaqwaan. Tapi, orang yang bertaqwa, sudah pastilah mereka beriman. "Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya, dan janganlah kamu mati melainkan berada dalam Islam. (Ali Imran: 102)

Juga kepada orang yang beriman itu, Allah s.w.t meminta mereka bertaqwa dengan cara menyatakan perkara yang benar walaupun pahit didengar. Ini kerana, orang yang beriman pun belum tentu dapat menyatakan perkara yang benar. "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dan katakanlah perkataan yang benar, maka Allah memperbaiki bagi amalan-amalanmu, dan mengampuni bagimu dosa-dosamu.." (Al-Ahzab: 70 - 71)

Maka, hendaklah orang-orang yang beriman itu berjuang mendapatkan tempat di martabat ketaqwaan. Ini kerana, hanya yang mampu menyatakan kebenaran itulah yang layak digelar mencapai darjat ketaqwaan.
"Wahai orang-orang beriman bertaqwalah kepada Allah dan setiap orang hendaklah perhatikan apa yang telah diperbuatkan untuk hari esok (akhirat).." (Al-Hasyr: 18) Orang-orang yang beriman turut diseru mencapai darjat ketaqwaan dengan menyediakan amalan sebagai bekalan untuk hari akhirat mereka.

Ini kerana, ramai orang beriman, tetapi seperti tidak mengendahkan amalan mereka untuk akhirat.
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia mengadakan bagi kamu (petunjuk) yang membezakan antara yang benar dan yang salah, dan menghapuskan segala kesalahan kamu serta mengampunkan (dosa-dosa) kamu. Dan Allah (sememangnya) mempunyai limpah kurnia yang besar." (Al-Anfal: 29)

Kita biasa berdepan dengan kebuntuan hidup dalam kehidupan. Seolah-olahnya mereka gagal mengenal mana satu berlian dan permata, yang mana intan dan yang mana kaca. Mana yang betul dan salah.
Dan, kita seperti tidak berupaya mencari penyelesaiannya. Kenapa jadi begitu, walhal kita telah mengaku beriman kepada Tuhan? Mustahil Tuhan akan meninggalkan orang-orang yang beriman itu teraba-raba dalam mencari jawapan terhadap setiap permasalahannya itu. Maka, jawapannya ialah - orang yang beriman yang ditimpa permasalahan tadi, masih tidak mencapai darjat ketaqwaan. Dan jika orang yang beriman itu bertaqwa, maka nescaya Tuhan menunaikan janjinya dengan cara memberikannya petunjuk.

Allah s.w.t mengingatkan kita dalam firmanNya, "
Hai orang-orang yang beriman! Jauhi banyak berprasangka. Sesungguhnya sebahagian dari prasangka itu dosa. Dan jangan kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah antara kamu suka memakan bangkai saudaranya yang sudah mati? Tentu kamu merasa jijik. Dan bertaqwalah kepada Allah, sungguh Allah Maha Penerima Taubat, Maha Penyayang." (Al Hujuraat: 12)


Perbezaan lain antara orang yang beriman dan bertaqwa itu ialah insan yang beriman itu masih lagi tidak membebas diri daripada sikap prasangka, mengumpat dan mencela saudara mereka, mencari-cari keaiban orang lain untuk dihebah.
Maka, orang yang beriman dan telah sempurna jiwanya kerana kerohaniannya melompat ke darjat ketaqwaan itu, akan bersih lidahnya daripada mengumpat dan telinganya dibersihkan daripada mendengar keaiban orang lain.

Ada banyak lagi perbezaan sikap antara orang yang beriman dan bertaqwa ini. Dan, seperti yang termaklum, amalan puasa itulah antara salah satu daripada amalan yang mampu meletakkan kerohanian seseorang ke darjat ketaqwaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan dan kewaspadaan. Orang yang berpuasa, digalakkan untuk tidak mencampuri urusan mendengar keaiban orang lain, selalu menyibukkan dirinya dengan zikrullah dan wirid. Jika semua ini tercapai, maka lahirlah sikap suka menegakkan kebenaran, menyatakan yang benar di depan pihak berkuasa, kerap muhasabah tentang bekalan akhirat dan lain-lain ciri ketaqwaan yang lain.

Puasa telah menyebabkan anggota kita letih untuk melakukan maksiat dan amalan kerohanian itulah yang akan menguatkan kembali jiwa dan raga kita untuk meneruskan kehidupan.
Amalan berwirid dan berzikir di bulan Ramadhan akan menyebabkan kita kembali kepada fitrah yang suci dan asal, jika dilakukan dengan sempurna dan ikhlas menuju rahmat Allah. _

Dipetik dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=22151&Itemid=99999999

Nuzul al-Quran dan Lailatul Qadar



Nuzul Al-Quran

Peristiwa nuzul al-Quran menjadi satu rakaman sejarah dalam kehidupan Nabi SAW hingga seterusnya berperingkat-peringkat menjadi lengkap sebagaimana kitab al-Quran yang ada pada kita hari ini. Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhamad SAW. Perkataan ‘Nuzul’ bererti turun atau berpindah dari atas ke bawah. Bila disebut bahawa al-Quran adalah mukjizat terbesar Nabi SAW maka ianya memberi makna terlalu besar kepada umat Islam terutamanya yang serius memikirkan rahsia al-Quran.

‘Al-Quran’ bererti bacaan atau himpunan. Di dalamnya terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, sains, teknologi dan sebagainya. Kalimah al-Quran, sering dicantumkan dengan rangkai kata ‘al-Quran mukjizat akhir zaman’ atau ‘al-Quran yang mempunyai mukjizat’. Malah inilah sebenarnya kelebihan al-Quran tidak ada satu perkara pun yang dicuaikan atau tertinggal di dalam al-Quran. Dengan lain perkataan segalanya terdapat di dalam al-Quran. Firman Allah:

Dan tidak seekor pun binatang yang melata di bumi, dan tidak seekor pun burung yang terbang dengan kedua sayapnya, melainkan mereka umat-umat seperti kamu. Tiada Kami tinggalkan sesuatu pun di dalam kitab Al-Quran ini; kemudian mereka semuanya akan dihimpunkan kepada Tuhan mereka (untuk dihisab dan menerima balasan). (Al-An’am:38)

al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.. Segala isi kandungan al-Quran itu benar. Al-Quran juga dikenali sebagai Al-Nur bererti cahaya yang menerangi, al-Furqan bererti yang dapat membezakan di antara yang hak dan batil dan al-Zikr pula bermaksud yang memberi peringatan.

Dalam sejarah kehidupan Nabi SAW ayat al-Quran yang mula-mula diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan malaikat Jibrail ialah lima ayat pertama daripada surah Al-‘Alaq. maksudnya:

Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan mu yang menciptakan (sekalian makhluk), Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; Bacalah, dan Tuhan mu Yang Maha Pemurah, -Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (al-‘alaq:1-5)

Hubungan Lailatul Qadar dan Nuzul al-Quran

Lailatul Qadar pula ialah suatu malam pada bulan Ramadhan yang begitu istimewa sekali fadilatnya. Malam al-Qadar adalah suatu malam yang biasanya berlaku pada 10 akhir Ramadhan dan amalan pada malam itu lebih baik baik dari 1000 bulan.

Apakah kaitannya malam al-Qadar dengan nuzul al-Quran? Sebenarnya al-Quran dan malam Lailatulqadar mempunyai hubungan yang rapat antara satu sama lain sebagaimana yang diterangkan di dalam kitab Allah dan hadis Rasulullah SAW di antaranya firman Allah SWT

Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar! (al-Qadar:1-5)

Mengikut satu pandangan, ayat ini diturunkan berdasarkan satu riwayat dari Ali bin Aurah, pada satu hari Rasulullah SAW telah menyebut 4 orang Bani Israel yang telah beribadah kepada Allah selama 80 tahun. Mereka sedikit pun tidak derhaka kepada Allah, lalu para sahabat kagum dengan perbuatan mereka itu. Jibril datang memberitahu kepada Rasulullah SAW menyatakan bahawa Allah SWT menurunkan yang lebih baik dari amalan mereka. Jibril pun membaca surah al-Qadar dan Jibril berkata kepada Rasulullah ayat ini lebih baik daripada apa yang engkau kagumkan ini menjadikan Rasulullah SAW dan para sahabat amat gembira.

Dalam hadis yang lain Aishah juga meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda bersedialah dengan bersungguh-sungguh untuk menemui malam Lailatul qadar pada malam-malam yang ganjil dalam 10 malam yang akhir daripada bulan Ramadhan.

Panduan

Dari maklumat serba sedikit di atas tadi sebenarnya banyak boleh dijadikan panduan kepada umat Islam seluruhnya. Antara panduan berkenaan ialah seperti:

1. Tidak ada perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran
2. Ayat pertama diturunkan ialah ‘iqra’ iaitu ‘baca’ dan Tuhan mengajarkan manusia melalui perantaraan Pena dan Tulisan.
3. Kelemahan umat Nabi Muhammad beribadat maka dianugerahkan satu masa yang apabila kita mendapatkannya kita akan digandakan pahala melebihi seribu bulan.

Apabila disebutkan bahawa tidak ada perkara yang tidak terdapat di dalam al-Quran itu maka ianya memberikan makna bahawa segala ilmu pengetahuan yang merangkumi fardu ‘ain dan fardu kifayah dalam segenap aspek kehidupan merangkumi ekonomi, sosial, perundangan, pendidikan, sains dan teknologi dan lain-lain, segalanya terdapat dalam al-Quran. Tafsiran, kupasan analisa dan penyelidikan membolehkan umat Islam maju mendahului umat-umat lain di dunia ini.

Manakala penurunan al-Quran pula didahului dengan suatu kalimah ‘iqra’’ iaitu ‘baca’ di mana membaca adalah kunci kepada penerokaan ilmu. Selepas itu pula Allah mengiringi dengan ayat yang bermaksud; Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, -Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” Keadaan ini menguatkan lagi bahawa pembacaan dan penulisan itu menjadi antara perkara yang paling penting dalam penguasaan ilmu pengetahuan. Di mana sebagaimana diketahui umum melalui satu ungkapan bahawa: “ilmu pengetahuan dan teknologi itu adalah kuasa”.

Perkara ketiga ialah hikmah dari anugerah malam al-qadar kepada umat Nabi Muhammad SAW sebagai umat akhir zaman. Mengetahui kelemahan umat Islam akhir zaman ini dalam beribadah maka dianugerahkan satu peluang di mana ibadah yang dilaksanakan pada malam itu digandakan sehingga 1000 bulan. Bermakna kiranya kita dapat melaksanakan ibadah dengan penuh keimanan di 10 akhir Ramadhan, kita akan berpeluang mendapat malam al-Qadar. Ini akan menjadikan kita seolah-olah beramal ibadah selama 1000 bulan iaitu sekitar 83 tahun. Menjadikan kita seolah-olahnya menghabiskan seluruh hidup kita dan usia kita dalam ibadah.

Bagi mencari malam-malam yang berkemungkinan sebagai malam al-qadar, maka kalangan ulama ada menyatakan bahawa, malam-malam yang ganjil yang tersebut ialah malam 21, 23, 25, 27 & 29 dari bulan Ramadhan. Dalam pada itu terdapat juga beberapa hadis yang menyatakan bahawa malam al-qadar itu pernah ditemui dalam zaman Rasulullah SAW pada malam 21 Ramadhan. Pernah juga ditemui pada malam 23 Ramadhan. Terdapat juga hadis yang mengatakan bahawa baginda Rasulullah SAW. menjawab pertanyaan seorang sahabat yang bertanya mengenai masa Lailatulqadar supaya ianya bersedia dan menghayatinya. Baginda menjelaskan malam Lailatulqadar itu adalah malam 27 Ramadhan. Dari keterangan-keterangan di atas dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa malam Lailatulqadar itu berpindah dari satu tahun ke satu tahun yang lain di dalam lingkungan 10 malam yang akhir dari bulan Ramadhan. Yang pastinya bahawa masa berlakunya malam Lailatulqadar itu tetap dirahsiakan oleh Allah SWT supaya setiap umat Islam menghayati 10 malam yang akhir daripada Ramadhan dengan amal ibadat. Dengan beribadah di sepuluh malam terakhir itu, mudah-mudahan akan dapat menemuinya sebagai bekalan kehidupan akhirat.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulannya marilah kita sama-sama menghayati nuzul al-Quran ini sebagai suatu peristiwa besar yang penuh makna dan hikmah. Kita seharusnya melihat al-Quran itu sebagai ‘kitab induk’ panduan Ilmu pengetahuan untuk memajukan manusia seluruhnya. Memajukan manusia yang lebih penting adalah memajukan umat Islam terlebih dahulu melalui penguasaan ilmu pengetahuan dan teknologi. Membaca al-Quran itu adalah suatu ibadah. Sekarang bolehlah kita panjangkan ‘membaca’ al-Quran itu kepada menganalisa, mengkaji, menyelidiki dan mencari rahsia ilmu pengetahuan di dalam al-Quran dan seterusnya menghasilkan penulisan-penulisan yang akhirnya memajukan dunia ini dan khasnya memajukan umat Islam dan seterusnya mengeluarkan umat Islam dari belenggu kelemahan dan penghinaan. Umat Islam juga perlu mempertingkatkan amal ibadah terutamanya mengejar anugerah Tuhan yang tidak terhingga kepada umat Islam akhir zaman. Beribadah di 10 akhir Ramadhan memberikan kita peluang keemasan ganjaran pahala seolah-olah beribadah sepanjang hidup kita iaitu 1000 bulan (sekitar 83 tahun).

dipetik dari: http://www.scribd.com/doc/4999273/nuzul-alquran-dan-lailatul-qadar?autodown=pdf.

HUBUNGAN NUZUL QURAN, LAILATUL QADAR DAN POLITIK NEGARA


Oleh: Abdullah Azzam al-Qumi

Bulan Ramadan dipilih Tuhan sebagai bulan untuk kita berpuasa atas beberapa perkara. Antara perkara yang paling besar, ialah sejarah turunnya al-Quran pada suatu malam dalam bulan Ramadan.

"(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah..." (maksud Al-Baqarah: 185)

Sebab itu juga kita digalakkan membaca, tadarus al-Quran pada bulan Ramadan sebagai suatu cara menghormati al-Quran memandangkan bulan Ramadan ini telah dipilih sebagai bulan di mana kitab suciNya diturunkan. [Sebenarnya, kita juga digalakkan bertadarus pada luar bulan Ramadan juga. Tapi pada bulan ini kita makin digalakkan berbuat demikian, apatah lagi, bulan Ramadan itu dikenang sebagai bulan turunnya al-Quran.]

Manakala dalam bulan Ramadan itu juga ada suatu peruntukan malam yang mulia. Malam itu menjadi mulia dengan sebab hadirnya malam Lailatul Qadar di mana kemuliaannya terkait langsung dengan sebab kejadian kisah turunnya al-Quran pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan itu.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Qadar, maksudnya:
[1] Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul Qadar.
[2] Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul Qadar itu?
[3] Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan.
[4] Pada malam itu, turun malaikat dan ruh dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut);
[5] Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbitnya fajar!"

Pada ayat pertama, disebutkan dengan jelas bahawa al-Quran itu telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar dan sudah tentulah hal ini berlaku dalam bulan Ramadan kerana jumhur ulama menyifatkan demikian.

(Sesetengah sufi besar seperti Ibnu 'Arabi lewat kitab agungnya Futuhat Makkiyyah mendakwa Lailatul Qadar juga pernah turun pada bulan Rabiul Awwal, Rabiul Akhir dan lain-lain bulan di luar Ramadan. Wallahu'alam.)

Ini kerana, ayat pertama di dalam surah al-Qadar ini ada kaitan dan kesinambungannya dengan ayat 185 al-Baqarah yang menyebutkan bahawa al-Quran itu memang diturunkan pada malam bulan Ramadan.

Nabi Musa A.S Bermunajat, Berpuasa Menunggu Turunnya Taurat

Seperti yang termaklum, hubungan Nabi Muhammad s.a.w dengan Nabi Musa a.s itu amat erat. Seperti mana cara al-Quran diturunkan kepada umat Muhammad, maka dengan cara yang sama jugalah kejadian itu berlaku ke atas umat Musa a.s, iaitu Bani Israel.

Suatu zaman yang lalu, Nabi Musa a.s pernah bermunajat selamat 40 hari, 40 malam di atas bukit. Baginda juga berpuasa dalam tempoh turunnya 10 Rukun atau Ten Commandments itu; iaitu peristiwa seperti mana kita berpuasa untuk mengingati peristiwa turunnya al-Quran tersebut.

"Dan (kenangkanlah) ketika kami berjanji kepada Musa (untuk memberi Taurat kepadanya sesudah dia bersiap selama) empat puluh malam. Kemudian, setelah dia pergi, kamu menyembah (patung) anak lembu dan kamu sebenarnya yang zalim (terhadap diri sendiri). (maksud Al-Baqarah: 51)

Peraturan dan syariat baru (Ten Commandments) itu dirakam dalam bentuk batu bersurat, prasasti untuk Bani Israel dan menurut riwayat, Nabi Musa a.s sendiri telah memecahkan batu bersurat yang terakam di atasnya peraturan baru terhadap umatnya itu. Puncanya, baginda berang ke atas sikap umatnya yang kembali menyembah anak lembu ciptaan Samiri.
Sikap marah Nabi Musa itu turut tercurah ke atas saudaranya Nabi Harun. Allah s.w.t merakamkan kejadian tersebut.

Nabi Harun menjawab: "Wahai anak ibuku! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: `Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrael sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" (maksud Taha: 94)

Kejadian itu benar-benar mengecewakan Nabi Musa a.s kerana hampir keseluruhan Bani Israel telah kembali menuju jalan kesesatan, melainkan segolongan yang kecil sahaja yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Tauhid yang asal.

Samiri, mungkin seorang pengamal sihir telah mengambil kesan jejak langkah rasul untuk menguatkan lagi kesan sihirnya ke atas Bani Israel. Ketika Nabi Musa a.s bertanya kepada Samiri, maka penyihir itu berkata.

"Ia menjawab: "A
ku mengetahui dan menyedari apa yang tidak diketahui oleh mereka, lalu aku mengambil segenggam kesan jejak Rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku dihasut oleh hawa nafsuku". (Taha: 96)

Demikianlah halnya dengan nasib umat Islam hari ini. Mereka boleh disesatkan ahli sihir, wanita penyihir yang menjadi isteri pembesar secara halus dan tersirat jika agamawan dan mufti masih setia dan selesa menjaga kedudukannya dengan mengambil sikap membisu (syaitan bisu) dan tidak membuka simpulan tali pada lidahnya dalam usaha menegur amalan sihir isteri pembesar yang boleh menyesatkan aqidah umat ini secara beransur-ansur.

Sikap Muslimin Terhadap Lailatul Quran

Sebagai umat Nabi Muhammad s.a.w, kita mendapat dua bentuk kemuliaan dari langit. Pertamanya, Al-Quran yang turun dari langit pada malam Lailatul Qadar dalam bulan Ramadhan. Kedua kita mendapat arahan melakukan solat fardhu ketika Nabi Muhammad s.a.w menerimanya di langit pada malam Isra' Mikraj.

Rasulullah s.a.w pernah disoal tentang amalan apakah yang sebaik-baiknya diamalkan jika mereka bertemu Lailatul Qadar itu. Maka nabi meminta kita membaca doa, "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar..."

Oleh kerana Lailatul Qadar ini terkait dengan sejarah penurunan al-Quran, dan malaikat serta ruh pun turun mengiringi penurunan al-Quran sebagai petunjuk dan hidayah, maka selayaknya kita menghiasi malam Lailatul Qadar dengan doa yang tidak bersifat keduniaan semata-mata, seperti mohon hendak jadi kaya, mendapat projek, dan lain-lain.

Biarlah kita mohon supaya ada keberkatan (roh) pada harta kekayaan itu, iaitu kita akan pandai menggunakannya ke arah kebaikan, mengeluarkan zakat, membanyakkan sedekah dan lain-lain.
Dan jika kita mendapat projek sekali pun, ia bukanlah didapati melalui rasuah dan tidaklah kita mengalibabakan projek sehingga menyebabkan banyaknya pembinaan rumah yang terbengkalai. Atau jika mendapat projek pembelian kapal selam itu sekali pun, ia bukanlah sampai mengundang tragedi berdarah ke atas wanita Mongolia.

Syahadan, doa yang teragung adalah doa yang telah diajarkan oleh baginda tadi - "Allahumma inna nas aluka ridhoka wal jannah wa na'uzubika min sakhatika wan nar."

Hari ini, kita melihat rata-rata umat Islam ada keghairahan mencari tanda-tanda Lailatul Qadar kerana mahukan imbuhan pahala yang banyak kerana malam itu dikatakan lebih baik daripada 1,000 bulan. Juga, mereka menunggu malam itu kerana pada malam itu akan dimakbulkan segala doa dan hajat.

Malah, dengan sebab tersebarnya mitos berhubung pokok-pokok bersujud pada malam tersebut, maka ada kalangan kita yang sanggup menunggu isyarat itu agar terbentang di depan mata. Adalah terlebih afdal, masa yang digunakan untuk menunggu petanda itu digunakan untuk meneruskan amalan dan berdoa untuk kebaikan kehidupan yang lebih baik dan sempurna.

Kalau kita mahu berdoa untuk mendapat imbuhan akhirat yang baik, maka hendaklah kita berdoa agar diberi sebuah dunia yang baik di mana khalifahnya adil dalam pemerintahan. Pemimpinnya banyak menyeru ke arah amal soleh dan secara tidak langsung akan menyebabkan bakal lahirnya sebuah dunia yang baik, insya Allah Ta'ala.

Dipetik dari: http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=022407&Itemid=91

Tuesday, May 12, 2009

TEKA TEKI IMAM GHAZALI...


Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-samadengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMANYA beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"Orang tua, guru, kawan dan sahabat".

Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagisoalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imranayat 185

KEDUANYA beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"negara China, bulan, matahari dan bintang".

Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masalalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidakakan dapat kembali ke amasa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.

KETIGANYA beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari".

Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mestiberhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsumengheret kita ke neraka jahannam. Rujuk surahal-A'raf ayat 179

KEEMPAT beliau bertanya tentang apakah yang palingberat di dunia lalu murudnya menjawab :" Besi, gajah".Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasakerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.

KELIMA beliau menyoal tentang apakah yang palingringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas,angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawasemua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yangpaling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.

KEENAM beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab :' Pedang". ImamGhazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulanya ialah :

Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia?
MATI


Apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia?
MASA LALU


Apakah yang paling besar di dunia?
NAFSU


Apakah yang paling berat di dunia?
MENANGGUNG AMANAH


Apakah yang paling ringan di dunia?
MENINGGALKAN SOLAT


Apakah yang paling tajam di dunia?
LIDAH MANUSIA


Semoga ia manfaat buat kita

Tuesday, May 5, 2009

PETUA IMAM AL-SHAFI'E




4 PERKARA UNTUK SIHAT
Empat perkara menguatkan badan
1. makan daging
2. memakai haruman
3. kerap mandi
4. berpakaian dari kapas

Empat perkara melemahkan badan
1. banyak berkelamin (bersetubuh)
2. selalu cemas
3. banyak minum air ketika makan
4. banyak makan bahan yang masam

Empat perkara menajamkan mata
1. duduk mengadap kiblat
2. bercelak sebelum tidur
3. memandang yang hijau
4. berpakaian bersih

Empat perkara merosakan mata
1. memandang najis
2. melihat orang dibunuh
3. melihat kemaluan
4. membelakangi kiblat

Empat perkara menajamkan fikiran
1. tidak banyak berbual kosong
2. rajin bersugi (gosok gigi)
3. bercakap dengan orang soleh
4. bergaul dengan para ulama


4 CARA TIDUR

1. TIDUR PARA NABI
Tidur terlentang sambil berfikir tentang kejadian langit dan
bumi.

2. TIDUR PARA ULAMA' & AHLI IBADAH
Miring ke sebelah kanan untuk memudahkan terjaga untuk solat
malam.

3. TIDUR PARA RAJA YANG HALOBA
Miring ke sebelah kiri untuk mencernakan makanan yang banyak
dimakan.

4. TIDUR SYAITAN
Menelungkup/tiarap seperti tidurnya ahli neraka.

Sedikit amalan tetapi berterusan adalah lebih baik dari banyak amalan tetapi kadang-kadang.

Amalan Bomoh Masih Mendapat Tempat Dalam Masyarakat Moden


Pembomohan di kalangan masyarakat, masih mendapat tempat khususnya dikalangan masyarakat Melayu. Bahkah tidak habis diperkatakan dan dipertayangkan kepada masyarakat sekarang amalan dan perilaku bomoh-bomoh yang kebanyakkan menyeleweng dan mengundang padah kepada orang yang mempercayai mereka. Ada yang ditipu, dirogol, dicabul dan sebagainya akibat kerana percaya kepada bomoh. Terbaru isu yang berlaku di sebuah negeri dua Menteri Besar, yang juga dikaitkan dengan penggunaan pengaruh bomoh kerana berkehendakkan sesuatu. Benar atau tidak, masih menjadi tanda tanya. Perkara ini dapat dirujuk kepada berita dibawah:

Berita dipetik dari www.malaysiakini.com
4 Mei 2009
Seorang wakil rakyat PAS – yang mendakwa menteri besar BN membawa masuk bomoh ke DUN sebelum persidangan penting, Khamis ini – berkata beliau mempunyai "bukti" berhubung dakwaannya itu.

ADUN Titi Serong, Khalil Idham Lim menambah, beliau bersedia memberikan keterangan berhubung kenyataannya itu yang diadukan kepada polis oleh Datuk Zambry Abd Kadir semalam.

"Mustahil saya tidak bersedia memberikan keterangan. Saya keluarkan fakta, takkan saya hendak lari daripada memberikan keterangan.

"Kita ada bukti yang diberitahu (oleh) sumber tertentu. Maka saya buat kenyataan (kepada media)," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Zambry ke sebuah balai polis malam tadi, melaporkan kenyataan Khalil di laman blognya idhamlim.blogspot.com yang disifatkan sebagai "tuduhan melampau dan keterlaluan".

Coretan itu antara lain mendakwa Zambry dan BN membenarkan bangunan DUN dimasuki bomoh untuk menjampi kerusi Speaker DUN V Sivakumar dan mendesak Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria mengeluarkan fatwa berhubung amalan berkenaan.

Selain itu, Khalil turut berkata, lima ADUN Pakatan didatangi sekumpulan polis yang "mengambil gambar dalam keadaan mencurigakan dan menimbulkan pelbagai persoalan."

Sehubungan itu, beliau membantah tindakan itu yang dianggapnya "semacam provokasi untuk menakut-nakutkan ADUN Pakatan Rakyat" menjelang persidangan bersejarah itu - untuk menentukan kesahihan Zambry dan menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Diminta menjelaskan lanjut bukti dakwaannya itu, Khalil berkata:

"Sekarang masalahnya, orang memberitahu saya, (itulah) bukti saya. Maklumat daripada orang yang tahu betul cerita ini."

Mengulas laporan polis itu, Khalil berkata Zambry berhak membuat laporan berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

"Tetapi (menjadi) hak saya melaporkan (kepada media) dan minta mufti memberikan fatwa.

"Ada, (atau) tak ada pun (perbuatan itu), saya rasa mufti kena beri fatwa dialah, pandangannya macam mana (sama ada) boleh pakai bomoh," katanya.

Diminta menjelaskan lanjut kehadiran polis itu, Khalil berkata, pasukan keselamatan itu muncul Jumaat lalu antara jam 5.30 hingga 6 petang.

"Sebagaimana dijelaskan Thomas Su (dalam sidang media semalam), wakil rakyat Pasir Pinji, yang menulis surat waktu mula jadi exco (Perak) supaya keselamatan rumah beliau ditinjau polis.

"Tetapi surat beliau tidak diberikan respons sampai sekarang. Tiba-tiba bila dewan hendak bersidang, 20 orang polis datang rumah beliau.

"Apa cerita? Semasa kita minta bantuan mereka tidak datang," kata Khalil.

"Apalah salahnya kami diberitahu dulu (apabila) hendak datang rumah. Sekurang-kurangnya bolehlah minum teh. Wakil rakyat ini biasalah, rumah dia kurang-kurang ada biskut kering. Boleh makan biskut kering."

Empat ADUN lain yang didatangi polis: Lim Phek Her (Menglembu), Loke Chee Yan (Kepayang), Chang Lih Kang (Teja) dan A Sivasubramaniam (Buntong).

Berita daripada www.harakahdaily.net
5 Mei 2009

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Hrkh) - JAMAIY salah satu Gabungan NGO Islam Perak hari ini merasa kesal dengan 'insiden khurafat' yang berlaku di Dun Perak baru-baru ini seperti yang dilaporkan sebelum ini oleh Adun Titi Serong, Idham Lim. Iklan

Pengerusinya Dr Khairuddin Dato' Abd Malik berkata, beliau telah dimaklumkan oleh kakitangan kerajaan Perak bahawa mereka kesal dan marah apabila khidmat bomoh telah dibawa ke Kompleks SUK Perak pada pagi 30 April lalu oleh salah seorang Wakil Rakyat Adun Barisan Nasional (BN) yang juga bertaraf Exco.

Bomoh tersebut dikatakan dibawa khusus ke bilik persidangan dan fokusnya adalah tempat duduk VIP seperti kerusi DYMM Tuanku Sultan Perak, Speaker dan Menteri Besar.

"Menteri Besar Barisan Nasional Dr. Zambry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato� Dr. Abdul Rahman Hashim perlu mengambil tanggungjawab atas insiden kurafat yang memalukan ini.

"Jika insiden ini dalam pengetahuan Dr. Zamry dan Setiausaha Kerajaan Negeri Dato� Dr. Abdul Rahman Hashim maknanya mereka telah merestui kerja-kerja syirik yang dikutuk oleh Allah, " katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Mereka katanya mesti bertaubat dan memohon maaf kepada Sultan sebagai Ketua Agama Negeri dan seluruh rakyat beragama Islam dan dalam masa yang sama meletakkan jawatan.

"Jika perkara tersebut berlaku tanpa pengetahuan, mereka tidak layak memegang tugas besar Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan kerana kecuaian yang melampau.

"Siasatan mesti dibuat oleh jabatan Agama Islam Perak secepat mungkin tanpa rasa takut," katanya.

Bagi DYMM Tuanku Sultan Perak adalah disarankan demi menjaga nama baik baginda supaya membatalkan keberangkatan ke Sidang DUN pada 7 Mei inii kerana insiden yang mencemarkan institusi Raja sebagai Ketua Agama dan Payung Rakyat, katanya. - azm _

PESANAN:

1. Kenapa bomoh masih menjadi rujukan dikalangan masyarakat moden hari ini?

2. Bomoh selalunya dikaitkan dengan penggunaan jin dan syaitan. Boleh kah kita mempercayai bomoh sedangkan jin dan syaitan sama sekali tetap akan berbohong dan menipu kita selaku manusia kerana itulah perjanjian mereka dengan Allah. Jadi, wajarkah kita mempercayai semua itu?

3. Kenapa kita masih mempercayai bomoh? Cuba sedilik dan meneliti iman dan akidah kita selaku umat Islam.?

Fikir dan renungkan lah. Sesungguhnya syirik adalah sebesar-besar dosa.

Air Zam-Zam Bukti Keagongan Allah s.w.t

AIR zamzam mempunyai banyak kelebihan dan keistimewaan berbanding air lain. Perkara ini diperakui oleh banyak kajian saintifik, termasuk sarjana Barat. Air zamzam mempunyai banyak khasiat dan kelebihan seperti sabda Nabi Muhammad SAW bermaksud: "Sebaik-baik air di permukaan bumi adalah air zamzam. Padanya ada makanan yang menyegarkan dan penawar bagi segala penyakit."

Ia juga mempunyai beberapa keistimewaan antaranya tidak pernah kering walaupun berjuta-juta manusia memanfaatkannya setiap hari, terutama pada musim haji. Air zamzam tidak akan kering hingga hari kiamat. Hal itu, adalah bukti keagungan dan kebesaran Allah.

Ulama sepakat bahawa sunat bagi orang yang mengerjakan ibadah haji dan umrah, minum air zamzam. Ini disebabkan Nabi Muhammad SAW minum air zamzam.

Berdasarkan nas aL-Syafi'Iyah, bahawa air zamzam itu sunat diminum dalam apa keadaan sekali pun. Hukum sunat itu tidak hanya khusus selepas mengerjakan tawaf, bahkan sunat diminum bagi setiap orang walaupun bukan pada waktu mengerjakan ibadah haji atau umrah.

Disebutkan dalam hadith, Jabir bin `Abdullah, katanya: "Aku pernah mendengar Rasulullah bersabda: "Air zamzam itu diminum untuk keperluan apa saja." (Hadith riwayat Ibnu Majah)

ADAB atau peraturan minum air zamzam itu, antaranya:- Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah, katanya: "Seorang lelaki datang menemui Ibnu Abbas. Lalu bertanya Ibnu Abbas: "Tuan datang dari mana?" Lelaki itu menjawab: "Saya baru lepas minum air zamzam." Tanya Ibnu Abbas lagi: "Adakah tuan minum itu mengikut cara yang sepatutnya?" Lelaki itu tidak menjawab, sebaliknya bertanya pula kepada Ibnu Abbas: "Bagaimanakah caranya wahai lbnu Abbas?"

Ibnu Abbas menjelaskan: "Apabila minum air zamzam hendaklah menghadap kiblat, sebutkan nama Allah (baca Bismillah) dan bernafas di luar bijana, kemudian baru teguk lagi dan (sesudah selesai minum) ucapkan pujian kepada Allah (baca Alhamdulillah). Sesungguhnya Rasulullah SAW ada bersabda: "Perbezaan antara kita dan orang ramai (kaum munafik) adalah mereka itu tidak suka meneguk (minum) air zamzam." (Hadith riwayat Addara Qutni dan lbnu Majah).

Daripada `Ikramah meriwayatkan, bahawa Ibnu Abbas apabila minum air zamzam berdoa (ertinya): "Ya Allah ya Tuhanku! Aku bermohon kepada-Mu supaya dikurniakan ilmu yang memberi manfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan daripada segala penyakit." (Hadith riwayat ad-Dara Qutni dan lbnu Majah).

Menurut riwayat, Ibnu Abbas ialah sahabat yang sangat mendalam ilmunya, luas rezekinya dan tidak pernah sakit kecuali penyakit tua.


FAKTA

Rahsia kelebihan air zamzam

Boleh menyembuhkan pelbagai penyakit dengan izin Allah.

Diberkati dan mengeyangkan peminumnya.

Mampu menyempurnakan hajat peminumnya dengan izin Allah.

Allah menjadikan air zamzam sebagai penyebab kepada pembangunan dan kemajuan bumi Makkah. Seterusnya, kewujudan Baitullah di bumi itu.

Antara mata air syurga.

Antara tanda kekuasaan Allah di bumi Makkah

Fikirkanlah bagaimana sebuah telaga Air Zamzam digunakan oleh berjuta-juta orang tetapi tidak pernah pun kering, sebuah telaga dilembah yang gersang pada mulanya dan kini pesat membangung. Tidak lain, melainkan dari keagongan dan Keberkatan Allah pada bumi Makkah.

Tuesday, April 21, 2009

Nabi s.a.w Pernah Disihir


Peristiwa Nabi s.a.w disihir, telah diceritakan dalam sebuah hadith iaitu;
Daripada Saydatina ‘Aishah r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah terkena sihir sehingga seolah-olah melihat baginda sedang mendatangi wanita sedangkan tidak. Sufiyan berkata: “Inilah kekuatan yang ada pada sihir apabila ia terjadi demikian”. Maka sabda Nabi s.a.w: “Wahai ‘Aishah, apakah engkau merasakan bahawa Allah s.w.t telah mendatangkan fatwa ketika aku benar-benar memerlukannya? Telah datang kepadaku dua orang lelaki, lalu salah seorang daripadanya duduk berhampiran kepalaku, dan seorang lagi berhampiran kakiku”. Berkata lelaki yang berada berhampiran kepala kepada temannya yang berada berhampiran kakinya: “Apakah penyakit lelaki ini?”. Lalu dijawab: “Terkena sihir”. Berkata lagi: “Siapa yang menyihirnya”, lalu dijawab: “Labib bin al-A‘sam seorang lelaki dari Bani Zuraiq, bomoh kaum Yahudi dan beliau adalah seorang munafik”. Berkata lagi: “Dengan (bahan) apa (disihir)?”, lalu dijawab: “Pada sikat dan rambut, dan kemudian dibungkus dengan seludang tamar jantan muda”. (Lelaki itu) bertanya lagi: “Di mana letaknya benda itu”. Lalu dijawab: “Di dalam satu lubang yang yang kelihatan di dalam bawah air keruh telaga Dharwan”. ‘Aishah berkata: “Nabi s.a.w menyuruh seorang sahabat pergi ke telaga tersebut untuk meninjau (keadaan telaga itu)”. (Setelah kembali) sahabat itu berkata: “Telaga yang aku lihat itu airnya berwarna merah-kemerahan seperti inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepada Syaitan”. Aku (‘Aishah) bertanya: “Ya Rasulullah, kenapa tidak dibakar sahaja benda itu?”. Baginda menjawab: “Jangan! Allah telah menyembuhkan daku. Aku tidak suka mengenakan kejahatan seperti ini ke atas orang lain”. Lalu baginda menyuruh agar ditanam bahan-bahan sihir itu.

(
Hadith riwayat al-Bukhari dalam Sahihnya [Kitab al-Tibb, Bab Adakah Perlu Dikeluarkan Sihir, hadith 5323], j.18, hlm.5)

Istifadah Hadith:

  1. Nabi s.a.w juga manusia biasa yang tidak terlepas daripada terkena buatan manusia yang lain.
  2. Orang yang menyihir Nabi s.a.w adalah Labib bin al-A‘sam seorang lelaki dari Bani Zuraiq,iaitu bomoh dari kalangan kaum Yahudi.
  3. Nabi s.a.w telah disihir melalui penggunaan sikat dan rambut banginda s.a.w yang telah dijampi dan dimanterakan oleh bomoh Yahudi tersebut lalu diletakkan dalam sebuah perigi Dharwan di Madinah.
  4. Apabila Nabi s.a.w terkena sihir tersebut,kesannya sehingga baginda menjadi seolah-olah lupa yang baginda telah melakukan sesuatu perkara, iaitu antara sedar dengan tidak.
  5. Namun, kelupaannya tersebut hanya pada soal urusan kehidupan dan perbuatan di dunia sahaja. Tetapi baginda tidak lupa dengan syariat yang sedang dibawa sebagai utusan Allah s.w.t.
Semoga Manfaat Untuk Pedoman Semua.

mindahati :-)

