Thursday, September 30, 2010

Kepentingan Tarbiah dan Dakwah

Tarbiah dan dakwah tidak dapat dipisahkan dalam Islam. Tarbiah membawa maksud latihan pendidikan untuk melengkapkan seorang individu Muslim dengan segala aspek kekuatan rohani, jasmani, emosi, sosial, intelek dan kemahiran. Dakwah adalah usaha menyeru manusia ke jalan Allah dengan mengamalkan segala suruhan dan meninggalkan larangannya (R).


Pentingkah tarbiah?


Tarbiah seperti bahan bakar bagi diri individu yang akan melaksanakan dakwah. Tanpa bahan bakar yang sesuai, cukup dan bertahan lama, ia akan menyebabkan nafas perjalanan dakwah seseorang individu tidak lama dan akan berhenti pada bila-bila masa sahaja.


Pentingkah dakwah?
Sumber hidayah ada dua:

1. Hidayah tidak mutlak dari Rasul dan pendakwah

2. Hidayah mutlak dari Allah

Dalam al-Fatihah, kita membaca [اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ] Maksudnya ialah “Tunjukkan kami jalan yang lurus”. Menurut Quraish Shihab, penggunaan “kami” di sini menjelaskan dua sebab:


1. Hidayah tidak cukup jika ia hanya diperoleh oleh seorang individu sahaja. Satu jemaah atau kumpulan perlu diberi hidayah untuk memastikan individu lain berada di atas jalan yang lurus. Jika A mendapat hidayah tetapi lingkungannya tidak, ia akan mengancam hidayah keimanan yang ada dalam diri A.


2. Hidayah tidak mutlak ini diperoleh hasil daripada usaha sesama manusia dan ia akan menjadi asas kepada hidayah mutlak yang hadir daripada Allah.


Tidak lain tidak bukan, untuk merealisasikan poin kedua di atas, dakwah diperlukan. Dakwah adalah usaha di peringkat sesama manusia untuk memohon hidayah mutlak dari sisi Allah. Tidak mungkin Allah memberi hidayah begitu sahaja tanpa usaha di peringkat manusia.


Dakwah juga adalah tugas Rasul yang menunjukkan nilai pengorbanan yang tinggi. Individu yang tidak melaksanakan dakwah masih belum cukup berkorban dan masih tidak layak untuk mengaku sebagai pengikut Nabi yang sejati.


Tarbiah & dakwah berasingan ?


Tarbiah dan dakwah perlu seiringan dan tidak sesuai dipisahkan. Mengapa? Walaupun Nabi berdakwah secara “rasmi” pada usia 40 tahun, namun beliau sudah menyediakan “modal” dakwah sebelum itu lagi. Salah satu modal tersebut “yang disusun oleh Allah” ialah sifat amanah dan mulia akhlaknya sehingga digelar al-Amin. Ini adalah modal setelah beliau mendapat wahyu pertama. Kejayaan Rasulullah berdakwah bukan bermula 40 tahun. Beliau membina kejayaan karier dakwahnya seawal kehidupan remaja beliau. Dan Rasul mendapat tarbiah daripada Allah dengan Jibril menjadi gurunya sehingga wafat.


Tarbiah menjadi amat-amat penting apabila seseorang berada pada lapangan dakwah yang memerlukan lebih banyak persediaan dan kekadang “minyak” habis tiba-tiba disebabkan perjalanan dakwah ini jauh dan sukar. Inilah yang dinyatakan oleh Allah dalam surah at-Taubah:


[9.42] Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu).”


Apakah Kesan Tarbiah Tanpa Dakwah?


Tarbiah adalah potensi seperti air dalam badan manusia. Sememangnya air diperlukan, namun ia perlu bergerak dan dijelmakan dalam bentuk pelbagai seperti darah, membaiki tisu dan sebagainya. Jika air tersebut di”peram”kan di dalam badan, ia akan busuk dan menyebabkan penyakit. Segala ilmu dan potensi yang dibina dalam tarbiah yang tidak diterjemahkan dalam bentuk aplikasi dakwah akan menyebabkan seseorang itu penuh dengan penyakit hati sehingga lebih suka menjadi penghukum (qadhi) daripada penyeru ke arah kebenaran (dua’). Tanpa dakwah, tarbiah akan merosakkan diri seseorang kerana merasakan diri sahaja betul dan individu lain salah.


Apakah Kesan Dakwah Tanpa Tarbiah?


Tarbiah adalah minyak yang menyediakan tenaga dan modal kepada pendakwah. Jika pada awalnya si pendakwah bersemangat untuk mengajak manusia ke arah kebaikan, ia akan ketandusan minyak jika tidak dibekalkan daripada semasa ke semasa. Apabila ketandusan minyak, bukan sahaja dakwah tidak dapat dilaksanakan dengan baik malah kekadang si pendakwah itu sendiri rasa letih dan tidak mampu meneruskan kerja dakwah. Inilah asas kepada gejala keguguran dalam medan dakwah. Tarbiah yang kurang mantap memudahkan seseorang itu gugur daripada jalan yang mulia ini.


Pastikah Tarbiah Menjamin Kelestarian Dakwah?


Ya, dengan syarat tarbiah itu menepati ciri yang digariskan oleh Allah. Barulah ia akan mampu menyediakan individu yang mapan dalaman dan luarannya untuk istiqamah dalam dakwah.

No comments: