Wednesday, September 16, 2009

Guna Ayat Al-Quran Untuk Atasi Masalah Sihir




SOALAN:

Menurut sejarah, Nabi Muhammad s.a.w. pernah terkena sihir oleh seorang Yahudi bernama Labid bin Al-A'sam. Apa yang menjadi kemusykilan saya ialah bagaimana orang yang dipelihara oleh Allah, menjadi kekasih-Nya, seorang nabi, juga seorang rasul boleh terkena sihir.

JAWAPAN:

Pada tahun ketujuh Hijrah, iaitu selepas balik dari Hudaibiah, baginda Rasulullah telah terkena sihir. Beberapa orang Yahudi menemui Labid bin Al-A'sam, seorang tukang sihir yang terkenal di kalangan ahli sihir Yahudi. Mereka mengadu dan menyatakan telah berusaha untuk menyihir Muhammad, tetapi tidak berjaya. Kerana itu mereka meminta agar Labid melakukan sihir ke atas Muhammad dengan memberi upah.

Dalam sebuah hadis daripada Sayidatina Aisyah dinyatakan bahawa kesan daripada sihir itu baginda merasakan seolah-olah telah melakukan sesuatu, padahal dia tidak melakukannya, sehinggalah pada satu hari baginda berdoa, dan terus berdoa, dan akhirnya Allah mengutuskan dua malaikat.

Mereka datang berhampiran Nabi, berbicara tentang diri baginda yang dia disihir oleh Labid dengan menggunakan sikat dan rambut yang dibungkus dengan seludang tamar jantan muda. Bahan yang diambil daripada Nabi itu diletakkan dalam telaga Zarwan.

Baginda telah meminta salah seorang sahabatnya agar meninjau telaga yang dimaksudkan. Setelah kembali, utusan ini menyatakan bahawa, ``air telaga itu berwarna kemerah-merahan, seperti warna inai. Rupa pohon tamar itu seperti kepala-kepala syaitan.''

Merah yang dimaksudkan di sini seperti warna inai apabila dimasukkan dalam air, manakala pohon tamar itu digambarkan seperti rupa kepala-kepala syaitan untuk memperlihatkan pemandangan yang menggerunkan lagi menakutkan.

Lahir daripada pengamatan umum akan timbul persoalan bagaimana Allah boleh membiarkan kekasih-Nya terkena sihir, padahal seperti dijanjikan oleh Allah adalah maksum. Allah sewajarnya melindungi kekasih-Nya.

Allah Maha Mengetahui apa yang patut dilakukan terhadap kekasih-Nya. Terlalu banyak rahsia ketuhanan yang tidak terungkai atau terungkap oleh pengamatan manusia.

Rasulullah Muhammad adalah seorang nabi, juga seorang rasul. Baginda adalah pesuruh Allah, yang di antara tugas utamanya menyampaikan mesej daripada Allah, kepada manusia dengan perantaraan malaikat Jibrail, ataupun tanpa malaikat Jibrail. Mesej inilah yang diistilahkan sebagai `wahyu' yang disampaikan kepada umatnya, iaitu umat Muhammad, tanpa menambah ataupun mengurangkannya.

Wahyu yang disampaikan itulah yang dinamakan sebagai `Kalamullah,' yang kemudiannya dihafal oleh baginda, oleh para sahabat, ditulis di belulang-belulang dan sebagainya, lalu dikumpulkan dan dibukukan dan akhirnya menjadi al-Quran. Adapun wahyu Allah yang diturunkan, tetapi disampaikan kepada umatnya menggunakan ayat-ayat Muhammad dinamakan hadis. Sesungguhnya Rasulullah tidak berkata-kata menurut kehendaknya sendiri, apa yang dikatakan itu adalah wahyu yang telah diturunkan kepadanya. Kerana itulah maka al-Quran dan hadis-hadis itu menjadi pegangan utama, sumber hukum bagi orang yang mengaku dirinya Islam.

Itulah fungsi sebenar Rasulullah di mana dilantik oleh Allah sebagai pesuruh-Nya. Di situlah terletak kerasulan baginda. Walaupun demikian, baginda tetap manusia biasa, lahir seperti manusia biasa hasil daripada kehidupan seorang ibu dan bapa.

Sebagai manusia, jasadnya mempunyai naluri seperti manusia biasa, hasil daripada kehidupan seorang ibu dan bapa. Sebagai manusia, jasadnya mempunyai naluri seperti orang lain, ada rasa kasih sayang, memerlukan makan minum, hidup berkeluarga dan sebagainya.

Satu keistimewaan baginda, beliau dilantik menjadi rasul kepada manusia juga jin-jin. Hal demikian membuktikan bahawa berbanding dengan jin-jin, manusia itu lebih pintar dan tinggi makamnya, kerana Allah mengutus manusia untuk manusia dan jin-jin. Allah tidak menjadikan jin sebagai rasul.

Sebagai manusia, Allah menjadikannya berakhlak mulia. Kerana itu manusia biasa yang taatkan perintah Allah, tidak mustahil bagi mereka untuk memperoleh martabat yang tinggi di sisi Allah kerana mereka adalah sama-sama manusia.

Pengajaran

Sebagai manusia biasa, baginda tidak mengetahui dirinya telah disihir oleh Labid bin Al-A'sam, kecuali setelah Allah mengutus dua malaikat memberitahunya yang dia terkena sihir.

Dalam hadis-hadis disebutkan, akibat daripada sihir tersebut, baginda merasakan bahawa beliau telah melakukan sesuatu, tetapi sebenarnya tidak melakukannya. Sesetengah ahli tafsir menyatakan, atau memberi tafsiran bahawa baginda merasakan telah mendatangi salah seorang daripada isteri-isterinya, padahal beliau tidak berbuat demikian.

Sesetengah mentafsirkan bahawa akibat daripada sihir berkenaan, baginda tidak berupaya bersatu dengan isterinya.

Apa yang berlaku ke atas Rasulullah seperti dijelaskan oleh ahli-ahli tafsir tersebut memberi pengajaran bahawa sihir itu benar-benar boleh berlaku. Akibat daripada sihir, suami ada kalanya tidak berupaya bersatu dengan isterinya.

Menurut Syeikh Abdul Aziz Ma'mun, penyakit ar-rabt, atau kegagalan suami bersatu dengan isterinya merupakan satu jenis sihir yang dilakukan oleh tukang-tukang sihir dengan pertolongan syaitan yang mengganggu pusat rangsangan nafsu penting manusia, iaitu otak yang merangsang alat kelamin.

Ia merupakan sejahat-jahat amalan sihir yang menyakitkan, lebih-lebih lagi apabila suami hilang keupayaan sama sekali untuk bersatu dengan isterinya, tetapi boleh melakukan persetubuhan haram dengan perempuan-perempuan lain.

Suami yang mengalami masalah seperti ini dinamakan ar-rajulul mahbus atau ar-rajulul marbut oleh Abu Ubaidah Mahir.

Dalam peristiwa yang melibatkan sihir ke atas Nabi, bahan yang digunakan ialah sikat dan rambut yang diikat dengan benang dan dimasukkan dalam perut perigi dihempap dengan batu. Rambut tersebutdiambil daripada rambut kepala, juga janggut yang dicuri.

Sihir tidak akan berlaku tanpa adanya penglibatan jin-jin, yang terdiri daripada iblis dan syaitan. Kerana itu, penggunaan bahan seperti rambut dan sikat itu sebenarnya tidak penting, kerana yang memainkan peranan utama ialah jin.

Bahan-bahan seperti dijelaskan yang diambil daripada mangsa yang hendak dikenakan sihir, memudahkan atau mempercepatkan lagi proses mengenakan sihir, kerana bahan yang diambil itu adalah sebahagian daripada diri mangsa, yang kemudiannya disokong oleh jin-jin tadi.

Kerana itu, penggunaan bahan, yang diambil daripada badan mangsa bukan dongengan dalam proses amalan sihir, seperti kuku, air ludah, gambar, pakaian yang telah dipakai seperti seluar dalam, baju dalam dan sebagainya termasuk tuala ataupun songkok.

Allah telah menurunkan surah Al-Muawwizataini, iaitu Qul a'udhu birabbil falaq juga Qul a'udhu birabbinnas. Setiap ayat yang terkandung dalam dua surah ini dibacakan, maka baginda berasa lega dan akhirnya berupaya berdiri, bebas sebebasnya seperti unta yang terlepas daripada ikatan apabila keseluruhan ayat-ayat itu habis dibaca, lalu malaikat Jibrail berkata yang bermaksud: Dengan nama Allah, aku menjampi akan dikau, daripada setiap penyakit yang menyakiti akan dikau, juga daripada kejahatan yang hasad, atau mata jahat dan Allah akan menyembuhkan akan dikau.

Demikian menurut pendapat yang sahih, yang menyatakan di antara sebab kenapa surah al-Muawwizatain itu diturunkan. Iktibar ataupun pengajaran daripada peristiwa ini, kita dapat mempelajari bahawa untuk mengatasi sihir, kaedah yang paling besar ialah dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran, termasuk penggunaan dua surah pendek seperti dijelaskan.
Terdapat banyak surah juga ayat-ayat al-Quran yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah sihir, termasuklah penggunaan al-Fatihah, ayat al-Kursi, surah al-Ikhlas, surah Yasin dan akhir surah al-Baqarah.

Manakala surah-surah yang perlu dibaca oleh pesakit, atau sekurang-kurangnya diperdengarkan melalui rakaman kaset misalnya ialah surah al-Baqarah, surah al-Jinn, as-Saffat, surah Yasin, surah ad-Dukkhan dan lain-lain lagi.

Sesetengah masyarakat Melayu berkeyakinan bahawa masalah sihir hanya boleh diatasi dengan menggunakan sihir juga. Sesetengah daripadanya berkeyakinan, sihir, dalam keadaan tertentu, tidak boleh diatasi atau dirawat kecuali dengan menggunakan sihir.

Seperti dijelaskan bahawa sihir tidak akan berlaku kecuali dengan adanya penglibatan jin-jin. Apabila dikatakan bahawa sakit akibat sihir itu tidak boleh diatasi, atau lebih sesuai dengan menggunakan sihir, bererti orang yang berkenaan berkeyakinan bahawa sakit akibat perbuatan manusia yang dibantu oleh jin-jin akan hanya sembuh menggunakan perantaraan jin-jin.

Yang dimaksudkan melakukan rawatan dengan menggunakan sihir ialah seperti menemui mereka yang merawat dalam keadaan menurun, satu keadaan di mana seseorang itu diresapi oleh jin-jin, ataupun upacara melibatkan teater tradisional, yang selalunya melibatkan unsur-unsur hiburan juga rawatan, seperti dilakukan dalam sembahan main puteri, bagih, kebiah dan sebagainya.

Amalan atau upacara rawatan seperti ini diistilahkan sebagai an-Nusyrah. Ketika ditanya mengenainya, baginda menjelaskan bahawa upacara sedemikian rupa adalah daripada perbuatan syaitan.

Perjalanan hidup Rasulullah perlu dijadikan contoh oleh umatnya. Itulah yang dinamakan sunah nabi yang sewajarnya difikir logik dan keperluannya. Sesungguhnya dalam diri baginda itu contoh ikutan yang baik. Baginda pernah berpesan, ``kutinggalkan pada kamu dua perkara, selagi kamu berpegang kepadanya, kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya. Dua perkara tersebut ialah `al-Quran dan sunahku.'

Tidak dinafikan bahawa baginda itu adalah kekasih Allah. Penderitaan yang ditanggung oleh baginda akibat sihir bukan membawa erti bahawa Allah tidak mengasihinya. Sesungguhnya, Allah bersifat Maha Mengetahui lagi bijaksana bagaimana hendak menyampaikan mesej kepada hamba-Nya termasuklah mesej yang disalurkan melalui ujian terhadap kekasih-Nya.


dipetik dari tulisan: Dr. Amran Kasimin
Mingguan Malaysia

1 comment:

INFO MAJLIS ILMU said...

Salam wbt.

Nice web for knowledge seeker at www.infomajlisilmu.blogspot.com