Kitab Hidayah al-Salikin atau nama lengkapnya “Hidayah al-Salikin fi Suluk Maslak al-Muttaqin dan terjemahan judulnya “Pedoman Bagi Orang Yang Berjalan Pada Perjalanan Orang Yang Takut Akan Allah Ta‘ala” merupakan sebuah karya yang dihasilkan oleh seorang tokoh ulama Melayu terbilang iaitu Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani ketika beliau berada di Makkah. Karya ini selesai ditulis pada hari Selasa 5 Muharam 1192H.[1] Namun, lebih kurang seratus tahun selepas itu barulah ia dapat diterbitkan[2]. Kitab ini merupakan kitab Melayu/ Jawi pertama yang ditashihkan dan kemudian dicetak, hasil daripada inisiatif sebuah badan pentashih di Makkah dan Mesir[3] pada ketika itu yang diketuai oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani.
Menurut Wan Mohd Shaghir Abdullah, selain penggunaan nama judul kitab dengan Hidayah al-Salikin, ia juga yang menggunakan judul Bidayah al-Salikin yang diterbitkan di Singapura dan Makkah[4]. Kedua-dua nama tersebut memang terdapat pada manuskrip asal. Namun, pada cetakan huruf litografi (huruf batu)[5], sama ada cetakan di Singapura ataupun Makkah, kedua-duanya menggunakan judul Bidayah al-Salikin. Setelah itu, Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani telah berusaha untuk menukar huruf tersebut kepada huruf yang dibuat klise timah dan diletakkan judul Hidayah al-Salikin, bukannya Bidayah al-Salikin. Beliau juga mendakwa, kitab Hidayah al-Salikin adalah kitab Melayu/ Jawi pertama yang telah dicetak di Mesir.[6]
Dalam Majalah Pelita pula ditulis dengan judul “Hikayah al-Salikin” tetapi pada pandangan Wan Mohd Shaghir Abdullah, kemungkinan berlaku kesilapan sewaktu mentransliterasikannya dari bahasa Melayu/ Jawi ke Rumi berdasarkan ambilan dan rujukan daripada tulisan orang Barat (Orientalis). Tambahan pula, berdasarkan kajian yang dilakukan, beliau tidak pernah menjumpai, bahkan tiada sumber yang menjelaskan bahawa al-Falimbani pernah mengarang kitab dengan judul tersebut.[7]
Dalam melihat kepada kitab ini yang telah diterbitkan, terbitan pertama bermula di Mesir pada tahun 1288H/ 1871M melalui cetakan Syeikh Hasan al-Thuki yang telah ditashihkan oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani . Kemudiannya di Makkah dengan edisi pertama pada tahun 1300H/ 1882M oleh Matba‘ah al-Kainah, Makkah[8]. Seterusnya diulang cetak di Makkah, Mesir, Bombay, Singapura, Indonesia dan Malaysia sendiri[9]. Sehinggalah pada hari ini, terdapat usaha yang dilakukan oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah[10] dan Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi al-Maliki[11] yang telah mentransliterasikan daripada tulisan Jawi kepada tulisan rumi di samping penyusunan yang lebih teratur dan tersusun.
Kandungan Perbahasan Kitab
Berdasarkan kepada kenyataan yang disebutkan oleh penulis sebelum ini, kitab Hidayah al-Salikin adalah sebuah kitab berkaitan tasawuf. Al-Falimbani menyusun kitab ini, sarat dengan ilmu pengajian tasawuf yang dikhususkan untuk golongan mubtadi (permulaan). Kitab ini seperti yang disebutkan oleh al-Falimbani sendiri di dalam muqaddimahnya bahawa kitab “Bidayah al-Hidayah” karangan Imam al-Ghazali adalah sebuah karya lengkap yang menghimpunkan pelbagai ilmu yang membawa takut kepada Allah dan merupakan himpunan ilmu untuk manfaat dunia dan akhirat. Oleh kerana kasihnya beliau kepada kitab tersebut (Bidayah al-Hidayah), lalu beliau telah mengambil inisiatif dan usaha untuk menterjemahkan kitab itu dari bahasa ‘Arab kepada Melayu/Jawi dengan memberikan tambahan terhadap permasalahan yang tidak terdapat di dalam kitab tersebut.[12]
Secara umumnya, kitab ini membicarakan persoalan berkaitan tasawuf. Namun, terdapat juga elemen atau aspek lain yang dimuatkan dalam kandungannya. Misalnya, dalam bab yang pertama selepas membicarakan soal kepentingan ilmu dan faedahnya, beliau telah memulakan perbahasan dengan perbincangan berkaitan soal akidah (tauhid), di mana dijelaskan betapa pentingnya akidah sebagai asas atau tunjang utama sebelum mempelajari ilmu lainnya. Di samping itu, akidah adalah perkara pertama yang perlu diselesaikan dahulu sebelum pelaksanaan syariat dan amal ibadat yang lain. Dalam soal ini, al-Falimbani lebih cenderung untuk mengemukakan konsep akidah yang dibawa oleh Ahl al-Sunnah wa la-Jama‘ah yang di dukung oleh Abu Hasan al-Asy‘ari dan Abu Mansur al-Maturidi. Keadaan ini, bertepatan dengan pegangan Imam al-Ghazali sendiri.[13]
Dalam bab seterusnya, kitab ini juga mengemukakan perbicaraan berkaitan fikah (fiqh). Al-Falimbani mendedahkan kepada pembacanya, contohnya berkenaan kaifiyat atau kaedah pelaksanaan solat-solat sunat seperti solat hajat, istiqarah, isytiqaq, duha, awwabin, tasbih, tawbah dan sebagainya lagi. Beliau mengemukakan beberapa cara pelaksanaan solat-solat sunat tersebut seperti bacaan surah atau ayat al-Quran dalam rakaat, sama ada rakaat pertama, kedua dan seterusnya. Bahkan dikemukakan juga cara kedua, atau alternatif bacaan surah lain atau kaedah lain yang tidak membebankan pengamalnya, dan terserah kepada pembaca untuk memilih cara yang mampu untuk mereka laksanakan.[14] Dengan demikian, keadaan tersebut memperlihatkan usaha al-Falimbani untuk menarik minat pembaca dan pelajar kitab ini supaya tidak rasa terbeban, bahkan berupaya memilih sesuatu pelaksanaan sesuatu ibadah berdasarkan keupayaan dan kemampuan yang ada. Walaupun demikian, beliau tidak memanjang perbicaraan dalam aspek ini. Cuma beberapa permasalahan atau tajuk sahaja yang disentuh iaitu taharah (bersuci), solat dan puasa sahaja. Tetapi perbahasannya adalah dalam bentuk yang ringkas dan padat. Al-Falimbani meninggalkan daripada membicarakan secara mendalam terhadap permasalahan fiqh yang melibatkan perbezaan pandangan dan perselisihan pendapat ulama.
Di dalam buku ini, perbahasan yang dibicarakan oleh al-Falimbani adalah berkait rapat dengan tasawuf, malahan inilah aspek utama perbahasan beliau dalam kitab ini. Contohnya perbahasan berkait dengan adab-adab tertentu seperti ketika bersuci, berwuduk, tayamum, adab ketika pelaksanaan solat, adab di masjid, adab dengan manusia seperti adab anak kepada ibu bapa, adab bersahabat, adab makan dan minum dan sebagainya lagi. Selain itu, beliau juga membincangkan aspek-aspek tertentu terutama dalam konteks pemeliharaan diri seseorang seperti berkaitan riya’, takabbur, marah, hasad, sabar, syukur, zuhud, zikir dan lain-lain lagi. Seolah-olah apa yang dikemukakan oleh al-Falimbani ini merupakan satu pakej lengkap kepada setiap individu Muslim untuk diamalkan kerana perbincangannya berkait rapat dengan kehidupan dan amalan harian mereka. Bagi mereka yang melaksanakannya, diri mereka akan dapat dikepong dan dipelihara daripada perkara-perkara yang tidak baik ataupun maksiat.
Sesuatu yang menarik di dalam kitab ini ialah kandungannya dimuatkan dengan pelbagai hadith yang menjadi hujah atau dalil untuk mengukuhkan sesuatu amalan atau kenyataan yang disebutkan. Dengan kata lain, penulis juga cenderung untuk melabelkan kitab tersebut sebagai salah sebuah kitab hadith dalam bidang ilmu tasawuf.
[1] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1983), Syaikh Abdus Samad al-Falimbani : Sufi yang Syahid fi Sabilillah, Kuala Lumpur: Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyyah al-Fataniyyah, cet.1, hlm 28-30.
[2] Keadaan ini berlaku kerana tidak ada lagi syarikat percetakan yang ditubuhkan bagi mencetak kitab Melayu/ Jawi pada ketika itu. Kalau diharapkan kepada orang ‘Arab sudah pastilah tidak dicetak kerana mereka tidak memahami dan tidak mampu untuk membacanya kerana walaupun tulisan seperti tulisan ‘Arab tetapi berbahasa Melayu/Jawi.
[3] Badan ini terbentuk sekitar tahun 1296H yang diketuai oleh Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani yang bertanggungjawab di bahagian kitab berbahasa Melayu/ Jawi. Syeikh Daud bin Abdullah al-Fatani pernah dihantar untuk bertemu Wakil Pemerintah Tukri Uthmaniyah di Mekah bagi mendapatkan sebuah mesin pencetakan. Lihat op.cit.
[4] Judul ini didapati pada koleksi manuskrip Balai Islam Bahagian Hal Ehwal Islam dengan nombor kelas MI 170, MI 277 dan MI 334, lihat Wan Mohd Shaghir Abdullah (1996), Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, op.cit., hlm 111.
[5] Cetakan ini dicatatkan tahun penulisannya pada tahun 1287H/ 1870M, lihat Wan Shaghir Abdullah (1996), al-‘Urwatul Wutsqa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Kuala Lumpur: Yayasan Pendidikan dan Dakwah Islamiyyah al-Fataniyyah, hlm 7.
[6] Ibid.
[7] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1996), Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi dan Jihad Dunia Melayu, op.cit.
[8] Wan Mohd Shaghir Abdullah (1999), Hidayah al-Salikin, edisi rumi, cet.2, jilid 1, hlm 2.
[9] Dr. Chatib Quzwain (1996), op.cit, hlm 25 dan Dr. Taufik Abdullah (2002), Ensiklopedi Tematis Dunia Islam (Asia Tenggara), op.cit., hlm 152.
[10] Beliau merupakan cucu kepada Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fatani. Sehingga sekarang, beliaulah yang banyak bertanggungjawab dalam usaha mengumpul, mencetak, menulis, mentahqiq dan memperkenalkan tokoh-tokoh ulama silam di Nusantara bersama dengan karya-karya mereka yang digerakkan di bawah Khazanah Fathaniyah. Beliau telah mengalihkan tulisan kitab ini daripada tulisan Melayu/ Jawi kepada tulisn Melayu/Rumi yang telah diusahakan dalam beberapa tahun sehingga terhasil kitab Hidayah al-Salikin edisi rumi dengan tiga jilid iaitu Jilid 1 pada tahun 1417H/ 1996M, Jilid 2 pada tahun 1418H/1997M dan Jilid 3 pada tahun 1419H/1998M.
[11] Beliau adalah Ustaz Fahmi bin Zamzam yang dilahirkan di Amuntai, Banjarmasin, Kalimantan, Selatan Indonesia pada tahun 1959M. Beliau telah mendirikan pondok Pasantren di Muara Teweh, Kalimantan Tengah Indonesia pada tahun 2001M dan Pasantren kedua di Banjarbaru, Kalimantan Selatan Indonesia pada tahun 2003M. Pada masa yang sama, sehingga kini masih menjadi tenaga pengajar di Maahad Tarbiah Islamiah Derang, Pokok Sena, Kedah. Usaha beliau, adalah seperti mana yang dilakukan oleh Wan Mohd Shaghir. Namun, beliau telah mengadakan beberapa pembaharuan dengan susun atur yang lebih menarik di samping dengan dua versi iaitu edisi Melayu/ Jawi dan Rumi. Lihat Ahmad Fahmi Zamzam (2003), Hidayatus-Salikin fi Suluk Maslakil-Muttaqin, Kedah: Khazanah Banjariah dan Pustaka Suhbah, cet. 1, hlm xxiii-xxiv.
[12] Kenyataan penuh tercatat dalam kitab tersebut. Rujuk Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani, Hidayah al-Salikin, lihat cetakan Pulau Pinang oleh Sulaiman Prees (t.t), hlm 3-4, Kuala Lumpur: Khazanah Fathaniyah (1996), oleh Wan Mohd Shaghir Abdullah, op.cit., hlm 9-10 dan Kedah: Khazanah al-Banjariah oleh Ustaz Fahmi Zamzam (2003), hlm 2-3.
[13] Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani (t.t), Hidayah al-Salikin, ditahqiqkan oleh Wan Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani, Dar al-Ma‘arif, hlm 17-23
[14] Contohnya, dalam Bab Kedua; “Pada Menyatakan Berbuat Taat dan Ibadat Yang Zahir”, diterangkan berkenaan solat Tasbih. Al-Falimbani mengemukakan dua riwayat cara pelaksanaan solat tersebut dan dijelaskan satu persatu cara pelaksanaannya. Lihat Syeikh Abd al-Samad al-Falimbani (2003), Hidayatus-Salikin fi Suluki Maslakil-Muttaqin, ditahqiqkan oleh Abu ‘Ali al-Banjari al-Nadwi, Kedah: Kazanah Banjariah, cet.1, hlm 87-100 dan Syeikh ‘Abd al-Samad al-Falimbani (t.t), op.cit., hlm 86-102 pada perbahasan berkaitan Solat Tasbih.
2 comments:
okeylah
okeylah
Post a Comment