Tuesday, January 18, 2011

Hadith Lemah dan Palsu Berhubung Dengan Solat


Hadith Kelebihan Solat Memakai Serban


Pertama: Hadith Solat Memakai Serban Lebih Baik Daripada 70 Rakaat Solat Tanpa Serban


( ( رَكْعَتَانِ بِعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً بِلا عِمامَةٍ ) )

Maksudnya: “Solat dua rakaat dengan memakai serban adalah lebih baik daripada 70 rakaat tanpa memakai serban.”


Ulasan Hadith:


Hadith mawdu’. Disebutkan oleh al-Suyuti dalam al-Jami‘ al-Saghir daripada riwayat al-Daylami dalam Musnad al-Firdaus daripada hadith Jabir. Al-Albani menyebutkan bahawa sepatutnya hadith ini diletakkan al-Suyuti dalam kitab Dhayl al-Ahadith al-Mawdu‘ah kerana menyatakan sesuatu kelebihan yang keterlaluan tentang kelebihan solat dengan memakai serban.


al-Manawi dalam Shar al-Jami‘ mengatakan bahawa hadith ini riwayat Jabir dan juga Abu Nu‘aim dan daripada jalan itu juga disebutkan oleh al-Daylami. Kemudian pada sanadnya terdapat Tariq bin ‘Abd al-Rahman iaitu al-Dhahabi dalam al-Du‘afa’ menyebutkan al-Nasa’i mengatakan beliau (Tariq bin ‘Abd al-Rahman) bukanlah seorang yang kuat (ingatannya) (laysa bi qawiyy). Daripada jalan Muhammad bin ‘Ajlan pula disebutkan oleh al-Bukhari dalam al-Du‘afa’ dan al-Hakim mengatakan bahawa beliau adalah seorang yang buruk ingatannya (su’ al-hifz).


al-Hafiz Ibn Rejab daripada syarahnya ke atas sunan al-Tirmidhi katanya: “Abu ‘Abd Allah yakni Ahmad bin Hanbal telah bertanya kepada Sheikh Nasibi yang bernama Muhammad bin Nu‘aim telah berkata kepadanya: Diriwayatkan kepada ku sesuatu daripada Sahl daripada bapanya daripada Abi Hurayrah RA daripada Nabi SAW: (الصلاة بعِمامَةٍ خَيْرٌ مِنْ سَبْعِينَ رَكْعَةً بِغير عِمامَةٍ) Maksudnya: “Solat dengan memakai serban adalah lebih baik daripada solat tujuh puluh solat tanpa memakai serban.” Katanya: “Hadith ini adalah dusta dan ia adalah (suatu yang) batil.”[1]


Kedua: Solat Dengan Memakai Serban Menyamai 10 Ribu Kebaikan


الصلاة في العمامة تعدل عشرة آلاف حسنة

Maksudnya: “Solat dengan memakai serban menyamai dengan melakukan 10 ribu kebaikan.”


Ulasan Hadith:


Hadith Mawdu’. al-Suyuti menyebutkan dalam kitab Dhayl al-Ahadith al-Mawdu‘ah dari riwayat al-Daylami dengan sanadnya sampai kepada Aban daripada Anas secara marfu‘. Beliau mengatakan bahawa Aban adalah muthim (iaitu dituduh sebagai pendusta) yang disebutkan juga oleh Ibn ‘Iraq dalam kitab Tanzih al-Shari‘ah. al-Albani berkata: “al-Hafiz al-Sakhawi dalam al-Maqasid dan diikuti oleh gurunya al-Hafiz Ibn Hajar bahawa hadith ini mawdu’. al-Munawwifi berkata: “Sesungguhnya hadith ini batil.” sepertimana disebutkan oleh al-Sheikh al-Qari’ dalam Mawdu‘at.[2]





[1] Muhammad Nasir al-Din al-Albani (1985M), Silsilah al-Ahadith al-Da‘ifah wa al-Mawdu‘ah wa Atharuha al-Sayy’ fi al-Ummah. Beirut: al-Maktab al-Islami, j.1, h.160.

[2] al-Albani (1985M), ibid., j.1, h.161.


Disediakan oleh:


Khadher Ahmad


"Semoga manfaat..."

No comments: