Tuesday, January 18, 2011

Adakah Ilham Dikira Sebagai Dalil Atau Hujah ?


Mukaddimah

Pengertian Ilham

Ilham dari sudut bahasa : sesuatu yang dicampakkan ke dalam hati orang yang berakal dan membuatkan seseorang untuk beramal dengannya samada ianya hak ataupun batil. Seperti firman Allah S.W.T :

فَأَلْهَمَهَا فُجُورَهَا وَتَقْوَاهَا


Maksudnya : “Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu (jalan) kefasikan dan ketakwaannya”. ( Surah As-Syams, ayat ke 9 ).

Ilham dari sudut istilah ulama Usul Fiqh :-

Menurut pendapat pengarang kitab Taqwim Adillah bahawa ia adalah sesuatu yang mengerakkan hati dengan ilmu dan ia membawa manusia untuk beramal dengannya tanpa mencari dalil dan meneliti pada hujah.

Takrif ini disokong oleh Imam As-Samarqandi dan mengatakan bahawa ini adalah takrif yang sahih. Maka daripada pengertian ini, ilham dari sudut pandangan manusia ialah sesuatu daripada Allah SWT dengan jalan hak.

Begitu juga Imam Az-Zarqasyi telah menaqal (mengambil) pandangan daripada sebahagian As-sufiyyah tentang pengertian ilham iaitu sesuatu yang dicampakkan ke dalam hati manusia daripada amal kebaikan maka ia adalah ilham. Sekiranya daripada amal keburukan maka ia bukanlah ilham akan tetapi was-was daripada syaitan.

Ilham Dari Sudut Perspektif Ulama Usul Fiqh.

Ulamak usul fiqh pada zaman salaf (terdahulu) tidak membahaskan permasalahan ilham ini secara mendalam, sehinggalah zaman khalaf (terkemudian) barulah dibahaskan permasalahan ini secara mendalam.

Disini kita akan membincangkan dua perbahasan mengenai mulhamin ( mereka-mereka yang diberikan ilham ) seperti berikut :-

1) Perbahasan Ilham Para Nabi Dan Hukumnya
2) Perbahasan Ilham Selain Para Nabi (Mukallaf ) Dan Hukumnya.

PERBAHASAN PERTAMA ( ILHAM PARA NABI )

Dalam bahagian yang pertama ini kita dapat membezakan diantara ilham dan wahyu secara jelas seperti pandangan daripada Imam Ibnu Qayim telah meletakkan ilham kepada kedudukan yang ke-9 daripada kedudukan dan bentuk-bentuk wahyu buat para Nabi. Iman Abdul Aziz Bukhari telah mengatakan bahawa ilham adalah sebahagian daripada wahyu dengan berdalilkan firman Allah SWT seperti berikut :-

وَمَا كَانَ لِبَشَرٍ أَنْ يُكَلِّمَهُ اللَّهُ إِلَّا وَحْياً أَوْ مِنْ وَرَاءِ حِجَابٍ أَوْ يُرْسِلَ رَسُولاً فَيُوحِيَ بِإِذْنِهِ مَا يَشَاءُ إِنَّهُ عَلِيٌّ حَكِيمٌ


Maksudnya : “Dan tidak mungkin bagi seorang manusiapun bahwa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau dibelakang tabir[1347] atau dengan mengutus seorang utusan (malaikat) lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya apa yang dia kehendaki. Sesungguhnya dia Maha Tinggi lagi Maha Bijaksana”. (Asy-syuura, ayat 51).

Berdasarkan ayat diatas, ilham ialah sesuatu yang dicampakkan ke dalam hati manusia seperti yang berlaku keatas Nabi Musa a.s dan secara pastinya ilham tersebut datang dari Allah S.W.T, maka ia adalah hujah yang pasti dan benar.

Ulama telah bersepakat bahawa ilham para Nabi adalah wahyu dari Allah S.W.T samada wahyu secara batin atau zahir .



HUKUM MENGINGKARI ILHAM PARA NABI

Imam Jalaluddin Mahalli berpendapat dalam kitabnya ( جمع الجوامع ) :-

“Adapun Nabi yang maksum maka ilham adalah hujah bagi haknya dan juga hak orang lain jika berkaitan dengan hal mereka sepertimana wahyu”
.