Monday, March 30, 2009

Hadith-Hadith Tentang Hubungan Songsang

Pertama: Larangan Rasulullah s.a.w menyerupai jantina yang berlainan
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُتَشَبِّهِينَ مِنْ الرِّجَالِ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتِ مِنْ النِّسَاءِ بِالرِّجَالِ"

Terjemahan: Dari Ibn 'Abbas r.a. berkata: "Rasulullah s.a.w melaknat lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki."[0]
-
Kedua: Larangan Rasulullah s.a.w Terhadap Lelaki Yang Berpakaian Wanita dan Wanita Berpakaian Lelaki
Daripada Abi Hurayrah r.a.:

"لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّجُلَ يَلْبَسُ لِبْسَةَ الْمَرْأَةِ وَالْمَرْأَةَ تَلْبَسُ لِبْسَةَ الرَّجُلِ"
Terjemahan: "Nabi s.a.w mengutuk (melaknat) lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki."[1]
-
Ketiga: Tindakan Rasulullah s.a.w Terhadap Golongan Pondan
Daripada Ibn 'Abbas r.a, berkata;

لَعَنَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُخَنَّثِينَ مِنْ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلَاتِ مِنْ النِّسَاءِ وَقَالَ أَخْرِجُوهُمْ مِنْ بُيُوتِكُمْ وَأَخْرَجَ فُلَانًا وَأَخْرَجَ عُمَرُ فُلَانًا

Terjemahan: "Nabi s.a.w mengutuk (melaknat) lelaki yang bersifat kewanitaan dan wanita yang bersifat kelakian, dengan sabdanya: "Keluarlah mereka daripada rumah-rumah kamu." Ibn ;Abbas menambahkan lagi: "Maka Nabi s.a.w telah mengeluarkan si fulan, dan Umar juga telah mengeluarkan si fulan."[2]
-
عَن أُمِّ سَلَمَةَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ عِنْدَهَا وَفِي الْبَيْتِ مُخَنَّثٌ فَقَالَ الْمُخَنَّثُ لِأَخِي أُمِّ سَلَمَةَ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ أَبِي أُمَيَّةَ إِنْ فَتَحَ اللَّهُ لَكُمْ الطَّائِفَ غَدًا أَدُلُّكَ عَلَى بِنْتِ غَيْلَانَ فَإِنَّهَا تُقْبِلُ بِأَرْبَعٍ وَتُدْبِرُ بِثَمَانٍ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَا يَدْخُلَنَّ هَذَا عَلَيْكُنَّ

Terjemahan: "Daripada Ummu Salamah, bahawa Nabi s.a.w berada di rumahnya dan terdapat di sebuah rumah seorang yang berkelakuan wanita. Maka Nabi s.a.w berkata kepada saudara Ummu Salamah iaitu 'Abd Allah bin Abi Umayyah: "Jika Allah membebaskan Ta'if bagi kamu pada esok hari, maka akan aku tunjukkan pada kamu rumah Binti Ghaylan, yang datang dengan empat dan pergi dengan lapan anggota". Maka sabda Nabi s.a.w: "Jangan sekali-kali mereka itu masuk ke dalam rumah-rumah kamu."[3]
-
Kesimpulan Daripada Hadith:
1. Menyerupai dengan jantina yang berlainan adalah merujuk kepada wanita yang menyerupai lelaki atau lelaki yang menyerupai wanita dari sudut pakaian, pergerakan, tingkah laku, sifat dan sebagainya yang bukan melambangkan ciri-ciri sebagai lelaki atau ciri-ciri sebagai wanita.
2. Golongan yang disebutkan adalah merujuk kepada pondan, lesbian, pengkid, gay, homoseksual, dll.
3. Semua golongan di atas adalah mendapat laknat daripada Nabi s.a.w dan tindakan yang dilakukan terhadap golongan ini khususnya pondan (jelas daripada hadith) adalah dengan mengeluarkan daripada rumah-rumah orang Islam atau mudah fahamnya dibuang daerah sehingga dia kembali kepada sifat dan dirinya dengan jantina yang sebenar.
-
:-)
semoga manfaat buat semua.
-
Rujukan:
[0] Hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya [Kitab al-Libas (Pakaian), Bab Lelaki Menyerupai Wanita dan Wanita Menyerupai Lelaki {الْمُتَشَبِّهُونَ بِالنِّسَاءِ وَالْمُتَشَبِّهَاتُ بِالرِّجَالِ }, no.hadith 5435]
[1] Hadith riwayat Abu Dawud [Kitab al-Libas, Bab Pada Pakaian Wanita, no.hadith 3575], j.11, h. 137 dan al-Nasa'i dalam sunannya [Kitab 'Ashrah al-Nisa', Bab { لعن المتبرجات من النساء }, no.hadith 9253], j.5, h.397.
[2] Hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya [Kitab al-Libas (Pakaian), Bab Menghalau Keluar Lelaki Yang Menyerupai Wanita Dari Rumah {إِخْرَاجِ الْمُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ مِن ْالْبُيُوتِ }, no.hadith 5436], j.18, h. 241 dan [Kitab al-Hudud, Bab Manafikan Orang Yang Melakukan Maksiat dan Menyerupai Wanita {نَفْيِ أَهْلِ الْمَعَاصِي وَالْمُخَنَّثِينَ}, no.hadith 6331], j.11, h. 111 serta riwayat Ahmad dalam musnadhnya [Musnad Bani Hashim, Bidayah Musnad 'Abd Allah bin 'Abbas r.a., no.hadith 1878], j.4, h. 140.
[3] Hadith riwayat al-Bukhari dalam sahihnya [Kitab al-Nikah, Bab {مَا يُنْهَى مِنْ دُخُولِ الْمُتَشَبِّهِينَ بِالنِّسَاءِ عَلَى الْمَرْأَةِ}, no.hadith 4834], j.16, h. 262.