Maka secara ringkasnya, berdasarkan dari kefahaman firman Allah S.W.T dalam surah As-syuraa ayat 51 diatas menerangkan kepada kita bahawa sesiapa yang mengingkari ilham maka ia telah mengingkari wahyu. Dan sesiapa yang mengingkari wahyu maka dia telah kafir menurut ijmak ulama. Wallahualam.


PERBAHASAN KEDUA ( ILHAM SELAIN PARA NABI )

Melihat kepada perbahasan ulamak usul fiqh, bahawa mereka bersepakat bahawa ilham para nabi adalah hujah dan kafir bagi mereka yang mengingkarinya. Akan tetapi mereka berselisih pendapat pada ilham bagi seorang yang mukallaf selain daripada para nabi. Maka disini saya mengambil bagi pendapat yang paling rajih (kuat) yang dipelopori oleh kebanyakan ulama yang mutawassitin (mengambil jalan pertengahan) dalam permasalahan ini.


Menurut pandangan Syeikh Alauddin As-Samarqandi dalam kitabnya Al-Mizan :

“Sekiranya ilham itu berkaitan perkara-perkara syarak dan hukum-hakam maka wajib beramal pada haknya sahaja, bukan bagi orang lain. Begitu juga, tidak dijadikan sebagai hujah oleh orang lain dengan ilhamnya”.

Begitu juga kebanyakan dikalangan ulama telah menetapkan bahawa ilham adalah wajib diamalkan pada hak mulham ( yang diberikan ilham ) sahaja dan bukanlah sebagai hujah bagi orang lain untuk berdalil dan berhujah denganya. Maka tidak harus bagi mulham mengajak orang lain untuk beramal dan berhujah dengan ilhamnya.

Justeru itu, ilham tidak boleh diamalkan jika bersangkut paut dengan aqidah dan hukum-hakam yang berkaitan dengan perkara wajib, sunat, haram, atau makruh secara mutlak.

Oleh itu, ulama telah meletakkan panduan ( dhawabit ) dan prasyarat pengharusan beramal dengan ilham bagi seorang mukallaf :-

1) Tiada dalil syarak yang jelas bagi membolehkan sesuatu perkara diamalkan dengan ilham, samada dalil yang disepakati atau tidak disepakati.
2) Boleh beramal pada perkara harus yang tidak mempunyai dalil syarak sahaja. Adapun perkara yang wajib, sunat, haram atau makruh yang telah memiliki dalil-dalil syarak secara pasti, maka tidak boleh beramal samada dengan ilham ataupun dari kasyaf para wali.
3) Hanya diamalkan pada hak mulham ( yang diberikan ilham ) sahaja. Tidak boleh mengajak orang lain untuk beramal dan berhujah dengan ilhamnya.

Pendapat ini berdasarkan dalil dari firman Allah S.W.T dalam surah yang berbunyi :

وَمَن يَتَّقِ اللَّهَ يَجْعَل لَّهُ مَخْرَجاً


Maksudnya : “dan sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan laranganNya), nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkannya)”. (At-Talaq ayat 2 ).

Ayat diatas telah mengikatkan jalan keluar bagi orang yang bertaqwa dan menunjukkan kasyaf hukum-hukum syarak bagi sebahagian hamba Allah. Oleh itu, wajib bagi mulham ( yang diberikan ilham ) beramal dengannya. Akan tetapi tidak wajib bagi orang lain untuk beramal dan membenarkan.

Kesimpulannya, ilham mukallaf ( selain para nabi )adalah hak yang wajib beramal dengannya bagi mulham secara khusus berpandukan dawabit-dawabit yang telah ditetapkan dan bukanlah hujah bagi orang lain secara umum. Begitu juga tidak harus bagi mulham ( yang diberikan ilham) untuk mengajak manusia lain untuk berhujah dan beramal dengan ilham yang didapatinya. Waallahualam..


Rujukan

1) Kitab Ilham Wa Dalalatuhu Ala Ahkam, Dr Abd Fatah, Al-Azhar Tanta

2) Irsyad Fuhul, Imam Hafiz Muhammad 'Ali B Muhammad Shaukani.

3) Mizanusul, Syeikh 'Alauddin As-Samarqandi.



Disediakan oleh:

Muhammad Nazirul Bin Mohd Sabri.
Felo MANHAL PMRAM

Dipetik daripada:

http://pmram-manhal.blogspot.com/2010/11/adakah-ilham-dikira-sebagai-dalil-atau.html

No comments: